22 December 2011

Tips mengasingkan anak tidur dari bilik ibu bapa

Memisahkan anak-anak tidur di bilik sendiri bukanlah perkara yang mudah, tetapi jika betul cara dan kaedahnya, Insya Allah urusan yang bisa memeningkan kepala ini akan berjaya ibu bapa laksanakan. Jika anda buntu, jom kita cuba tips-tips dibawah. Moga membantu dan bermanfaat!

Sepakat

Ibu dan bapa mestilah sepakat di dalam hal ini, setiap orang mesti menyampaikan mesej yang sama dengan kerap setiap hari. Berbual dengan anak tentang perkara ini setiap pagi selepas mandi, ketika makan, ketika pergi bersiar-siar, di dalam kereta, sebelum tidurkan anak-anak dan bila-bila sahaja yang dirasakan sesuai.
Ibu bapa boleh katakan kepada anak-anak :

“Seminggu lagi adik dah 3 tahun, adik dah besar, cantik dan berani, jadi adik kena tidur di bilik sendiri tau…”

“Mulai minggu depan, adik tidur di bilik adik tau, bilik ayah dan ibu ni bukan lagi bilik adik, nanti kita hiaskan bilik adik cantik-cantik ok? Adik nak cadar warna apa ye?”

Bila dia melakukan sesuatu secara berdikari seperti makan sendiri, katakan kepadanya:

“Wah! Nampaknya anak ibu dan ayah ni dah besar la… kalau adik tidur bilik sendiri lagi bagus! Bilik ibu dan ayah tak seronok, dah la tak cantik,  tak ada mainan pula tu..  katil pun sempit kalau tidur tiga orang, malam ni adik tidur di bilik adik ye?”

Pendek kata, banyakkan ayat-ayat provokasi dan menanamkan keyakinan bahawa dia sudah cukup besar dan bersedia untuk tidur di biliknya sendiri.

Jangan sesekali salah seorang dari ibu atau bapa yang berkata dihadapan anak yang terlibat seperti : “Eh tak mengapalah dia tidur dengan kita, bukankah dia masih kecil?” Kata-kata ini akan menjadi modal untuk anak-anak untuk terus tidur barsama ibu bapa dan usaha untuk memisahkan anak dari tempat tidur ibu bapa akan menjadi sedikit sukar.

Hiaskan bilik tidur

Jadikan bilik tidur anak satu tempat yang sangat istimewa untuk si kecil. Pilihlah cadar mengikut warna kesukaannya, dan hiasan-hiasan yang sepatutnya mengikut kemampuan ibu bapa.

Boleh juga diletakkan permainan yang bersesuaian, tetapi ELAKKAN daripada meletakkan televisyen kerana ia akan menyebabkan kita sukar untuk mengawal aktiviti menonton televisyen anak-anak. Dibimbangi anak-anak akan menonton televisyen sehingga larut malam sedangkan kita sudah lena dibuai mimpi.

Pada pendapat saya, tidak perlu kepada hiasan yang mahal-mahal, cukup sekadar apa yang anak suka seperti ada teddy bear atau anak patung yang digemari. Di dalam hal ini, banyakkan berbual dengan anak apa yang dia suka dan cuba hias bilik anak bersama-sama.

Jika ingin membeli keperluan bilik tidur, ajaklah anak bersama untuk memilihnya, jadi ia akan menjadi ayat penguat kepada ibu bapa untuk memujuk mereka tidur di atas katil atau cadar yang dipilihnya. Mungkin boleh dilekatkan juga bintang dan bulan yang bercahaya di dalam gelap di bilik anak-anak. Jadi anak-anak akan rasa biliknya lebih hebat dari bilik ibu dan ayah. Pendek kata, gunakan kreativiti anda sebagai ibu bapa.

Membiasakan diri anak tidur di biliknya

Bila kita dapati anak mengantuk, terus bawa dia masuk ke biliknya. Jangan tidurkan anak di bilik ibu bapa kemudian baru diangkat ke bilik mereka. Ini akan melambatkan proses untuk dia merasa selesa untuk melelapkan mata di bilik mereka sendiri. Tidak kira siang atau malam, biasakan mereka tidur di bilik mereka sendiri.

Jika mereka menolak untuk masuk ke bilik mereka, gunakan taktik seperti memancing mereka dengan permainan dan sebagainya. Jika mereka tidak mahu juga, ibu bapa masuk sahaja ke bilik anak dan baringkan diri di atas katil mereka.

Jangan sesekali masuk ke bilik ibu bapa kerana rengekan atau tangisan anak, jika mereka menangis buat tak tahu sahaja. Bila mereka masuk ke bilik mereka, peluklah mereka dan ajak mereka tidur bersama di atas katil mereka yang selesa itu.

Apa yang penting, ibu bapa perlulah tegas dalam hal ini, jangan mengalah jika anak memujuk atau menangis tidak mahu tidur di bilik mereka. Ingatlah, mereka sedang menguji ketahanan diri anda!

Temankan anak-anak tidur

Aktiviti ini sangat membantu membina keyakinan anak-anak untuk tidur di bilik sendiri. Sebelum tidur, berbuallah  dengan mereka tentang hari yang dilaluinya. Bacakan buku cerita, atau ceritakan kepada mereka cerita yang menarik, jangan pula bercerita cerita seram kepada anak-anak.

Sebaik-baiknya ceritakan kisah nabi atau kisah-kisah teladan. Mungkin juga ibu bapa boleh menceritakan cerita rekaan kepada mereka. Sebagai contoh kisah kucing yang berani tidur di bilik sendiri, kemudian kaitkan dengan diri mereka. Di dalam hal ini, ibu bapa mestilah kreatif! Walaupun cerita kita tu macam tak logik, tetapi anak-anak suka apa jua cerita yang dikisahkan oleh ibu bapa mereka.

Bacakan juga bersama mereka doa sebelum tidur dan surah-surah pendek seperti Al-Fatihah dan tiga Qul. Katakan kepadanya, walaupun ibu dan ayah tidak tidur bersama mereka, tetapi Allah dan malaikat ada untuk menjaga mereka.

Temankanlah  mereka sehingga mereka terlelap. Setelah mereka terlelap, kucuplah dahi mereka dan katakan kepada mereka sekali lagi bahawa Allah dan Malaikat sentiasa menjaga mereka.

Jika anak menangis di tengah malam, apa perlu dilakukan

Pada hari-hari awal memisahkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa, saya pasti kebiasaannya anak-anak akan menangis di tengah malam kerana rasa takut. Anak-anak mungkin akan mengetuk bilik tidur kita. Jika ini berlaku, bawa anak semula ke bilik mereka dan tidurkan mereka semula di atas katil mereka. Jangan ajak mereka tidur bersama ibu bapa pula!

Jika setelah seminggu dan anak-anak masih lagi menangis malam, apabila ibu atau bapa mendengar anak menangis, biarkan sahaja mereka menangis dalam masa sepuluh minit, jika tidak berhenti menangis juga dalam masa itu, barulah ibu atau bapa pergi menjenguk mereka (panjangkan masa menunggu ini dari masa ke masa).

Ibu bapa tidak perlu terus pergi kepada anak-anak kerana perbuatan begitu akan mengajar anak bahawa jika menangis, ibu atau ayah akan datang kepada mereka.

Insya Allah jika ibu bapa konsisten, dalam masa seminggu atau dua, anak-anak tidak lagi menangis apabila tersedar di tengah malam. Mereka akan berputus asa untuk menangis lagi kerana ia tidak akan mendapat perhatian dari ibu bapa.

Di dalam soal ini, ibu bapa mestilah kuatkan hati, demi kebaikan anak-anak kadang-kadang ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan mereka.

Fahamkan mereka kenapa dan kenapa

Jika anak sudah berumur 4 tahun ke atas, nyatakan sebab-sebab anak-anak tidak boleh lagi tidur sebilik dengan ibu bapa. Antara sebabnya ialah:

  • Bilik ibu dan ayah adalah bilik peribadi ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah ada aurat yang perlu dijaga.
  • Ajaran agama menyuruh anak-anak meminta izin daripada ibu bapa jika ingin memasuki bilik tidur ibu bapa pada masa-masa tertentu seperti selepas subuh, sewaktu tengahhari dan selepas isyak. Jadi jika anak-anak masih tidur sebilik dengan ibu bapa adalah sangat sukar untuk kita mengajar anak-anak untuk meminta izin kerana mereka akan merasakan bahawa bilik ibu bapa adalah bilik dia juga.
  •  Anak sudah meningkat usia, jadi tidak manis jika masih tidur sebilik



Berilah pujian dan penghargaan

Berilah pujian atau penghargaan sekiranya anak berjaya tidur sendiri. Jangan tunggu lama, tetapi sebaik sahaja dia bangkit dari tidur atau ketika ibu atau ayah mengejutkan anak di pagi hari, peluklah dan ucapkan tahniah atas keberaniannya malam tadi. Katakan juga kepada anak bahawa anda sangat bangga dengan keberaniannya itu.

Pujilah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang amat membanggakan anda.  Puji berulang kali, dan berikan galakan untuk dia tidur di biliknya lagi malam nanti.

Ibu bapa juga boleh memberi hadiah jika anak berjaya tidur di bilik mereka  dalam beberapa malam contohnya selama seminggu.  Ini akan menaikkan semangat mereka untuk terus tidur di bilik sendiri. Berilah pujian dan pernghargaan yang dirasakan sesuai dengan anak anda.

******

Cadangan-cadangan di atas Insya Allah akan berkesan jika ibu bapa konsisten melaksanakannya. Namun begitu, ia tidak sama jangka waktu antara anak-anak. Mungkin ada yang hanya mengambil masa seminggu, mungkin juga mengambil masa berbulan-bulan, apa yang penting ialah ibu bapa mestilah meletakkan peraturan di dalam rumahtangga dan anak-anak perlu mematuhinya.

Gunakanlah seluruh kebijaksanaan kita di dalam mendidik anak-anak dan mengasingkan anak-anak dari tempat tidur ibu bapa merupakan salah satu dari pendidikan seks di dalam Islam. Kita perlu memandang perkara ini sebagai satu perkara yang penting. (Untuk mengetahui dengan lanjut berkenaannya, nantikan artikel akan datang, Insya Allah)

Mudah-mudahan ibu bapa berjaya dan mohonlah kepada Allah agar dimudahkan dalam urusan ini. MOGA BERJAYA!

Wallahua’lam


20 December 2011

Maniskanlah bicaramu wahai ibu...

