25 May 2009

Sukarnya menjadi bos!


Sesetengah orang mungkin merasakan manjadi seorang bos adalah sesuatu yang menyeronokkan. Boleh suruh orang buat itu dan ini, bos hanya goyang kaki.

Sesetengah orang mungkin juga beranggapan bila dah jadi bos kita boleh hidup senang dan tenang. Duduk dalam pejabat, kemudian melayari internet.

Sesetengah orang mungkin akan kata :"alahai bos kita tu, duduk hanya di atas bangku, gaji masuk berdesup-desup!"

Sesetengah orang mungkin pernah terfikir, bahawa pekerja kena dengar cakap bos aje... yang teruknya siapa lagi kalau bukan orang bawahannye...

Tapi bagi saya yang menjadi bos di tadika, jadi pengurus dan pengetua, ia bukanlah seperti anggapan seperti di atas. Bagi saya menjadi pemimpin adalah satu perkara yang sangat sukar, bahkan bisa memeningkan kepala.

Bila ada masalah, walaupun kita akan meminta pekerja kita lakukan sesuatu untuk menyelesaikannya, tetapi "sesuatu itu" boslah yang perlu fikirkan dahulu. Bos juga yang perlu memerah otak mencari "sesuatu itu" dan pastikan ia adalah langkah terbaik bagi satu-satu masalah.

Bila pekerja buat salah, bukan mudah bos nak menegur. Bimbang teguran bukan mengelokkan, tapi memburukkan lagi keadaan. Saya kalau ada pekerja yang buat sesuatu yang melanggar etika kerja, kadang-kadang malam pun susah nak tidur kerana mencari ayat yang sesuai untuk diungkapkan untuk membetulkan kesilapan.

Jika susah menerima teguran, susah lagi memberi teguran. Kalau susah nak tegur secara 'face to face', kerap kali juga saya tegur melalui sms. Cara teguran pula perlulah secara berhikmah, kalau ditegur sembarangan, saya bimbang pelajar-pelajar yang akan menerima tempiasnya. Aduhai... susah sungguh menjadi bos!

Yang paling menggerunkan saya ialah setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas setiap tanggungannya. Tak kira kecil atau besar, semua akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Bila direnung-renung pesan Rasulullah ini, saya jadi kecut perut. Lagi besar tadika saya, makin ramai student saya dan semakin bertambah pekerja saya, maka makin banyaklah perkara yang akan dipersoal dan akan diperhitungkan. Makin rumitlah penghisabannya. Ya Allah... ampunilah hambamu ini.

Itulah realiti menjadi bos, orang nampak senang, tapi sebenarnya susah. Orang nampak seronok tapi sebenarnya... Hanya Allah yang tahu...

Aduhai... sukarnya menjadi bos!

21 May 2009

Bukit Safa saksi kekuasaan Allah S.W.T


Bukit Safa dan Marwa yang sentiasa sesak denga jemaah yang ingin mengerjakan saie

Setelah melalui perjalan panjang, kami sampai ke Mekah pada malam itu sekitar jam 10.30 malam. Keadaan saya yang memang sudah tidak berapa sihat semenjak di Madinah memburukkan lagi tahap kesihatan saya. Memandangkan kami telah berniat umrah di Bir Ali semasa dalam perjalanan, maka kami akan melaksanakan umrah pada malam itu juga dengan bimbingan dari Ustaz Halim sendiri.
Ustaz Halim meminta semua jemaah berkumpul di Lobi Hotel pada jam 11.30 malam. Sementara menunggu waktu tersebut, jemaah bolehlah berehat buat seketika. Namun begitu, proses check in mengambil masa yang agak panjang kerana masing-masing sibuk dengan beg-beg yang perlu dibawa naik melalui lif sedangkan lif yang ada tidak boleh memuatkan ramai orang.

Waktu menunggu itu memang begitu menyiksa saya, dalam keadaan batuk dan selsema yang teruk, ia cukup-cukup mengganggu tumpuan saya. Saya rasa badan saya sangat lemah, tetapi saya gagahkan jua, akhirnya sampai juga saya ke bilik hotel. Belum sempat saya merebahkan diri untuk mendapatkan sedikit tenaga, rakan sebilik saya mengajak saya ke bawah kerana jam sudah menghampiri 11.30 malam. "Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada hambaMu ini untuk melaksanakan umrah pada malam ini." itulah doa yang saya ulang-ulang dalam hati dan saya memohon dengan penuh pengharapan kepada Allah.

