“Kalau abang nak balik ke Malaysia boleh ke?” Suami saya
membuka bicara ketika kami memulakan sarapan suatu pagi.
“Mmm balik Malaysia? Nak buat apa?” Saya sengaja bertanya
sedangkan di dalam hati sudah tahu bahawa dia ingin pulang untuk menemui
ibubapanya yang tercinta bagi meringankan beban pengajian PhD yang berliku itu.
“Nak mengundi, sambil menjenguk orang tua, hendak meninjau
sekolah Humaira yang bakal kita hantar dia nanti dan abang nak beli buku
silibus humaira dan khadijah supaya kita boleh mengajar mereka agar nanti mudah
untuk mereka masuk ke sekolah agama.” Jawab suami saya dengan wajah seribu
makna. Namun di matanya saya lihat ada harapan agar pulangnya dia ke pangkuan
ibubapa akan meredakan sedikit resah gelisah.
“Boleh saja, abang nak balik bila?” Saya menjawab. Senyum.
“Betul ke? Macam tak ikhlas saja…” Dia membalas lagi,
mengecilkan mata seolah tidak percaya dengan jawapan bersahaja saya.
“Hehe.. Ada rupa tak ikhlas ke?” Saya tersengih lagi.
“Kalau abang nak balik hujung bulan ni apa pendapat syifa?”
Dia bertanya soalan yang sama. Walaupun dia telah mendapat jawapannya, namun
dia bertanya lagi, mungkin inginkan kepastian dan ‘keikhlasan’ dari saya.
“Mmm.. Kalau abang rasa perlu
balik dan ada manfaatnya, balik sahaja. Lagi pun bagus juga, boleh abang jenguk
mak ayah kita. Mereka pasti rindukan abang.
Abang boleh belikan buku-buku humaira. Buku Khadijah pun dah habis.”
Saya membalas soalannya walaupun di dalam fikiran terbayang situasi saya akan ‘berperang’
dengan anak-anak selama ketiadaannya. Namun cepat-cepat saya tepis bayangan
itu.
Melepaskan suami pergi berbakti kepada ibu dan bapa, kadang
kala menghadirkan cemburu juga di sudut hati. Manusia biasa pasti akan terasa
ingin memiliki sepenuhnya, ingin dicintai sepenuh jiwa raga. Jika boleh biarlah
cinta dan layanannya hanya tertumpah hanya kepada kita dan anak-anak.
Namun, neraca Allah
tidak sebegitu dan neraca bahagia juga bukan sebegitu rupanya.
Setelah perkahwinan kami menjengah tahun yang ke sembilan,
saya semakin yakin bahawa sekiranya kita iaitu para isteri memberi laluan dan
peluang untuk para suami berbakti kepada kedua ibubapanya, kasih dan cinta yang
dicurahkan kepada ibubapa akan tertumpah jua kepada kita.
Jangan sekali-kali menghalang mereka untuk menjenguk atau
menziarahi orang tua mereka, kerana andai ibubapa mereka senang hati dan
gembira dengan kemunculan wajah dan tubuh badan anak mereka, Insya Allah
keluarga kita akan turut merasai kesan doa penuh kasih sayang dari ibubapa yang
tercinta.
Ketenangan hati seorang suami apabila dapat melangsaikan
tanggungjawab mereka kepada orang tua, akan membekas di dalam rumahtangga
dengan belas ihsan mereka melayan kita dan anak-anak.
Jika kita tinggal berjauhan dengan keluarga mertua yang
mungkin memerlukan pengorbanan dari segi wang, perasaan dan mungkin tenaga yang
lebih untuk melayani karenah anak-anak sementara sang suami pulang berbakti
kepada ibubapa, usah bimbang kerana setiap satunya akan dibalas oleh Allah
s.w.t. dengan syurga andai kita ikhlas melepaskan mereka.
Jika kita melebihkan keluarga suami untuk kita hargai dan
berbakti, Insya Allah mereka tidak akan pernah mempersiakan kita dan keluarga
kita.
Wanita memang terkenal dengan perasaan cemburu, namun
bimbinglah cemburu itu untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Cemburu yang
membuta tuli bukan sahaja akan merosakkan bahkan mungkin menyebabkan keluarga
kita berantakan.
Selain daripada itu, kita perlu melihat tingkahlaku suami
berbakti kepada ibubapanya akan menjadi qudwah dan contoh buat anak-anak.
Sekiranya, kita melayani ibubapa dengan cara yang terbaik, Insya Allah
anak-anak juga akan berperilaku demikian kepada kita nanti.
Wahai para isteri semua, mari sama-sama kita menjadi isteri
yang mendorong suami untuk berbakti, Insya Allah andai mereka mendapat pahala,
kita juga menerimanya. Kita tidak akan rugi malah untung kerana kasih ilahi
akan sentiasa mengiringi.
No comments:
Post a Comment