Pagi tadi sementara saya menyiapkan lempeng pisang buat sarapan seisi keluarga, saya mendengar radio ikim.fm melalui telefon. Tinggal di perantauan sebegini, saya rindukan kuliah-kuliah agama di masjid buat membasahkan hati yang mudah sahaja gersang andai tidak disiram dengan baja-baja keimanan dari lidah para ulama.

Sejak saya di sini, radio ikim.fm menjadi peneman setia saya saban hari terutamanya ketika saya memasak. Daripada membiarkan fikiran melayang ke arah yang kurang memberi manfaat, lebih baiklah saya mendengar radio yang banyak memberi input berguna sebagai bekalan di dalam perjalanan hidup yang bakal menemui Tuhan pada masa dan tempat yang telah ditentukan.

Pagi ini, saya mendengar sebuah program soal jawab antara seorang ulama besar yang tinggal di Madinah (kalau tak salah saya) dengan para pendengar ikim.fm. Ulama tersebut bercakap di dalam bahasa arab, namun ada seorang ustaz yang akan menterjemahkan percakapannya ke dalam bahasa melayu.

Pertama kali saya mendengar rancangan ini kerana kebiasaannya saya akan ke pasar Gepps Cross setiap ahad, tetapi melihat cuaca yang mendung hari ini saya membatalkan niat saya itu. Rupa-rupanya Allah ingin memberi ilmu yang lebih bernilai buat saya pada hari ini, alhamdulillah.

Pada permulaannya, ustaz tersebut tersebut telah membaca sebuah doa yang sangat panjang. Beliau mengatakan bahawa umat islam sekarang sangat leka untuk berdoa sedangkan doa adalah senjata yang paling ampuh buat seorang muslim. Ada benarnya kata ustaz tersebut kerana jika kita muhasabah diri kita, dalam sehari semalam berapa minitkah yang kita peruntukan untuk memohon doa daripada Allah s.w.t? 

Seringkali selepas solat, kita akan berdoa dengan tergesa-gesa sekadar melepaskan batok di tangga. Bahkan seringkali sebaik sahaja memberi salam kita terus bangun menyambung tugas-tugas duaniawi kita seolah-olah segala urusan tersebut hanya bergantung kepada usaha dan kudrat kita untuk menjayakannya.

Kemudian, ustaz tersebut telah bercerita. Pada suatu hari, datang kepadanya seorang hamba Allah dan mengkhabarkan kepadanya perihal seorang wanita yang sedang sakit teruk, lalu diajak ulama tersebut untuk menziarahi wanita malang ini. Tanpa banyak soal, ulama itu pun pergilah menziarahi wanita itu bersama dengan seorang tabib yang dijemput juga oleh hamba Allah tadi. 

Sampai di rumah wanita itu, dilihat wanita tersebut berada di dalam keadaan yang bagaikan mayat hidup. Setelah diperiksa oleh tabib yang datang bersama mereka, tabib berkenaan mengatakan bahawa wanita itu telah diserang angin ahmar.

Kemudian lelaki itu bertanya pula dengan ulama itu : "Wahai ustaz, kenapakah wanita itu menjadi sebegini rupa?"

 Ulama tersebut tidak terus menjawab, tetapi meminta untuk berjumpa dengan ibu kepada wanita yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat itu.

 Ketika bertemu dengan ibu kepada wanita itu,  Ibu wanita itu yang sudah lanjut usia bertanya kepada ulama tersebut "Wahai Ustaz, saya ingin bertanya kepada tuan, kenapakah anak perempuan saya itu menerima nasib sedemikian rupa?

"Wahai ibu, pernahkah engkau memarahi anakmu dengan mengatakan bahawa dia akan ditimpa celaka dan kecacatan?" Ulama tersebut bertanya kepada ibu tua itu.

Ibu tua itu hanya mendiamkan diri lalu menundukkan wajahnya. Hampir sahaja airmatanya tumpah.

"Wahai ibu, anak perempuanmu itu menjadi begitu kerana kata-kata dari lidahmu, mungkin engkau tidak meniatkan supaya anakmu menjadi sebegitu, tetapi Allah telah menentukan bahawa kata-katamu itu dimakbulkan." Jelas ulama itu 

 Ibu itu terduduk hiba apabila mendengar penjelasan ulama itu, dia memandang ulama itu lalu bertanya "bagaimanakah tuan mengetahui tentang perkara ini sedangkan inilah kali pertama kita bertemu?" 

"sesungguhnya ia adalah ajaran yang telah diajar oleh guru-guru kami dari lidah Rasulullah s.a.w, bahawa kata-kata ibu itu adalah doa walaupun perkataan-perkataan itu adalah perkataan yang tidak baik." kata ulama itu lagi

Mendengar kata-kata ulama itu, ibu tua tidak mampu lagi berbicara. Hanya penyesalan sahaja yang lahir di lubuk hatinya. 

Saya termenung sebentar mendengar kisah tersebut. Bukan tidak pernah mendengar cerita begitu, tetapi saya merenung kembali perkataan yang bagaimanakah yang selalu saya sebut terhadap anak-anak tatkala saya kemarahan. Bimbang juga andai terkeluar dari bibir ini perkataan yang tidak baik. Na'uzubillah...

Oleh itu, wahai para ibu, maniskanlah bicaramu terhadap anak-anakmu. Usah berkata sebarangan walaupun ketika anakmu tidak mahu mendengar kata- katamu atau membantah suruhan-suruhan mu.

Andai kita marah, cubalah kita elakkan dari menyebut perkataan seperti

"degil betullah engkau ni!"
"budak pemalas!"
"bodoh!"
"Ish! Tak dengar kata sungguh la!"

Atau apa jua perkataan yang kurang baik. Dibimbangi kata-kata kita ketika itu dmakbulkan oleh Allah. Andai kita sedang kemarahan, cubalah tekan butang "pause" dalam diri kita agar apa yang terkeluar dari lidah kita hanya yang baik-baik sahaja. Jika tidak tahan juga melihat karenah anak-anak, jauhkanlah diri kita daripada mereka dan banyakkanlah istighfar. Apabila sudah tenang,kembalilah kepada anak- anak dan nasihatilah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Kata- kata itu doa, maka gunakanlah ia sebaiknya. Maniskanlah bicaramu dengan semanis-manis bahasa, agar yang indah dan manis juga yang akan menghiasi diri dan hidup keluargamu kini dan selamanya... 

Sungguh menjadi ibu bapa yang soleh dan solehah memerlukan mujahadah yang besar dalam menjaga perkataan dan perbuatan. Ibu bapa adalah cerminan bagi anak-anak, andai baik tingkahlaku dan kata-kata kita, insya Allah akan baik jugalah akhlak dan budi pekerti anak-anak dan begitulah sebaliknya...

13 December 2011

Tidak semudah 1,2,3!

"Humaira! dah solat zohor?"
"Humaira! Cepat salin pakaian!"
"Humaira! Jom makan!"

Begitulah jeritan saya saban hari setelah dia pulang dari sekolah. Itu cerita waktu tengahhari, waktu pagi makin banyaklah jeritan saya dari dapur yang sibuk menyiapkan sarapan.

Penat menjerit saya pergi menjenguk Humaira di dalam bilik. Aduhai, kadang-kadang naik angin juga jadinya kerana setiap hari saya terpaksa jeritkan perkara yang sama, meminta dia menyiapkan diri untuk ke sekolah dan menyelesaikan beberapa perkara setelah pulang dari sekolah.

Humaira sudah mencecah usia tujuh tahun pada tahun hadapan, sudah masanya kami mendisiplinkan dia dalam kebanyakkan urusan kehidupannya. Semua ini saya ambil dari pesanan Saidina Ali bahawa tujuh tahun kedua adalah masa untuk mendisiplinkan anak-anak.

Setiap waktu saya berfikir-fikir apakah cara terbaik mendisiplinkan anak-anak, selalu juga berbincang dengan suami saya. Setelah beberapa waktu saya amalkan kaedah suruhan demi suruhan, nampaknya hasilnya agak mengecewakan. Sampai bila saya perlu menyuruh dia melakukan satu persatu perkara dalam mengurus kehidupannya?

"Abang, macammana kita nak disiplinkan Humaira ya? dia dah semakin besar tapi saya nampak tak ada disiplin langsung. Balik dari sekolah terus menghadap televisyen. Makan ikut suka hati dia. Solat pun belum istiqamah lagi tu." Saya memulakan bicara ketika kami sama-sama minum petang dengan kuih  lapis dan teh tarik kegemaran suami.

"Abang rasa mesti ada caranya sebab jika di sekolah, dia boleh sahaja ikut peraturan, abang tengok bila sampai di kelas dia akan letak beg di rak, kemudian ambil kerusi dan kemudian duduk di tempat yang dikhaskan untuknya, kalau di sekolah dia boleh berdisiplin di rumah pun pasti boleh." suami saya memberi respon  dengan bercerita tentang kelakuan Humaira di sekolah.

Dia lebih tahu keadaannya kerana biasanya dia yang menghantar Humaira ke sekolah andai terlepas bas. Saya akan hanya menunggu di dalam kereta atau hanya duduk di rumah.

"Tapi macammana ya caranya? Mmm..." saya bertanya sambil mengerutkan dahi, kemudian termenung sebentar. otak saya ligat mengimbas kembali bagaimana caranya saya mendisiplinkan pelajar-pelajar tadika.

"Abang ada idea tak nak buat macammana?" Saya bertanya lagi apabila tidak ketemu jawapan daripada gambaran-gambaran ditadika. sedangkan suami saya masih membatu melihat saya.

"Nanti kita sama-sama fikirkan, yang penting sekarang ni abang nak minum teh tarik dulu, boleh tolong tuangkan airnya sayang?" Suami saya membalas sambil mulutnya dimuncungkan ke arah jag yang masih ditangan. Sejak tadi menanti teh tarik yang tak sampai-sampai.

"Eh lupa la pulak! Hehe..." saya tersengih-sengih bagai kerang busuk, lalu terus menuang air ke cawan yang tersedia dan menghidangkannya bersama kuih lapis yang baru saya buat pagi tadi.

Beberapa hari selepas perbincangan itu, saya masih seperti biasa, menjerit dari dapur memberi arahan demi arahan kepada Humaira. Andai terasa jemu, saya diamkan sahaja.

Susah juga nak disiplinkan anak sendiri rupanya, jika di Tadika, dengan pelajar dua puluh lima orang di dalam sebuah kelas tiada pula terasa bermasalah. Ada waktunya saya mengeluh, ada kalanya saya bertukar menjadi dinasor yang merah matanya menahan amarah kerana arahan yang diambil sambil lewa.

