13 January 2013

Isu Kalimah Allah : Resah gelisah seorang ibu

"Katakanlah wahai Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya." Surah Al-Ikhlas


Awal tahun 2013, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dihangatkan kembali oleh seorang ahli politik. Saya mengikuti isu ini dengan penuh kebimbangan. Jiwa saya sesak memikirkannya.

Kalimah Allah yang kita gunakan sejak kecil merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha berkuasa itu, mahu dikongsikan dengan orang lain? Kalimah Allah yang merujuk kepada Allah yang Maha Agung lagi Maha esa hendak digunakan oleh orang kristian untuk tuhan yang berkonsepkan trinity? Kalimah Allah yang termaktub di dalam al-quran untuk satu dzat yang tiada tandingan itu, diminta untuk digunakan bg menterjemahkan perkataan god di dalam terjemahan bible berbahasa melayu?  Ini kerja gila, memang tidak masuk akal.

Sungguh, saya tidak dapat menerimanya.

Memikirkankan soal ini, saya sebagai seorang ibu dan juga guru merasa sangat bimbang dengan nasib generasi akan datang.

Andai ia benar-benar dibenarkan (kalimah Allah digunakan oleh pihak kristian), saya tidak tahu bagaimana seandainya pada satu masa nanti mungkin akan terkeluar dialog seperti ini:

Anak: Ibu, Allah itu apa?

Ibu:  Allah itu Tuhan yang esa, yang mentadbir alam ini, sayang.

Anak: Tapi ada orang kata Allah tu ada tiga, betulkah ibu?

Ibu: Tidak sayang, Allah dalam Islam hanya satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Anak: Mmm pelik juga,  tapi mereka ada Allah dan kita pun ada Allah, nama sama, kiranya kita dan mereka  sama sahaja bukan??

Betapa sukarnya kita sebagai ibu bapa waktu itu untuk menerangkan tentang Allah Yang Maha Agung kerana ada pihak lain menggunakan nama yang sama merujuk kepada benda yang berbeza.

Ketika saya mengikuti perkembangan isu ini, ada dikalangan umat Islam yang mengatakan bahwa kita tidak perlu bimbang kepada perkara yang belum tentu terjadi. Jangan takut kepada bayang-bayang sendiri katanya.

Aduhai…

Saya ingin bertanya kepada yang berkata begitu beberapa soalan.

Adakah anda mengunci pintu rumah setiap malam sebelum tidur atau sebelum keluar daripada rumah?

Adakah anda akan memastikan kereta anda selamat sebelum meninggalkannya di tempat parkir kereta?

Saya yakin, setiap daripada kita pasti akan melakukannya. Setiap malam, kita akan periksa setiap pintu dan tingkap supaya ia tertutup dan berkunci agar lebih selamat dari kejadian pecah rumah. Malah ada yang memasang penggera keselamatan untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku.

Kita juga akan pastikan kereta kita berkunci,dan kita juga akan memarkir kereta di tempat yang kita rasa paling selamat.

Jadi, jika kita berikhtiar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencegah sesuatu yang buruk berlaku kepada harta kita. Adakah kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk menjaga aqidah anak keturunan kita?

Seandainya kita berbuat berbagai-bagai cara untuk memastikan rumah dan kereta kita selamat. Wajarkah apabila disebut berkenaan dengan menjaga aqidah, kita mengatakan bahawa tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri?

Isu penggunaan kalimah Allah ini bukan soal kecil, ia soal besar yang tidak boleh dijual beli!

Saya tidak kisah andai orang katakan saya bimbangkan perkara yang belum tentu berlaku, tetapi hal ini memang benar-benar merunsingkan saya.

Saya bukan pakar dalam bidang agama, dan saya tidak mampu menghurai segala dalil-dalail dan hujah-hujah agama. Tetapi, saya sangat-sangat bimbangkan tentang akidah anak keturunan saya nanti. Kesan dari isu ini mungkin kita tidak nampak secara terus, tapi kesannya akan jelas setelah sepuluh tahun atau dua puluh tahun akan datang.

