“Agak-agaknya, bagaimanakah sepatutnya cara kita berhadapan
dengan nasihat atau teguran yang diberikan kepada kita berkenaan dengan
rumahtangga kita?” Saya membuka bicara di dalam satu sesi perkongsian Bait
Muslim pada ahad yang lalu.
Sambil memandang ke arah setiap isteri yang berada di dalam
bulatan pada petang itu, kelihatan semua sedang berfikir apa jawapan yang
terbaik. Saya menanti penuh sabar dan akhirnya terpaksa menyebut nama seorang
daripadanya meminta beliau memberikan pandangan.
“Mmm pada saya, sekiranya ada seseorang yang datang menegur,
kita haruslah menerimanya, muhasabah
diri kemudian memperbaiki..” Jawab Aini (bukan nama sebenar) dengan penuh
yakin.
Saya beralih kepada semua yang ada, jawapan lebih kurang
sama, inti sama cuma olahan ayat yang sedikit berbeza.
“Bagus jawapan semua, menerima dan muhasabah, tetapi akak
nak menambah satu lagi… Iaitu seandainya ada teguran atau nasihat yang
diberikan kepada kita, jangan terlalu cepat memberi justifikasi. Dengarkan dahulu nasihat atau teguran itu, jangan cepat membantah. Kemudian bawa pulang ke rumah, kita muhasabah, jika perlu kita ubah..” Saya menambah
sedikit daripada jawapan adik-adik tadi.
"Atau dengan bahasa yang mudah, dengar, bawa balik, muhasabah, ubah."
“Maksud akak? Jangan mudah defend diri?” Tanya seorang
daripada mereka sambil mengerutkan dahi.
“Betul tu! Jangan cepat kita mempertahankan diri atau
memberi justifikasi atas teguran yang dibuat oleh orang disekeliling kita tidak
kira siapa samaada ibu bapa, jiran tetangga, ibubapa mertua atau mungkin
sahabat-sahabat kita.”
“Kenapa perlu begitu?” sengaja saya bertanya lagi ingin
memberi ruang mereka berfikir.
Mereka hanya memandang, nampak seperti tiada yang mahu
berkata-kata, lalu saya menyambung bicara.
“kerana sekiranya setiap kali diberi nasihat atau teguran,
lalu kita berkata itu dan ini untuk mempertahankan perbuatan dan tindakan kita
itu, kita bimbang lama kelamaan tiada siapa lagi yang mahu menegur atau memberi
nasihat kepada kita. Apatah lagi jika kata-kata kita itu seolah-olah mahu
menafikan segala teguran dan nasihat yang dibuat, sedangkan mungkin ia
benar-benar berlaku.
“Contohnya macam mana kak?” Tanya pula Hanan (bukan nama
sebenar) meminta penjelasan
“Contohnya, ibu kita menegur tentang cara kita mendidik
anak-anak yang kelihatan terlalu lembut. Lalu kita pun mempertahankan cara kita
itu dengan berbagai-bagai alasan, memberikan seribu satu kenyataan untuk
menafikan teguran dan menampakkan tindakan kita itu betul tiada kesalahan.”
“Akhirnya akan
keluarlah kata-kata seperti mmm tak
perlulah nasihat si polan dan si polan tu, kalau di tegur pun bukan dia nak
menerima.. Dia akan kata apa yang dibuat tu betul belaka…”
“Ataupun mungkin juga akan ada yang mengatakan bahawa, dia
tu bukan nak dengar pun nasihat kita ni, dia rasa dia bagus sangat, nasihat
kita ni akan diletak ke tepi sahaja.”
“Oleh sebab itulah jika kita ditegur atau dinasihati,
ucapkan sahaja terima kasih kepada yang prihatin itu, bawa balik kata-kata
nasihat mereka, refleksi pada diri dan keluarga sama ada ia betepatan atau
tidak dengan apa yang berlaku dalam keluarga. Jika ada benarnya, mungkin kita
boleh ubah yang mana patut dalam hidup kita berumahtangga dan jika tidak
sekalipun mungkin ia akan berguna pada masa depan yang kita belum pasti onak
dan durinya.” Jelas saya panjang lebar kepada adik-adik yang di hadapan saya.
Kebanyakannya masih di awal usia perkahwinan, 3-4 bulan,
setahun, 4 tahun dan 7 tahun. Walaupun saya tidaklah mempunyai terlalu banyak
pengalaman, tetapi disebabkan sayalah yang ‘paling tua’ dikalangan mereka, maka
terpaksalah saya berkongsi pengalaman yang mungkin berguna buat adik-adik yang
masih baru melayari bahtera perkawinan.
“Ad Deenun Nasihah” begitu sabda Rasulullah yang bermaksud
agama itu nasihat. Walau sehebat manapun kita, kadang kala kita kita tidak sedar
kita mungkin melakukan kesalahan dan kesilapan.
Bukankah kita ini manusia?
Oleh sebab itu, nasihat yang datang boleh diumpamakan
seperti cermin. Jika tiada cermin, mungkin kita tidak dapat melihat tudung yang
dipakai senget. Mungkin tidak nampak bedak bertompok. Mungkin tidak nampak rambut
di sikat rapi atau tidak.
Maka kita perlukan cermin atau orang yang lain yang mungkin
ternampak kelemahan dan keburukan yang ada pada diri dan keluarga. Pada
pandangan dan firasat kita, adakala kita rasa semua baik-baik belaka, namun
tidak bagi mereka yang di luar sana apatah lagi jika nasihat itu datang dari
orang yang lebih berpengalaman dan tinggi ilmu agama.
Bersikap rendah diri di hadapan mereka yang lebih dahulu
melalui onak duri di dalam perjalanan sebuah perkahwinan, adalah sangat baik
untuk kita mengutip sebanyak mungkin bekalan dalam perjalanan membina keluarga
yang dinaungi sakinah dan mawaddah.
Bukan mudah untuk menerima dan mendengar keburukan diri
sendiri atau keluarga, namun kepahitan itu kadang-kadang menjadi ubat kepada
sebuah kemanisan.
Rumahtangga yang dibina, pengakhirannya bukan sahaja di
dunia yang fana ini, tetapi kita mengharapkan berkekalan sehingga semuanya
berkumpul di Firdausi yang tertinggi.
No comments:
Post a Comment