Puas bersabar saya leterkan juga Humaira, tetapi biasalah anak-anak, leteran ibu bagaikan air menderu, entah masuk ke telinga entahkan tidak.

Namun situasi ini berubah satu hari. Hari itu suami saya berada di rumah ketika Humaira sampai dari sekolah.

"baiklah Humaira', masuk rumah terus buat nombor satu, dua dan tiga ya." Suami saya berkata kepada humaira sebaik sahaja dia masuk dan menyalami ayahnya.

"Okay!" Jawab Humaira dengan selamba. Saya yang tak tahu hujung pangkal hairan juga mendengar arahan sebegitu.

" Satu,dua, tiga? apa benda la pula ayah ni?" saya tertanya-tanya di dalam hati.

Beberapa ketika kemudian, Humaira menjengah ke dapur untuk makan tengahhari, baju sudah bertukar dan bila ditanya tentang solat, sudah katanya.

"Haih jampi apa la yang ayah dia hembus ni? Tak pernah-pernah budak  ni datang sendiri ke dapur selagi ibu tak panggil. satu perkembangan yang menarik!" detik hati saya. Saya diam sahaja sambil mencedok nasi ke dalam pinggan dan hidangkan ayam masak kicap kepada Humaira. Saya dan suami sudah makan lebih awal kerana Humaira pulang dari sekolah agak lewat sekitar jam tiga setengah petang.

Saya tidak terus bertanya dengan suami tentang arahan satu dua tiganya itu, namun saya terus memerhati keletah mereka anak beranak. Setiap kali pulang dari kerja pasti si ayah akan bertanya anak sulungnya itu sama ada sudah buat satu dua tiga atau belum. andai dibuat, Humaira akan menjawab dengan penuh yakin. Tetapi jika tidak terlaksana, mulalah dia akan tersengih-sengih sambil cuba menukar topik perbualan.

"Ibu, lepas ni, ibu pastikan Humaira buat nombor satu,dua dan tiga lepas balik sekolah ya!" suami saya bersuara selepas bersembang dengan Humaira satu petang. Saya hanya terkedip-kedip, walaupun saya dapat mengagak tentang arahannya itu tapi saya belum benar-benar pasti tentangnya.

"Humaira, cuba Humaira bagitahu ibu, apa dia nombor satu, apa dia nombor dua dan apa dia nombor tiga yang ayah suruh humaira buat lepas balik sekolah." Suami saya mengalihkan pandangan kepada Humaira yang masih di atas ribanya.

"Laaa ibu tak tahu ke?" tanya Humaira kepada saya

"Dah tak ada siapa nak bagitahu ibu, macammana la ibu nak tahu?" Jawab saya dalam nada seolah merajuk.

"Hah cepatlah bagitahu ibu, apa dia satu dua tiga tu?" Saya berkata lagi sambil mengangkat kening

"Nombor satu tu solat zohor, nombor dua tukar baju,  nombor tiga pula pergi makan. Itulah no satu, dua dan tiga kan ayah?" Jelas humaira, kemudian meminta pengesahan dari ayahnya.

"oh macam tu.. jadi balik sahaja dari sekolah, Humaira kena solat zohor dulu, lepas tu tukar baju, lepas tu makan la ya?" saya cuba mengulang agar tidak tersalah.

"Haaa betul! Betul!" Humaira membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"no empat apa?" sengaja saya tanya menguji

"Nombor empat tengok Toy Box la!" Humaira berkata sambil melompat dari riba ayahnya dan terus meluru ke arah adiknya yang baru bangun dari tidur.

Semenjak hari itu, saya tidak lagi perlu memberi arahan demi arahan, cukup dengan mengingatkan dia tentang nombor satu, dua dan tiga dan alhamdulillah kaedah itu sangat berkesan dan mudah dilaksanakan oleh Humaira.

Apabila dia sudah selesa dengan rutin waktu pulang dari sekolah, suami saya melakukan perkara yang sama untuk urusan di waktu pagi. Nombor satu masuk bilik air, nombor dua mandi, nombor tiga pakai uniform sekolah, nombor empat solat subuh (walaupun sudah jam 7.30 pagi), dan nombor lima sarapan.

Kami juga meminta Hamaira menulis sendiri aturan tersebut dan melekatkannya di peti sejuk agar dia lebih ingat. Walaupun kadang-kadang saya dan suami terpaksa mengingatkannya tentang rutin itu, tetapi cukup dengan menyebut nombor, dia sudah tahu apa yang sepatutnya dibuat. Tidaklah sesempurna mana, tetapi sudah banyak perubahan pada Humaira yang dapat saya lihat. Alhamdulillah.

Urusan mendisiplinkan anak-anak bagi saya bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi jika kena dengan gaya dan caranya, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan pening ibu dan ayah di dalam menangani karenah anak-anak.

Ibu bapa juga tidak boleh mengharapkan anak- anak berubah sekelip mata. Ia perlukan masa untuk anak-anak membiasakan diri dengan peraturan kehidupan. Kita hanya perlu mengaturnya dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sesungguhnya mendidik anak-anak perlukan kepada kreativiti yang tinggi. Mungkin juga perlu dicuba dengan berbagai-bagai cara. Sama-samalah kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan idea dalam membentuk diri anak-anak menjadi anak yang soleh dan musleh.

Yang pasti, ia tidak semudah 1,2,3!

Wallahua'lam

12 December 2011

Iphone oh iphone...


Masak dalca dengan ibu, sengaja sediakan bekas-bekas ni supaya si kecil ada kerja... Kalau bersepah sikit-sikit sabar saja la...


Mewarna bersama anak-anak, mereka mesti suka bila ada sentuhan ibu atau bapa...


Tidak sedikit masa yang terpaksa diluangkan untuk membina istana ini bersama... Mudah-mudahan masa itu dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t.


"Nak iphone.. nak iphone... uwwwaaaa..." Khadijah menangis sekuat hati untuk memancing simpati saya agar memberinya semula iphone yang telah saya ambil dari tangannya setelah hampir setengah jam menonton cerita kanak-kanak Islam melalui saluran you tube.

Jika diikutkan telinga yang bingit mendengar jeritan dan tangisan-tangisannya, mahu sahaja saya hulurkan semula iphone tersebut kepada anak kecil itu. Namun saya tidak harus tewas dengan 'lakonannya' itu.

"Adik, jom kita baca buku nak? Mana buku beruang adik yang makan ais krim tu?" Saya mula memasang umpan agar perhatiannya tidak lagi kepada skrin kecil itu. Umpan saya itu malangnya tidak dihiraukan, dia masih menyambung nyanyian yang agak menyesakkan telinga. Saya buat-buat tak dengar.

Di saat, suami pergi ke universiti, dan Humaira pergi sekolah, saya merasakan waktu berlalu begitu perlahan. Tiada siapa yang dapat melayani karenah si kecil yang kebosanan berseorangan di rumah, sedangkan saya perlu melangsaikan urusan-urusan rumahtangga yang tidak pernah habis. Memang mudah jika diberikan sahaja iphone agar Khadijah ralit di atas sofa dan saya boleh memasak, membasuh dan melipat pakaian, mengemas rumah dan sebagainya dengan mudah dan tenang. Walau bagaimanapun, jika difikir kesan jangka panjang terhadap psikologi anak-anak, saya terpaksa menimbang kembali penyelesaian mudah tersebut.

Iphone saya simpan di tempat yang tidak dapat dilihat dan dicapai Khadijah, lalu saya menarik tangannya ke bilik permainan. Khadijah masih menangis sambil menyebut-nyebut iphone. Namun tangisannya semakin perlahan, mungkin mula menyedari bahawa tangisan itu langsung tidak memberi manfaat kepadanya.

Saya mencapai buku, dan saya unjukkan kepada khadijah : "Adik, tengok kucing ni, dia main di playground la..."

"Tak naaaakk... Tak naaaak.. Nak iphone" Khadijah masih menangis. Tegar sungguh ingatannya terhadap iphone.

"Adik! Meow ni naik buaian la kat playground! Wah! seronoknya dia naik buaian tu... Lajuuuuuu...wuuuu.. wuuu... macam adik naik buaian kat playground kan? Petang ni kita pergi playground nak tak?" saya cuba lagi  menarik perhatiannya dengan buku yang penuh warna warni itu. Dengan suara yang agak kuat akhirnya khadijah teruja juga lalu terus mencurahkan perhatiannya kepada buku tersebut. Saya terus bercerita, dan dia bertindak balas. Di dalam hati, saya berhamdalah kerana usaha saya untuk mengalih perhatiannya daripada telefon pintar itu berjaya.

Selepas satu buku, diambil pula buku lain. Bila sudah bosan dengan buku, kami bermain bersama dengan berbagai permainan yang ada. Bosan dengan mainan, saya meniup belon lalu saya baling dan dia menangkapnya. Kemudian saya berikan dia buku dan pensil warna, mewarna bersama, menekap tangan dan kaki di atas helaian-helaian kertas, dan macam-macam aktiviti yang kami lakukan bersama.

Dibenak saya masih tersusun kerja-kerja rumah yang belum selesai. Melihat dia leka, sekejap-sekejap saya lari pergi masukkan baju ke dalam mesin, sekejap-sekejap saya mengemas rumah, bila dia memanggil ibu, saya akan menjenguknya kembali, bila dia terleka saya berkejar pula membuat apa yang patut. Penat! namun saya puas melihat dia bereksplorasi dengan persekitaran, tidaklah duduk atau baring menghadap skrin kecil yang begitu mengasyikkan.

Saya pasti bukan saya sahaja yang mengalami masalah seperti itu bersama anak-anak. Melayani karenah anak-anak teknologi, menyebabkan ibu bapa perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dalam menangani gejala ketagihan dikalangan anak-anak. Kadang-kadang memang buntu dibuatnya, tetapi janganlah kita menyerah kalah dengan mereka. Andai kita menyerah, pasti mereka mentertawakan kita, usah menampakkan kita mudah di'tawan' oleh tangisan dan amukan kita.

Tidak salah mengenalkan mereka dengan teknologi canggih, tetapi ia perlu dikawal masa penggunaan dan apa yang ditonton mereka melalui komputer atau telefon pintar yang amat-amat 'user friendly' tersebut. Pelbagai video boleh dicapai dihujung jari, jika tidak dipantau, mungkin anak-anak akan menonton perkara-perkara yang tidak baik yang boleh merosakkan akhlak dan aqidah mereka.