Lihat sahaja apa yang berlaku di negara jiran Indonesia, bila kalimah Allah boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, maka diletakkan papan tanda ‘Allah Kasih’ di hadapan gereja. Apabila kalimah Allah digunakan oleh orang kristian, maka Allah yang Maha Esa itu disandarkan kepada Jesus yang berkonsepkan trinity .

Tidakkah ia sangat mengelirukan?

Maha Suci Allah dari kemungkaran ini.. Allahu Akbar.

Moga bumi bertuah Malaysia tidak akan menjadi seperti itu.

######

Hari ini, belum sempat saya menghabiskan penulisan saya berkenaan isu ini, didalam perjalanan pulang mengambil humaira dari Hifz School. Telah berlaku perbualan yang menyentap jantung saya, meningkatkan lagi kebimbangan saya berkenaan isu kalimah Allah ini.

Sedang suami memandu, Humaira bercerita berbagai-bagai cerita dan kami melayannya dengan gembira.

Sehinggalah dia berkata : "Ibu, tadi semasa humaira bermain deangan kawan-kawan, datang seorang wanita. Dia dah tua, kemudian tiba-tiba wanita itu berkata kepada kami bahawa tuhan dia telah menciptakan Allah." sambil dia menggelengkan kepala tanda tidak setuju dengan kata-kata wanita tersebut

"Apa? Dia kata apa?" saya bertanya semula, bukan kerana saya tidak mendengar apa yang dikatakan tadi, cuma saya rasa terkejut dan mahu dia ulang dan saya berharap apa yang saya dengar adalah tidak benar.

"Dia berkata kepada kami, tuhan dia telah mencipta Allah... Mmmm..." sekali lagi humaira menunjukkan muka tidak puas hati

"Siapakah orang itu?" saya bertanya

"Entahlah ibu, humaira pun tak kenal." dia menjawab

"Mmm... Humaira rasa, betulkah apa yang dikatakan oleh wanita itu?" dalam resah, saya bertanya mendapatkan kepastian berkenaan dengan kefahaman tentang tauhid yang pernah kami terangkan kepadanya sebelum ini.

"Mestilah tidak betul ibu." humaira menjawab ringkas

"Bolehkah Allah s.w.t. diciptakan oleh tuhan yang lain?" saya bertanya lagi

"Tak boleh." sekali lagi dia menjawab ringkas

"Betul tu humaira, Allah itu satu sahaja, Allah tidak mungkin diciptakan oleh makhluk lain dan Allah tidak ada anak. Humaira ingat ya.." saya menjelaskan buat kali yang entah ke berapa asas tauhid itu.

Kami suami isteri berpandangan, walaupun tiada kata-kata yang terluah, tetapi saya dapat merasakan keresahan yang juga bersarang di dalam hatinya. Hati saya juga tidak tenteram memikirkannya.

Jika dialog ini berlaku ketika saya berada di sebuah negara yang majoriti bukan muslim pun ia menimbulkan kebimbangan terhadap aqidah anak saya. Bagaimanakah andai ia berlaku di negara malaysia yang disebut sebagai negara Islam?

Pada pendapat saya, soal akidah bukanlah satu perkara yang boleh kita bertolak ansur. Toleransi yang melampau hanya akan menjadi racun yang akan membunuh jiwa anak bangsa kita. Cukuplah dialog ini hanya berlaku di negara kangaroo ini dan saya tidak sanggup andai cerita dan dialog yang sama berlaku lagi kepada cucu cicit saya di Malaysia nanti.

Wahai umat islam semua yang amat saya kasihi. Isu kalimah allah ini bukan sekadar berkisar kepada hukum halal atau haram, boleh atau tidak boleh. Tetapi renung-renungkanlah tentang kesan dan natijahnya untuk generasi akan datang.

Kesannya bukan calang-calang tetapi ia pasti akan menimbulkan kecelaruan aqidah di dalam umat Islam.

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jika kita akan berikhtiar berbagai cara untuk menjaga keselamatan harta dan anak-anak kita, maka untuk menjaga akidah usahanya mestilah berlipat kali ganda.

Sama-sama kita menyatakan bantahan berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim kerana saya yakin disebalik tuntutan ini, ada agenda kristianisasi yang sedang dilaksanakan.