Pernah suatu hari, ketika saya melihat semula apa yang sedang ditonton oleh khadijah, rupa-rupanya dia sedang melihat kartun berkenaan dengan jesus sedangkan pada awalnya saya buka lagu-lagu kanak-kanak untuknya. Berderau darah saya, dan mulai hari itu, saya akan pastikan saya sentiasa melihat dan memantau dalam jangka masa yang sangat pendek.

Ibu bapa juga mestilah menghadkan masa penggunaan komputer atau telefon pintar oleh anak-anak. Jangan lebih dari dua jam sehari. Berikan syarat-syarat penggunaan dan kita mestilah bersama-sama melaksanakan syarat-syarat tersebut. Fahamkan anak-anak tentang tentang kebaikan dan keburukannya, supaya mereka akan lebih patuh. Ia sesuatu yang tidak mudah, tetapi setelah anak-anak memahami akan ketegasan kita, insya Allah anak-anak tidak akan buat perangai tatkala kita mengambil atau menutup aplikasi-aplikasi yang digemari mereka.

Di samping itu, sediakanlah aktiviti-aktivit alternatif kepada anak-anak. Mungkin aktiviti ini memerlukan kita untuk menyertainya, tetapi sama-samalah kita meluangkan masa dengan anak-anak demi kebaikan mereka dunia dan akhirat. Membaca dan bermainlah bersama mereka. Pergilah berekreasi dan beriadah di taman-taman sekitar perumahan kita. Mungkin di kala itu kita sudah keletihan lantaran baru pulang dari kerja, namun masa-masa itulah yang amat dinanti-nanti oleh anak-anak untuk bersama kita. Korbankanlah sedikit kerehatan kita sewaktu anak-anak masih kecil, mudah-mudahan mereka akan melapangkan masa sibuk mereka nanti sewaktu kita sudah lanjut usia.

Pendidikan anak-anak zaman sekarang memang sangat mencabar. Jika kita tidak menyahut cabaran modernisasi ini, dibimbangi aqidah dan jati diri anak-anak pula yang akan tercabar. Sama-sama kita berusaha dan berdoa kepada Allah agar anak-anak kita sentiasa dilindungi di dalam rahmat dan hidayah Allah.. Amin Ya Rabbal Alamin

16 October 2011

Kenapa Allah ciptakan manusia itu lupa?

“Adik ni dah mengantuk sangat dah ni, mata pun dah tak larat nak diangkat…” Saya mengomel sendirian ketika menyuapkan Khadijah dan Humaira’ makan tengahhari setelah sekian lama ayah mereka yang mengambil alih tugas dek kerana Hyperemesis yang melanda.

“Semalam adik tidur tak ibu?” Humaira bertanya setelah nasi di dalam mulutnya habis dikunyah

“Mmm… Tak ingatlah pula ibu, adik tidur ke semalam?” Saya bertanya dia kembali kerana sejak akhir-akhir ini khadijah memang jarang tidur siang, mungkin asyik bermain dengan kakak yang sedang bercuti. Jika tidak dia pasti akan tidur sebelum Humaira pulang dari sekolah.

“Adik tidurlah ibu, bukankah adik tidur dalam perjalanan kita pergi ke taman permainan semalam.” Dia cuba mengingatkan saya

“Ya tak ya juga kan… Alahai lupa pula ibu. Mmm…” Saya tersengih ke arahnya

“Tu laaaa… Kenapa ibu lupa?” Humaira bertanya lagi, semakin lama semakin banyak soalnya anak saya ini. Apa jua yang kita katakana pasti akan ditanya semula dengan soalan kenapa… Aduhai, kadang-kadang malas juga nak menjawabnya.

“Ya la Humaira, Ibu ni kan manusia, manusia itu kan sentiasa lupa.” Saya cuba menjawab dengan telus, namun jawapan telus saya itu terus mengundang soalan daripada Humaira’

“Tapi kenapa Allah ciptakan manusia tu selalu lupa ibu?” Saya menggaru kepala yang tidak gatal mendengar soalannya yang bertalu-talu. Kalau diikutkan badan yang belum sihat ini, mahu saja saya menyuruh dia supaya tidak lagi bertanya. Kadang-kadang tercabar juga kesabaran dalam mendepani karenah anak-anak ini.

“Allah ciptakan manusia itu lupa supaya kita sentiasa ingat mengingatkan. Jika ibu lupa, Humaira ingatkan ibu dan jika Humaira lupa, ibu pula akan ingatkan Humaira.” Saya cuba menjawab dengan bahasa semudah mungkin untuk dia fahami.

Humaira’ mengangguk-angguk kepala sambil berkata, “Mmm betul la ibu, Humaira pun dah lupa semua benda. Humaira dah lupa apa yang Humaira buat masa kecil-kecil dulu…Mmm…”

“Baiklah Humaira’ ibu nak ke dapur sekejap nak tambah nasi ni, Humaira’ nak tambah lagi kan?” saya cuba berstrategi supaya tiada lagi soalan yang akan menjengah pemikiran saya ini. Hihihi  banyak sangat soalan nanti takut-takut saya buat tak tahu pula. Jika saya terus duduk di sini pasti aka nada lagi soalan-soalan yang tidak pernah saya fikirkan.. Baik selamatkan diri.

Begitulah lumrahnya manusia, sentiasa lupa dan sentiasa perlukan peringatan. Al-insan itu sendiri pun sudah bermaksud lupa, oleh sebab itu Allah menciptakan Al-Quran sebagai petunjuk dan mengutuskan Rasul sebagai pemberi peringatan.

Bagi seorang muslim pula, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk ingat-mengingatkan sesama muslim. Jika ada saudara seislam kita yang melakukan kemaksiatan kepada Allah, maka terpikul amanah di bahu kita untuk saling tegur menegur agar ia kembali kepada petunjuk Allah s.w.t semula sepertimata yang disebut oleh Allah di dalam KitabNya.

“Dan berilah peringatan dengan apa yang diwahyukan itu kepada orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhannya (pada hari kiamat), sedang bagi mereka tidak ada seorang pelindung dan pemberi syafaat pun selain daripada Allah, agar mereka bertakwa.”
6:51

“Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu karenanya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu (kepada orang kafir), dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman.”
7:2

Bagi kita yang sering lupa dan alpa, jika kita ditegur atau dinasihati oleh sahabat-sahabat kita, terimalah dengan lapang dada. Yakinlah bahawa, apa yang dilakukan itu adalah kerana kecintaan dia kepada kita dan merupakan tanggungjawab dia kepada kita. Alangkah ruginya andai teguran yang diterima diambil sambil lewa, apatah lagi jika dibalas kita dengan kata-kata nista.

Bagi yang ingin menegur pula, gunakanlah kata-kata dengan penuh hikmah agar mesej yang ingin disampaikan mudah diterima. Amatilah cara-cara Rasulullah menegur dan memberi peringatan kepada para sahabat baginda agar kita mendapat panduan di dalam menyelamatkan sahabat-sahabat kita dari bermaksiat kepada Penciptanya.

Mmm… Memang mudah berkata-kata, tetapi alangkah sukarnya untuk dilaksana…

Wallahua’lam

14 October 2011

Cukuplah kematian sebagai peringatan...

"Kak Pah ingat lagi tak kepada Luqman Al-Hakim pelajar kita di Tadika Taman Suria" Tiba-tiba adik saya menukar tajuk perbualan. Sejak tadi kami banyak berbual tentang keluarga, maklumlah bila berjauhan dan sekali sekali berhubungan melalui telefon pasti macam-macam perkara yang dibangkitkan.

"Pelajar yang putih-putih dan kurus tu ke? Yang mak dia lembut-lembut tu kan? Kenapa dengan dia?" Saya cuba mengingat-ingat pelajar yang disebut antara ratusan pelajar yang ada di Tadika Nursyifa.

"Haaa ya lah tu, sebenarnya mak Luqman Al-Hakim tu baru je meninggal dunia pagi tadi. Dia dah lama sakit sebenarnya." Adik saya cuba menceritakan tentang pelajar tersebut

"Ya Allah.. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun... Saya ingat lagi mak dia tu sebab semasa hari pertama pendaftaran, saya yang melayani anak dia yang tak nak ke sekolah. Anak dia menjerit-jerit dan dia tak sampai hati nak tinggalkan, tapi mak dia memang sangat lembut hati orangnya... Ya Allah, dah tak ada dah dia... Muda lagi orangnya..." Bicara saya panjang mengingatkan kembali kepada susuk seorang wanita yang sarat dengan watak keibuan. Patah katanya lembut sekali apabila berbual-bual dengan saya tentang perkembangan anak-anak setiap kali dia datang bertamu ke pejabat untuk membayar yuran pengajian anaknya. Dia masih muda, lebih kurang saya, jika tidak sebaya pun mungkin hanya tua beberapa tahun sahaja.

"Dia sakit ke?" Tanya saya lagi kepada Syahirah di hujung talian. Ingin mengetahui sedikit sebanyak kisah ibu kepada anak murid saya itu. Terbayang-bayang di benak saya keletah anaknya yang amat baik dan bijak itu. Anaknya sangat mendengar kata dan mudah menerima pelajaran. Bagaimanakah keadaan anak-anaknya yang kehilangan tempat bermanja. Saya menarik nafas panjang.

"Ha'ah, rupa-rupanya dia memang dah lama sakit. Dah banyak kali melalui pelbagai pembedahan untuk membuang barah yang menyerang di seluruh tubuhnya. Pembedahan yang terakhir di bahagian pinggang telah menyebabkan dia lumpuh sejak bulan mac yang lalu. Sejak itu dia tidak lagi menghantar Luqman ke tadika, suami dia lah yang ambil dan hantar Luqman ke Tadika kita tu. Setelah lama terlantar, dia sudah malu nak bertemu sesiapa pun kerana tubuh badan yang dah berkudis, dan dua bulan terakhir dia dah tak kenal orang sekeliling." Cerita adik saya lagi, suaranya jelas menggambarkan kesedihan kerana si arwah memang suka berbual dengan guru-guru di tadika menyebabkan dia sangat disenangi oleh semua.

"Allah... Besarnya ujian untuk dia, jadi bagaimana dengan keadaan anak-anaknya sekarang?" Pemikiran saya masih berlingkar di sekitar anak-anak kerana anak-anaknya lebih kurang sebaya dengan anak-anak saya. Tidak dapat digambarkan jika anak-anak saya kehilangan seorang ibu seperti Luqman Al-Hakim.

"Anak-anak dia semua taknak cium wajah ibu mereka setelah kakak tu dikafankan. Mungkin sebab wajah ibu mereka yang banyak berubah sejak menderita kesakitan. Mengikut cikgu-cikgu kita yang ziarah pun, memang badan arwah kecil sangat. Macam tak percaya yang meninggal itu ibu Luqman Al-Hakim. Kelihatan anak sulung yang baru darjah satu memang sangat sedih, begitu juga dengan Luqman. Cuma adiknya yang kecil tu masih tertanya-tanya ke mana ibu mereka. Mungkin belum faham hakikat pemergian ibu mereka." Saya tekun mendengar kata-kata syahirah. Lidah jadi kelu, berbagai perasaan bercampur aduk di dalam jiwa.

"Ya Allah, Moga Allah mengurniakan sabar kepada yang ditinggalkan dan mengumpulkan yang pergi itu dengan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Tengok-tengokkanlah keperluan Luqman dan adiknya itu, jika ada apa yang boleh dibantu, bantulah mereka ya..." Saya memberikan sedikit peringatan buat adik saya yang kini menguruskan Tadika Nursyifa. Maklumlah, anak-anak bila kehilangan orang yang tersayang, sedikit sebanyak pasti akan mengganggu perasaan mereka. Andai saya berada di sana, ingin sahaja saya memeluk anak-anak itu.

Saya temenung seketika. Merenung kembali diri yang sering lupa tentang hakikat kematian itu sendiri.

Sedangkan, kematian itu satu ketentuan dari Allah sebagaimana yang tertulis di dalam kitabnya.

"Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya."(6:61)

Andai tiba masanya, tidak kiralah sama ada kita masih muda atau sudah tua.  Masih ada anak-anak kecil atau tidak. Kita sakit atau sihat. Apa jua keadaan dan kondisi kita, pasti Allah akan melaksanakan janjinya.

"Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berpikir."  (39:42)

Bagi kita yang masih diberikan peluang oleh Allah untuk terus bernafas sehingga kini, ingatlah bahawa tidur kita saban malam itu juga adalah kematian kecil buat kita. Andainya malam ini adalah tidur yang terakhir, adakah kita sudah bersedia untuk bertemu dengan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Cukupkah sudah amalan untuk kita persembahkan kepada Tuan kita?

Allahu  akbar,  cukuplah kematian itu sebagai peringatan bagi mereka yang mempunyai akal...

12 October 2011

Siapa ciptakan babi?

"Ibu, babi tu haram kan?" Tiba-tiba Humaira bersuara dari tempat duduk belakang ketika kami sedang menunggu ayahnya membeli buah mangga di kedai buah seberang jalan.

"Ya..." Saya menjawab ringkas, masih bertarung dengan rasa mual yang menghantui.

"Siapa ciptakan babi, ibu?" Dia memanjangkan lagi soalannya yang telah saya agak kerana soalan pertama tadi sebenarnya telah diketahui jawapannya.

"Allah lah..." Sekali lagi saya menjawab ringkas sambil merendahkan penyandar belakang. Kepala sudah mula pusing.

"Tapi, kenapa Allah ciptakan babi, bukankah babi itu haram?" Humaira meneruskan lagi soalannya, kali ini lebih mencabar. Mungkin dia pelik kerana sejak tinggal di negara barat ini, anak-anak di Australia ini cukup menyukai binatang yang sejenis itu yang dianggap sebagai comel. Sedangkan sebagai seorang muslim, babi merupakan sejenis binatang haram.

"Allah haramkan sebab babi itu kotor dan Allah ciptakannya kerana Allah nak tengok siapa yang ikut perintah Dia dan siapa yang melanggarnya." Jelas saya dan bicara kami terhenti di situ kerana Khadijah telah menjerit gembira ke arah ayahnya yang melambai-lambai dari seberang jalan.

"Katakanlah: "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, karena sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (6:145)

"Mengapa kamu tidak mau memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan (dari manusia) benar-benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas."

Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Maka bagi kita umat muslim mestilah jelas dengan perkara-perkara tersebut. Perlu dijelaskan juga kepada anak-anak bahawa halal dan haram itu bukan sahaja berkaitan dengan makanan bahkan dalam setiap genap urusan hidup ada ketentuan Allah disitu.

Oleh itu, ibu bapa haruslah menekankan tentang halal, haram, harus, makruh dan sunat sejak anak-anak masih kecil lagi supaya anak-anak memahami bahawa hidup didunia ini bukan boleh sebarangan sahaja. Ada peraturan dan syariatnya serta segala aturan itu ditetapkan oleh Allah sebagai satu pengukur kepada ketaatan seorang hamba kepada Tuannya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sama-sama kita mendidik anak-anak tentang syariat Allah. Tentang pergaulan yang halal dan haram, tentang pakaian yang halal dan haram, tentang urusniaga halal dan haram dan apa jua yang dilalui di dalam kehidupan. Mudah-mudahan hidup kita sekeluarga sentiasa di dalam rahmat Allah lantaran kepatuhan kita kepada perintah dan laranganNya...

Wallahu a'lam...

09 October 2011

Segenggam tabah

Hari ini, untuk ke sekian hari dan minggu saya terpaksa merebahkan diri di atas katil, lantaran semalam badan saya tidak bisa menerima apa jua makanan. Makan pagi, muntah. makan tengahhari muntah bahkan makan malam juga bagai tidak mahu diterima kehadirannya.

Saya buntu, segala saranan dari teman-teman telah saya buat, namun ternyata semuanya tidak berhasil. Saya kesian melihat suami yang sudah dua bulan tidak dapat memberi tumpuan kepada pengajiannya. Kesian melihat anak-anak yang sudah lama tidak menerima sentuhan kasih dari ibunya.

Saya mencapai komputer riba di meja sebelah katil, memainkan beberapa lagu dari you tube buat peneman diri yang keseorangan kerana suami membawa anak-anak ke tempat program. Putarkan juga nasyid-nasyid untuk mencari kekuatan dalam menghadapi ujian Allah ini.

Ketika saya mendengar lagu Segenggam Tabah dari In Team, fikiran saya menerawang jauh mengingati memori-memori lama tentang berbagai peristiwa, muhasabah kembali diri apakah saya ini kurang sabar di dalam menghadapi ujian kecil ini.

Teringat saya, pada tahun 1991 abah dan mak saya berpisah. Maka bermulalah kehidupan ayah berseorangan membesarkan 11 orang anak. Segala kesulitan yang pernah kami harungi bersama bermain-main di kotak fikiran saya.

Berbelas-belas tahun abah menongkah susah payah dalam membesarkan kami. Peritnya tidak sedikit, sakitnya tidaklah ringan. Namun dengan kesabaran dan penyerahan total kepada Yang Maha Kuasa, hampir semua anak-anak abah berjaya menjejak kaki ke Intitusi Pengajian Tinggi. Alhamdulillah...

Saya merenung kembali diri yang ketika ini sedang mengalami sedikit kesukaran. Baru sahaja tiga bulan dan saya masih ada suami dan sahabat-sahabat. Selain daripada itu, saya cuma ada dua anak jika hendak dibandingkan dengan abah yang berhempas pulas membesarkan sebelas orang anak. Jika abah yang serba susah dulu boleh mengharunginya dengan tabah kenapa tidak saya?

Nampaknya, saya harus sentiasa mengingatkan diri saya bahawa dugaan ini adalah proses tarbiyah yang sedang disusun buat saya dan suami. Harungilah ia dengan sabar dan tawakkal kepadaNya. Jika Saidina Umar mengangkat tangan mengucapkan syukur tatkala dilanda musibah. Mungkin itu juga yang perlu saya lakukan agar saya menyedari bahawa dugaan ini adalah tanda kasih sayang Allah buat saya yang lemah ini.

Allah mahu saya lebih dekat denganNya. Bertahun-tahun saya hidup dalam keadaan sihat wal afiah, adakah dengan kesakitan sebulan dua ini saya sudah mahu putus asa dengan rahmat Allah?

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" 29:2



Ya Allah, berilah kekuatan kepada hamba yang kerdil lagi lemah ini... Amin Amiin Ya Rabbal Alamin...

07 October 2011

Sebuah perkongsian

Alhamdulillah, setelah dimasukkan air melalui tiub di Women and Children Hospital tempoh hari menjadikan tubuh badan saya lebih bertenaga berbanding hari-hari sebelumnya. Walaupun tahap kesihatan yang masih tidak menentu, namun saya gagahkan juga menulis kerana blog yang sudah naik lumut dek kerana lamanya tidak dikemaskini. Cemburu saya melihat blog suami saya yang dikemaskini saban hari.

Sudah dua bulan saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab menguruskan rumahtangga menyebabkan semuanya terpikul dibahu suami saya. Simpati saya melihatnya berkejar-kejar menguruskan rumahtangga dan urusan pengajian. Setiap pagi menyediakan bekal Humaira' ke sekolah, kemudian memasak buat saya dan Khadijah, kadangkala menyuapkan makanan ke mulut saya dan Khadijah tatkala saya tidak berdaya bangkit dari katil, kemudian bergegas menaiki bas ke universiti. Balik dari universiti, belum sempat merehatkan tubuh dan minda, dia terpaksa   menguatkan diri untuk melayani anak-anak bermain dan menguruskan makan minum kami sehinggalah semuanya melelapkan mata.

Belum lagi bercerita tentang menguruskan kain baju dan muntah saya. Keadaan saya yang lemah membataskan diri untuk membantunya. Ditambah ragam si anak yang kadang kala mengocak sabar dijiwa, jika tidak kerana kesabaran dalam mengharungi ujian ini mungkin sahaja anak dan isteri akan dikasari, namun apabila diletakkan segalanya kepada Allah, hati menjadi tenang walaupun keserabutannya bagai sukar dirungkai.

Setelah melalui pengalaman ini, saya benar-benar terfikir bahawa betapa perlunya seorang lelaki melengkapkan diri serba sedikit di dalam urusan rumahtangga seperti menguruskan makan pakai anak-anak, sedikit kemahiran memasak, kemahiran menguruskan emosi dan beberapa urusan yang biasanya dibuat oleh wanita.

Jika tidak ada kemahiran-kemahiran asas yang penting seperti itu, ujian seperti ditimpa kesakitan atau apa jua musibah ke atas rumahtangga akan menambahkan lagi bebanan sedia ada. Jika sudah biasa dengan kerja-kerja rumah, maka kehidupan akan menjadi sedikit mudah walaupun ia tetap mengganggu urusan rutin kita yang biasa.