Janganlah kita hanya melihat perkara ini secara luaran sahaja, tenung dan renunglah juga perancangan jahat kuffar ke atas umat islam.

Jika ketika ini, ketika kalimah Allah masih eksklusif buat umat islam pun ramai sudah murtad, cubalah bayangkan jika ia diberi kebenaran digunakan di dalam bible, apakah nasib aqidah generasi kita.

Ya Allah, bantulah kami untuk terus mentauhidkanMu. Peliharalah zuriat kami dari fitnah ini.

Kepada yang berkenaan, isu ini adalah isu besar, usahlah kita gadaikan hanya untuk dunia yang sementara ini. Saya tidak redha kalimah suci ini dipermainkan sebegini rupa.

Saya juga tidak akan pernah redha jika mimpi ngeri ini berlaku hanya kerana ada pihak yang mahu menjaga kepentingan selain dari kepentingan agama yang mulia ini..

Ya Allah peliharalah kami dan zuriat keturunan dari kesesatan ini, dan tetapkanlah kami di dalam Islam sehingga hujung usia kami..

7 comments:

Anonymous said...

salam puan, saya berkongsi rasa yg sama dengan puan. sudah pelbagai jenis cabaran yg sedang kita hadapi skrg dlm memantapkan dan mempertahankan akidah anak2, harap tiada lagi kekeliruan yang ditimbulkan. Keputusan kita hari ini akan memberi impak kepada anak-anak kita.. mohon Allah jauhkan segala kesulitan & kerosakan..

ummuhumaira said...

perkara ini mmg perlu kita risaukan kerana ia melibatkan akidah...

mmg betul, dlm kebejatan dunia sekarang, hal ini seolah2 ingin menambah lg kerosakan yg ada..

marilah sama2 kita mdidik anak2 kita dgn akidah yg soheh... moga kita semua terselamat dr fitnah ini..

thenafass said...

assalamualaikum... saya follow buku-buku penulisan puan dan suami puan. saya sangat mengagumi cara puan. tapi buku kedua, eh nak kita dah besar! tu saya tak jumpa lah, macam mana saya nak dapatkan buku tersebut. terima kasih.

nimt said...

assalamualaikum . puan, mcm mn nk dptkn bukubuku puan ? cerita certa dlm blog puan, sgt bermanfaat . semoga puan dan keluarga sentiasa diberkati Allah . :)

ummuhumaira said...

Pn. Syazwani yusoff, buku kedua islah 43 inspirasi mendidik anak-anak. Ada sedikit kesilapan dalam buku tersebut yg menyebut tentang tajuk buku "eh anak kita dah besar" kerana penerbit telah mengubah tajuk tersebut kepada 43 inspirasi mendidik anak.

pn. Izzah, buku boleh dibeli di kedai-kedai buku yg mengedarkan buku dari galeri ilmu.. Mungkin puan boleh pergi ke popular, mph..

terima kasih..

Anonymous said...

Maaf , diaagree with u. Kena ambil iktibar daripada nama Abdullah yg wujud sebelum lahirnya Nabi Muhammad saw. & jika Allah menghendaki, boleh sahaja nama itu tidak wujud sebelum Nabi Muhammad saw itu wujud.

Kita kena betul2 mendalami & mengamalkan Islam yg sebenar2nya, & perkara lain jatuh no 2. Apakah kita sedar bahawa kita banyak dilalaikan dengan TV & media massa yg lebih jauh memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian seorang Muslim? Kebanyakan dari kita lalai dengan TV yg menyedeiakan juadah pro yahudi .Bukalah mata & minda. Perkara tentang nama Allah sebenanrnya bukanlah menjadi keutamaan tp TV lah yg byk merosakkan minda & akidah kita.
Wallahualam..

Lariis Atheera said...

sangat tidak setuju dengan kamu. Saya asalnya kristian. sekarang Islam. dah 15 tahun islam. masih pulang ke rumah ibubapa yang kristian. sejak saya lahir seingat saya memang dalam bible itu mengunakan kalimah Allah. Tidak pernah pun timbull masalah. Tetiba ada mangkuk pertikai. pertikai untuk beri kesedaran kononnya. Tapi yang saya lihat, dialah penyesat yang sebenar.