Begitu juga sebagai seorang isteri atau ibu, perlu juga tahu sedikit sebanyak urusan yang selalu dilakukan oleh suami, kerana kita tidak tahu apakah dugaan yang akan menimpa kepada kita sekeluarga. Apa yang penting suami atau isteri jangan berlepas tangan atas semua kerja-kerja yang dibuat oleh pasangan masing-masing. Jika ada kelapangan, cubalah saling bantu membantu meringankan tugasan pasangan supaya jika pasangan kita kehilangan upaya sementara atau kekal, tidaklah kita terkapai-kapai dalam mencari penyelesaian.

Rumahtangga itu adalah sebuah perkongsian suka dan duka, tempat berbahagi senang dan susah. Jika ada manisnya, sudah pasti akan terasa pahit maungnya tatkala dugaan melanda. Asam garam dalam rumahtangga sebenarnya menambahkan lagi rasa dalam kehidupan, jika kita bersabar pasti akan diganjari oleh Allah s.w.t.

Bersedialah untuk menempuh pahit manis, masam dan masin jika bercita-cita membina mahligai bahagia, kerana bahagia akan hadir buat mereka yang berjaya mengharungi ujian dan dugaan. Moga bahtera yang dilayari bersama akan sampai ke destinasi yang tertinggi iaitu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi...

Wallauhua'lam

08 September 2011

Peritnya menjadi OKU!

Alahan semasa mengandung merupakan ujian yang berbeza buat setiap insan yang bergelar ibu. Ada yang muntah sampai lembik, ada pula yang seperti biasa, bahkan ada pula yang makin berselera.

Bagi saya, pengalaman alahan mempunyai cerita yang berbeza bagi ketiga-tiga anak-anak. Anak pertama, diserang Hyperemesis gravidarum sehingga berat badan turun enam kilo dalam masa satu bulan setengah. Sungguh perit rasa yang ditanggung, apa sahaja yang dimakan pasti terhambur semula dalam jangka masa tidak sampai sepuluh minit. Bukan sahaja tidak boleh makan, minum air kosong pun boleh muntah sehingga badan tidak berdaya berbuat apa.

Masih saya ingat ketika itu hospital merupakan rumah kedua apabila terpaksa dimasukkan ke wad selang seminggu kerana kekurangan air di dalam badan. Sepanjang waktu alahan, hampir dua puluh tujuh botol air yang dimasukkan melalui tiup ke dalam badan saya sehinggakan tangan saya bengkak dek kerana terlalu kerap dicucuk oleh doktor dan jururawat.

Anak kedua, Alhamdulillah tidak seteruk sewaktu mengandungkan kakaknya. Cuma tidak boleh memasak tetapi masih boleh makan dan minum. Muntah pun jarang-jarang berlaku.

Dan kini, pengalaman berbeza pula apabila hamil anak ketiga. Hamil dan menghadapi alahan di Bulan Ramadhan. Pada awal ramadhan keadaan masih stabil dan masih lagi boleh memasak dan makan. Masuk minggu yang kedua, hidung menjadi semakin sensitif, usahkan nak memasak, masuk ke dapur sahaja sudah cukup meloyakan. Terpaksa dikuarantin di dalam bilik tidur, makan minum di hantar hingga ke katil.

Keadaan semakin teruk ketika dihujung Ramadhan, berbuka hanya dengan beberapa biji limau, bersahur hanya dengan beberapa biji kurma. Akhirnya, tiga hari terakhir Ramadhan saya tidak mampu lagi berpuasa lantaran tubuh yang sudah terlalu lemah. Andai diteruskan juga puasa, dibimbangi akan menjejaskan pula kesihatan saya dan janin yang dikandungkan.

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami. Tatkala saya memohon maaf daripadanya kerana tidak mampu menyediakan makan minumnya seperti biasa, dia masih tersenyum dan tidak jemu-jemu bertanyakan apa makanan yang saya ingini. Ketika saya muntah-muntah, dia akan datang mengurut-urut belakang saya seterusnya dengan sabar membersihkan sinki yang kotor itu. Anak-anak yang meragam, dilayani penuh kasih sayang.

Masya Allah, dengan tugas yang bertimbun di universiti dan juga beban yang terpaksa digalas dirumah, dia masih mampu mengurusinya dengan penuh tanggungjawab dan sabar.

Saya juga bersyukur kerana ada ramai sahabat yang sudi membantu, menghantar makanan buat berbuka puasa, menjaga anak-anak ketiga suami ke Masjid untuk bertarawih dan ada juga sahabat yang menziarahi saya di rumah lalu membantu saya membersihkan dapur yang sudah beberapa minggu menjadi kawasan larangan buat saya. Alhamdulillah, moga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan yang sempurna.

Sungguh, ketika ada yang membantu, saya sangat menghargai. Namun jauh di sudut hati, saya berasa amat malu untuk menyusahkan sahabat-sahabat. Rasa juga tertekan apabila makan minum diuruskan oleh orang lain. Apatah lagi bila kebajikan anak-anak tidak dapat disempurnakan, saya memohon kepada Allah agar alahan ini segera berakhir.

Dulu ada yang berkata kepada saya :

" Jangan ikutkan sangat, kena lawan psikology!"
"Kuatkan semangat! Jangan jadi lembik!"

Aduhai, kata-kata itu cukup melukakan perasaan saya, walaupun saya cuba berbaik sangka bahawa mungkin ia kata-kata untuk menguatkan saya. Ini bukan soal psikology kawan, ini bukan soal lembik atau tidak.

Adakah kalian tahu betapa peritnya perasaan saya tatkala si anak meminta di masak itu dan ini sedangkan sang ibu tidak mampu membuatnya?

Adakah kalian rasa saya seronok apabila terpaksa berkurung di bilik tidur setiap masa dan disediakan makanan oleh suami yang penat-penat pulang dari kerja?

Adakah kalian rasa saya senang apabila terpaksa membiarkan orang lain memasak untuk keluarga saya?

Adakah kalian rasa saya ini sengaja muntah-muntah sedangkan ia sangat menyakitkan seluruh tubuh saya?

Jika kalian tidak pernah mengalaminya, bersyukurlah kepada ilahi kerana tidak diuji seperti ini.

Saya bukanlah ingin menagih simpati, tetapi saya minta kalian memahami.

Saya sendiri tidak mahu hidup seperti ini, sehari bagaikan sebulan, seminggu bagaikan setahun. Saban waktu saya memohon moga segera pulih dari alahan ini.

Ketika artikel ini ditulis, saya rasa saya adalah orang kurang upaya (OKU) dan betapa PERITnya menjadi seorang OKU.

17 August 2011

Kegembiraan waktu berbuka


“Humaira makan semasa rehat atau waktu tengahhari di sekolah tadi?” saya bertanya sebaik sahaja dia turun dari van sekolahnya.

“Masa rehat dan tengahhari, Humaira’ lapar sangat lah ibu, tengok kawan-kawan makan lagi rasa lapar.” Dia menjawab telus. Hari ini baru hari kedua berpuasa, walaupun dia bangun sahur, tetapi jika makan hanya sesuap dua saya tak menjangka dia dapat bertahan sehingga petang. Lalu saya bekalkan juga dengan makanan di dalam lunch boxnya.

“Kenapa Humaira tak makan masa tengahhari je, kita kan tengah puasa?” Saya bertanya sekali lagi mengingatkan kepadanya tentang ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang mulia ini, sebelum ke sekolah tadi sudah saya pesan supaya dia makan pada waktu tengahhari, sekurang-kurangnya dapat juga berpuasa separuh hari.

“Humaira tak tahan dah tadi…” Dia menjawab ringkas sambil berlari masuk ke rumah. Saya menggeleng-geleng kepala, sedang mencari jalan bagaimana melatih dia berpuasa di dalam suasana yang langsung tidak membantu. Dikelilingi dengan rakan-rakan yang bukan beragama Islam yang sudah pastinya tidak berpuasa , ia satu cabaran buat anak kecil sepertinya.

“Ibu, nak sikit! Sedap betul Humaira’ tengok adik makan.” Dia datang kepada saya yang sedang menyuap nasi berlauk ayam goreng kepada Khadijah. Minta disuapkan juga ke mulutnya.

“Eh! Humaira kan puasa?” Saya bertanya kembali sambil mengangkat kening

“Laparlah ibu, sikiiiit je… Boleh la…” Dia menggosok-gosok perut dan memandang ke arah nasi Khadijah penuh sayu

“Orang puasa memang lapar, tapi kita kena sabar, lagipun Humaira dah makan tengahhari tadi, jadi Humaira kena tunggu waktu berbuka sebentar lagi baru boleh makan dengan ibu dan ayah. Sekarang Humaira pergi main dulu ye…” Saya memujuk.

Humaira berlalu ke ruang depan dengan langkah longlai. Jika diikutkan naluri keibuan, mau sahaja saya suapkan nasi ke mulutnya, tapi ibu juga perlukan hati yang keras dalam mendidik anak-anak, demi kepentingan anak-anak juga.

Selesai saya menyuapkan nasi kepada khadijah, saya pun mula memasak dan menu hari ini ialah pizza dan sedikit kuih bakar sebagai pemanis mulut. Bau makanan yang dibakar cukup menarik Humaira untuk ke dapur dan menjenguknya

“Lambat lagi ke nak berbuka ibu?” Humaira bertanya buat kali yang entah ke berapa, tak sampai sepuluh minit, pasti dia akan bertanya dan bertanya lagi.

“Tak lama dah, tinggal 30 minit saja lagi.” Saya menjeling jam di dinding dengan tangan sibuk menyusun hidangan.

“Haaa! Tiga puluh lagi ke? Lamanya! Aduhai, Humaira tak tahan tengok pizza ni ibu, sedap sangat ni.” Dia menongkat dagunya ke meja membuatkan hidungnya berada hanya beberapa inci dari dulang pizza. Pizza yang masih berasap dan aroma herba itali yang memikat  rasa bukan sahaja membuat Humaira terliur, bahkan saya juga. Tiga puluh minit bagaikan tiga jam menanti. Humaira masih tidak bergerak, merenung Chicken Supreme Pizza, sambil mulutnya tidak henti-henti  mengomel betapa waktu begitu lambat bergerak.

“Baiklah, sekarang mari kita baca doa bersama-sama.” Suami saya yang baru duduk bersuara, mendengarkan itu, humaira bingkas duduk tegak sambil tangan diangkat untuk berdoa.

“Bismillahirahmanirrahim, Allahummalaka sumna, wabika amanna, wa ala rizkika afthorna birahmatika ya arhamarrahimin. Allahumma bariklana fima rozaqtana waqina azabannar…” Sebaik sahaja doa habis dibaca, azan berkumandang dari telefon saya. Alhamdulillah, Berjaya berpuasa untuk hari kedua hari ini detik hati saya.

Humaira minum sedikit air lantas menyambar pizza, makan dengan begitu berselera.

“Seronok tak berbuka?” Saya bertanya kepada Humaira. Humaira tidak menjawab kerana mulut yang penuh dengan pizza tetapi hanya menganggukkan kepala dengan senyum puas.

“Haaa… inilah kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka! Seronok bukan?” Saya berkata kepadanya mengingatkan kepada hadith Rasulullah tantang kelebihan berpuasa yang mana bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

“Seronok sangat!” Humaira menjawab ringkas kemudian menyambung kembali gigitan pizza, hampir setengah dulang dimakannya.

"Esok nak puasa lagi tak?" Saya bertanya lagi

"Mmm! Mmm!" Humaira mengangguk kepala dengan penuh semangat

Rezeki yang terhidang petang itu kami hadapi dengan penuh kesyukuran.  Kegembiraan waktu berbuka puasa memang tidak dapat digantikan dengan apa-apa jua. Bagi mereka yang berpuasa atas dasar keimanan kepada Allah s.w.t dan hanya mengharapkan keredhaanNya, bukan sahaja mendapat kegembiraan, bahkan dosa-dosanya yang telah lalu juga akan diampunkan.


21 July 2011

Sonata musim dingin...

Carta solat Humaira... Itik besar tu sebenarnya solat isya tau!

“Ayah! Cepatlah solat, Humaira nak terkencing ni!” Humaira’ mendesak ayahnya yang sedang menekan butang-butang komputer ribanya. Mendengar desakan yang bertubi-tubi, suami saya bingkas bangun terus mengangkat takbir untuk solat Isya.


Saya yang telah solat isya sebelum mereka pulang dari menziarahi anak seorang sahabat yang baru sahaja keluar dari wad kerana radang paru-paru hanya memerhati, kemudian kembali menatap Al-Quran kecil berwarna biru. Khadijah di sisi, sudah lama dibuai mimpi. Sesekali saya mengalih pandangan kepada Humaira’ yang berdiri tidak diam kerana menahan kencing.

“Humaira’ nak buang air ke? Mana boleh tahan kencing masa solat sayang, pergi bilik air dulu kemudian solat semula ya?” Saya bertanya kemudian memberi cadangan.

Dia masih ‘berjoget-joget’ menahannya dan akhirnya dia berlari menuju ke tandas, mungkin sudah tidak tertahan lagi. Keluar sahaja dari bilik air mukanya sudah lain macam, perlahan-lahan saya mendengar tangisannya yang makin lama makin kuat.

“Kenapa Humaira’?” Saya bertanya sambil mengangkat kening ke arahnya. Dalam hati saya mengagak pasti dia menangis kerana kepayahan mengambil wuduk lantaran suhu musim sejuk yang mencecah lima darjah selsius malam itu.

Di musim sejuk sebegini, nak mengambil wuduk memang perlukan mujahadah yang tinggi. Bagi mereka yang boleh menahan wudhuk dalam jangka masa yang lama tidak mengapa tetapi bagi anak kecil sepertinya memang agak sukar.

Kesejukan yang menggigit itu bagai tidak bersimpati walaupun kami berwudhuk menggunakan air suam dari pemanas air. Humaira masih menangis. Saya bingkas bangun mendapatkannya untuk memberi sokongan moral kepadanya bahawa walau apa jua keadaan yang dihadapi, solat mesti juga didirikan.

Saya membuka pili air perlahan-lahan dan menunggu hingga air menjadi suam-suam kuku lalu menadah air untuk Humaira’ berkumur. Terhenti tangisannya seketika tatkala air masuk ke mulutnya, setelah di keluarkan tangisan disambung kembali. Saya menadah lagi air dan membasuh muka seterusnya menyelesaikan anggota wudhuk lain yang wajib-wajib sahaja.

“Waktu musim sejuk begini memanglah susah nak ambil wudhuk sayang, tetapi jika Humaira’ sabar, Allah akan bagi ganjaran dan pahala yang banyak sebab Humaira menyempurnakan wudhuk. Baiklah, sekarang Humaira solat ye, ayah dah habis solat dah tu.” Saya terus memberi kata-kata perangsang dengan jaminan pahala yang istimewa buat insan yang bermujahadah dalam menegakkan syariatnya. Tangisan yang tadinya sudah reda, kembali kuat apabila dia melihat ayahnya telah selesai solat Isya, sedih tak dapat berjemaah bersama.

Humaira duduk di atas sofa menyudahkan esakannya, setelah sedikit tenang dia bangun menunaikan solat isya dalam kepayahan buat seorang anak kecil sepertinya. Usai solat, suami saya memeluknya dan mengiringinya ke bilik lalu menemaninya hingga tidur.

Sesungguhnya saya dapat rasakan betapa sukarnya mendidik anak untuk tetap dalam solat lima waktu. Jika diikutkan rasa belas, sudah pasti saya tidak akan mewudhukkannya dalam cuaca dingin sebegini. Jika tidak kerana perintah Rasulullah supaya mendidik anak-anak solat lima waktu sejak berumur tujuh tahun, sudah pasti saya tidak akan mengganggu tidur lenanya ketika fajar menyinsing untuk bangkit solat subuh.

Walaubagaimanapun, kesusahan itu terbalas ketika melihatnya qiam menghadap Tuhannya, kesukaran itu sirna ketika melihat dia sujud dan rukuk kepada Penciptanya… Subhanallah, Alhamdulillah, Wala ilahaillallah Wallahu akbar, kepada Allah sahajalah saya merafakkan segala tasbih dan tahmid atas kurniaan anak-anak ini dan mudah-mudahan mereka akan menjadi penyejuk mata pengubat jiwa kepada kami hingga ke akhirnya…
Motivasi buat anakanda supaya akan terus istiqamah...

Risalah khas Murshid : Suratku kepada suami muslim yang mulia

Assalamu’alaikum wr.wb.



Aku suka memanggil kamu dengan nama di atas. Ia bukan satu panggilan tradisi, sebaliknya ia satu panggilan yang disukai dan digemari Rasulullah s.a.w.. Aku akan beritahu kamu selepas ini dengan izin Allah, kenapa nama ini dipilih.


Adapun sebab aku menulis surat ini ialah beberapa aduan daripada akhawat anggota jamaah IM telah sampai kepadaku. Begitu juga aduan daripada akhawat yang bukan anggota IM. Meskipun aku rasa bertuah kerana diberi peluang hadir di muktamar akhawat yang diadakan beberapa minggu yang lalu di dewan muktamar university al-Azhar di bawah slogan: al-mar’ah al-Misriyyah… min athaurah ila an-nahdhah (Wanita Mesir.. dari revolusi kepada kebangkitan memajukan negeri), dan aku telah berbicara kepada mereka tentang kewajipan wanita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tetapi kita mesti tahu bahawa di sana terdapat hak-hak mereka daripada lelaki yang merupakan tanggungjawab aku dan tanggungjawab kamu.


Sesungguhnya aku memilih untuk berbicara kepada kamu secara langsung, mengingatkan kamu peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kamu, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu ketika baginda berada di ambang kematian. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat.


Tuhan yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Tuhan kamu berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan. “… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqrah:237). Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutunya.


Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawwa sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha:117)

Dan Rasulullah Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha:10). Ayat ini mahu menyampaikan bahawa Musa sealah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.



Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’:21)


Adapun kesalahan wanita atau keaipan mereka, ia seumpama keaipan kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan mengunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat.


Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail:1-3)



Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.


Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah di sebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.



Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaipan bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan pungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.



Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya: “… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)



Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.



Aku ingin mengingatkan kamu satu maklumat yang simple yang kadang-kadang kita lupa. Tidakkah zakat fitrah isteri kamu, anak-anak dan khadam kamu yang bayar walaupun isteri kamu seorang yang kaya raya? Itu merupakan lambang pertanggungjawaban yang dipikulkan ke atas kamu kerana itu bukan zakat harta. Zakat harta yang dimiliknya adalah tanggungjawab dia sendiri. Dia yang mesti tunaikan secara berasingan daripada kamu.


Awas kamu! Jangan ambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hamba-Nya.


Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia.



Begitu juga baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegas: “Aishah!” . Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.



Adakah kamu fikir ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Ungkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua.



Seandainya masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan jadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur.


Tidakkah kamu nampak, dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq ayat 1 hingga 3.



Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan kekasih kita s.a.w. “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?



Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu!


Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.


Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “… Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (An-Nisaa’:4)



Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…” (At-Tahrim:6)



Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.” (Ya Sin:56)



Dan ingatlah juga bahawa orang yang terbaik dalam kalangan kita ialah yang paling baik kepada isterinya. Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. orang yang paling baik kepada isterinya dalam kalangan seluruh umat manusia. Maka adakah kita mencontohinya?



Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia. Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.



Sesungguhnya aku telah berbicara kepada para isteri dalam muktamar lepas dengan membawakan satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.



Aku berharap kamu tidak lupa kepada kami dalam doa-doa kamu yang baik-baik.



Was-salamu’alaikum wr.wb.





Saudara kamu,

Dr. Muhammad Badi’

Murshid Am Ikhwan Muslimin.

Sumber: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/

20 July 2011

Jom solat!

Bayu lembut musim sejuk menerpa ke wajah saya. Segar rasanya walaupun saya kadang-kala terpaksa menggosok-gosok telapak tangan untuk melawan kedinginan. Padang rumput yang hijau Torndon Park menerima kedatangan kami dengan penuh ta’abbud kepada Maha Pencipta, lantaran itu sesiapa sahaja yang memandangnya pasti disapa kedamaian kerana zikrullah sang rumput yang tidak pernah henti.

Pagi yang cerah itu disinari mentari menghasilkan kilauan-kilauan yang memukau dipermukaan tasik. Subhanallah! Lidah saya melantunkan kalimat membesarkan Rabbul Izzati…

Humaira’ telah berlari-lari sejak tadi di atas padang yang luas terbentang melepaskan geram setelah sekian lama terpaksa terperuk dirumah. Musim sejuk ini merupakan cabaran besar untuk Humaira menyesuaikan diri dengannya. Bukan kerana kesejukkannya, tetapi kerana masa siang yang agak pendek berbanding biasa menyebabkan waktunya untuk bermain sangat sedikit.

Pulang dari sekolah jam tiga setengah petang, jam empat hingga lima setengah kelas mengaji bersama saya dan tiga orang lagi anak-anak dari Malaysia sudah membawanya ke Maghrib. Sehingga pernah suatu hari dia mengajak saya pulang ke Malaysia kerana bosan tinggal di Australia kerana siangnya sedikit menyebabkan dia tidak sempat bermain. Saya hanya membalas omelannya dengan senyum dibibir.

Maka cuti hujung minggu sebegini kami terpaksa juga membawanya melepaskan perasaan di taman-taman sekitar Adelaide yang memukau pandangan dengan keindahan dan kedamaian.

Khadijah mengejar-ngejar kakaknya. Fokusnya sesekali hilang ketika burung terbang rendah lalu mendarat dengan begitu bergaya. Melihat burung yang jinak, khadijah terkedek-kedek mengekori lalu burung itu terbang lagi menyelamatkan diri.

Saya tersenyum melihat gelagat anak-anak, manakala suami sibuk dengan kamera DSLR kompaknya merakam seribu satu warna-warna alam.

“Ibu! Cepatlah! Humaira nak main di sana!” Humaira menjerit sambil kakinya pantas menghala ke taman permainan yang cukup mengujakan. Macam-macam ada, tidak sabar untuk dia mencuba kesemuanya. Saya yang membawa makanan satu beg besar termengah-mengah mengejarnya.

“Eh, makanlah dulu. Lepas makan baru main.” Jerit saya kembali kepadanya yang sudah jauh ke depan. Dia sudah tidak menghiraukan jeritan saya kerana permainan yang berwarna warni itu lebih dia gemari berbanding spegheti Bolognese yang saya masa pagi tadi.

“Mmm biarlah dia main syifa, lapar nanti datanglah dia tu. Tak boleh tahan dah budak tu” Suami saya mencelah sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat anak sulungnya yang memang dari kecil lebih suka bermain dari makan.

Saya melabuhkan punggung di atas padang hijau yang bersih dan terjaga. Sukar mencari tempat rekreasi yang bersih sebegini di Malaysia, entah apa silapnya, jarang sekali dapat menikmati taman-taman tanpa sampah yang bertaburan.

Speghetti Bolognese yang di bawa saya hidangkan kepada suami, tetapi belum sempat dia menyuap kemulut bingkas dia bangun mengejar Khadijah yang tekun mengejar burung, sudah agak jauh dari kami jika tidak diekori bimbang pula sesuatu yang tidak diingini terjadi.

Rekreasi di taman-taman sebegini terlalu banyak yang saya perolehi. Masa yang diluangkan bersama anak-anak, mentadabbur ayat-ayat Allah yang terbentang, melihat gelagat manusia yang datang dan pulang. Masya Allah, semuanya ada nilai tarbiyyah andai akal ingin mendalaminya. Setelah menjamah makanan yang ada saya pergi melayani anak-anak bermain.

Sedar tidak sedar, hari sudah menjelang zohor apabila saya diingatkan oleh suara azan dari telefon. Sungguh kerinduan kepada laungan azan dari corong-corong pembesar suara Masjid di Malaysia amat membekas di dada saya.

“Humaira’! Jom kita solat zohor!” Saya menjerit kepada Humaira yang sedang asyik menghayun buaian.

“Haaaa! Apa ibu?” Dia bertanya, jarak yang agak jauh membataskan pendengarannya tambahan pula ramai anak-anak yang bermain disekeliling menambah gamat suasana.

“Jom! Kita solat zohor sekejap! Nanti Humaira’ sambung main ye!” Saya menambahkan volum suara dan merapatinya.

“Alaaaa… Sekejaplah, Humaira tak puas main lagi ni…” Jawab dia bernegosiasi

“Eh… Mana boleh macam tu, kita berhenti solat dulu lepas tu main la semula. Cepat, ibu kira sampai dua puluh lepas tu kita solat okey?” Saya memberi syarat, jika ikutkan dia, sampai ke petang pun belum tentu akan berhenti. Kaedah mengira ini memang selalu saya praktikkan di tadika untuk mempercepatkan pergerakan pelajar, Alhamdulillah memang berkesan.

“tiga puluh la ibu… eh empat puluh! Empat puluh!” Sekali lagi dia cuba membuat tawar menawar dengan saya. Semakin meningkat usia, makin panjang pula akalnya.

“Tak sayang… Ibu kira sampai dua puluh, kalau humaira tak berhenti, ibu, ayah dan adik pergi dulu. Humaira main la seorang-seorang… satu, dua, tigaaa…” Saya memberi penegasan, tidak mahu dia sambil lewa dengan solat.

Selesai saya membilang hingga dua puluh Humaira’ masih di ats buaian. Saya mula bergerak ke tandas awam. Melihat saya, suami dan adiknya makin menjauh, dia mencicit-cicit turun dari buaian dan mengejar saya.

“Ibu ni… tak tunggu Humaira pun!” Humaira membebel, saya buat-buat tak dengar.

“Okey, kita lumba. Siapa sampai tandas dulu dia menang!” Saya memecut kea rah tandas, namun pecutan ibu beranak dua ini tidaklah sehebat mana. Humaira sampai dulu sambil melompat kegirangan.

“Kita nak solat di mana ni ibu? Ada surau ke kat sini?” Humaira bertanya tulus, mungkin masih teringatkan Malaysia yang surau berada di mana-mana.

“Mana ada surau sayang, kita solat atas rumput je.” Saya menjawab sambil mencari arah kiblat menggunakan telefon, kemudian membentang kain yang saya bawa untuk solat. Suami hanya memerhati.

“Tak payah pakai telekung?” Dia bertanya lagi sambil mengangkat kening

“Tak perlu, cukup dengan menutup aurat dengan sempurna, kita boleh solat di mana-mana sahaja. Humaira kena pastikan rambut tidak terkeluar, lengan baju cukup panjang, stoking tidak koyak, okey, perfect! Dah boleh solat!” Saya memeriksanya dari atas sampai bawah seperti pegawai emigresen di lapangan terbang Adelaide.

Islam itu mudah tetapi jangan dimudah-mudahkan. Memang benar tidak semestinya memakai telekung tetapi kita perlu memastikan pakaian kita cukup sempurna menutup aurat. Berkelana di bumi kanggaru ini memperlihatkan kepada saya berbagai ragam manusia. Yang faham tuntutan sebenar tidak mengapa, tetapi ada juga yang sekadar ‘tangkap muat’. Solat dengan rambut terkeluar sana sini, lengan baju yang agak singkat dan stoking yang jarang hingga menampakkan warna kulit. Jika syarat sah solat pun tidak lepas, bagaimanakah nasib solat itu?

Kami melaksanakan solat zohor hari itu di padang yang menghijau, memohon kepada Allah agar rumput yang dipijak dan langit yang terbentang luas itu akan menjadi saksi kepada kami semua.

“Ya Allah, jadikanlah kami dan zuriat keturunan kami orang yang mendirikan solat.”

04 July 2011

Hiduplah bersama dakwah dan tarbiyyah

“Oh saya tak sempat nak beriadah sebab sibuk berdakwah”

“Maaf ya, rumah saya bersepah, jarang dirumah sebab keluar berdakwah.”

“Mmm saya tak sempat nak tarbiyyah anak saya kerana saya sibuk berdakwah diluar.”

“Saya dirumah masak ala kadar sahaja kepada suami dan anak-anak sebab saya ni kan sibuk berdakwah.”

Kata-kata di atas kerap kali kedengaran. Entah di mana silapnya, ramai di kalangan kita yang sibuk berdakwah diluar tetapi urusan diri dan rumahtangga seolah-olah diletak ke tepi tanpa perhatian yang sewajarnya.

Begitukah yang dituntut oleh Islam?

Dan begitukah yang dituntut oleh dakwah?

Saya bingung.

Bagi saya jika kita memisahkan dakwah dengan kehidupan, maka itulah yang akan berlaku.

Bila kita merasakan diri yang sihat dan kuat itu bukan sebahagian dakwah.

Rumah yang bersih dan teratur itu bukan sebahagian dari dakwah.

Pendidikan anak-anak itu bukan sebahagian dari dakwah

Melaksanakan urusan-urusan rumahtangga itu bukan sebahagian dari dakwah

Maka semua urusan kehidupan kita selain dari usrah dan program terkeluar dari dakwah. Dengan itu mudah sahaja kita menyalahkan dakwah atas urusan kehidupan yang tidak selesai.

Bukankah dakwah dan tarbiyah itu menuntut kita menjadi qudwah?

Namun bagaimanakah kita dapat menjadi quqwah andai rumah kita bagaikan tongkang pecah?

Bagaimanakah kita dapat menjadi qudwah andai tubuh badan kita lemah menanti rebah?

Bagaimanakah kita dapat menjadi qudwah andai anak sendiri tidak tertarbiyah?

Bagaimanakah kita dapat menjadi qudwah andai tingkahlaku kita dirumah tidak langsung selari dengan akhlak nubuwwah?

Sepatutnya dengan dakwah dan tarbiyyah, kita akan menjadi manusia yang lebih hebat di sisi manusia,lebih-lebih lagi di pandangan Allah.

Rumah kita adalah rumah yang paling bersih dan teratur kerana bukankah kebersihan itu lambang kepada keimanan yang kita anuti ketika kita menekuninya di dalam usrah dan daurah

Kita sentiasa beriadah untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa cergas dan sihat kerana dakwah dan jihad itu menuntut kepada kekuatan fizikal yang tidak kurang hebatnya.

Selain daripada dakwah diluar, insan-insan di dalam rumah kita turut menerima kesan tarbiyyah dari kita kerana jika mereka tidak dididik dengan sepatutnya bagaimanakah mereka akan mewarisi dakwah yang sedang kita bekerja dengannya

Pasangan kita menerima layanan terbaik daripada kita kerana Rasulullah adalah yang terbaik layanannya kepada ahli keluarganya, bukankah kita juga pernah bercerita tentang ini ketika kita menyelak sirah Nabi tatkala kita bersama dengan sahabat-sahabat di dalam proses tarbiyyah itu sendiri?

Kesimpulannya janganlah kita hanya melihat bahawa tarbiyyah itu hanyalah ketika kita berbincang berkenaan dengan fikrah.

Usahlah kita fikir bahawa dakwah itu hanyalah tentang tajmik, usrah dan daurah.

Sesungguhnya, memasak, beriadah, bergurau senda dengan anak-anak, mengemas rumah dan apa jua aktiviti kehidupan adalah sebahagian proses tarbiyyah agar kita menjadi hamba Allah yang lebih baik lagi, bahkan kita dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Keluarlah dari kepompong dakwah dan tarbiyyah yang sempit kerana kita bukan robot atau malaikat, tetapi kita adalah manusia.

Jadikanlah seluruh aktiviti kehidupan itu tarbiyyah dan tarbiyyah mengalir di setiap detik kehidupan…

Wallauhua’lam