Sampai di hadapan kaabah, saya semakin hilang fokus. Dengan selsema dan batuk yang makin menjadi-jadi, kepala yang sudah mula pening, saya menatap Kaabah dengan jiwa yang menangis. Saya bimbang sekiranya saya tidak dapat melaksanakan tawaf pada malam itu. Walaupun kaki saya sangat tidak berdaya, saya langkahkan juga. Tujuh pusingan tawaf saya rasa begitu payah, dan dalam kepayahan itu saya berjaya juga akhirnya. Semasa bersolat sunat tawaf di belakang makam Ibrahim, saya dah rasa lain macam. Saya minta suami ambilkan segelas air zam-zam dengan harapan air itu sedikit sebanyak dapat menyegarkan saya semula... Namun keadaan saya tidak berubah.

Para jemaah bimbingan Ustaz Halim sudah mula bergerak ke bukit Safa untuk memulakan saie. Sesampai sahaja di bukit Safa, saya sudah tidak mampu untuk bertahan dan dalam perjalanan dari Kaabah ke tempat saie pun saya dah muntah. Ya Allah... Ampunkan daku... Sedang para jemaah mendengar taklimat tentang saie dari Ustaz Halim, saya sudah terbaring di puncak bukit Safa, saya berlindung di sebalik kon pembinaan di situ. Saya memang sudah tidak berdaya walaupun hanya untuk duduk. Suami bertanya kepada saya "Cemana ni syifa? Boleh tak kita buat saie ni." Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Suami hanya mendiamkan diri dan duduk berteleku di samping saya.

Lama juga saya mengerekot di situ. Saya cuba juga untuk bangun beberapa kali, tapi saya tewas dan terpaksa merebahkan semula badan saya di atas marmar itu. Tiba-tiba suami berkata kepada saya. "Syifa, abang nak pi ambik wudhuk sat, syifa tunggu abang kat sini ye..." Saya menganggukkan kepala dan dia pun berlalu pergi.

Lama juga saya menunggu dia. Tanpa saya sedar, saya sudah mula duduk, saya letakkan kepala saya di atas lutut sambil meninjau-ninjau kelibat suami saya. Entah macammana, saya rasa saya lebih bertenaga, dan rasa lebih kuat. Tika suami saya terpacul di hadapan saya, dia tanya sama ada saya sudah boleh memulakan ibadat saie atau tidak. Saya hanya mengatakan "InsyaAllah."

Waktu tika itu lebih kurang 2.30 pagi. Saya berjalan perlahan-lahan, dan suami saya setia menemani saya walaupun langkah saya sangat perlahan. Bila tiba di lampu hijau, dia akan berlari-lari anak dan menunggu saya di hujung lampu hijau. Begitulah seterusnya sehingga kami berjaya menghabiskan tujuh pusingan.

Setelah bertahalul, saya mengajak dia pulang ke hotel untuk bersiap sedia untuk solat Subuh. Dalam perjalanan pulang itulah dia bercerita kepada saya bahawa selepas dia mengambil wudhuk tadi, dia pergi solat di depan Kaabah dan berdoa di Multazam meminta supaya Allah memberi kekuatan kepada saya. Dia juga memohon agar saya dah boleh duduk semasa dia sampai di tempat saya terbaring tadi.



Keletihan...

Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Doanya itu makbul dalam sekelip mata. Saya memang sedang duduk semasa dia sampai dan saya seolah-olah telah diberi suntikan tenaga untuk melaksanakan saie. Perjalanan saie bukanlah dekat, jika difikir-fikirkan memang pelik, dari mana datangnya kekuatan itu saya pun tak tahu. Tiba-tiba sahaja saya rasa bertenaga. Tiba-tiba sahaja saya boleh berjalan dan menghabiskan tujuh pusingan saie, walaupun sebelum itu saya nak duduk pun tak larat.

Akhirnya, saya akui, itulah salah satu dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Jika Dia berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka cukup bagiNya untuk menyebut 'Kun' maka jadilah ia. Masya Allah...

Peristiwa itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada saya kerana ia berlaku pada hari pertama saya berada di Mekah. Masa itu, tiada pergantungan lain selain dari Allah. Tiada tempat mengadu selain kepada Allah. Sungguh ia tidak dapat saya lupakan sehingga saat ini.

Begitulah kerdilnya manusia, tanpa izin Allah, tanpa petunjuk Allah dan tanpa kekuatan daripada Allah sudah pasti kita tidak akan mampu untuk melakukan apa jua. Maha Suci Allah... Maha Suci Allah yang menguasai seluruh alaim ini...

18 May 2009

Alhamdulillah


Terhenti seketika cerita-cerita tentang kenangan ziarah ke Tanah Suci. Kesibukan menguruskan Hari Sukan Tadika Nursyifa memaksa saya lebih fokus kepada persediaan untuk menempuh hari tersebut. Nampak simple, tapi banyak perkara yang perlu diuruskan.

Akhirnya, dengan kesungguhan para guru dan pelajar, dengan kerjasama dan kesediaan ibu bapa meluangkan masa memeriahkan program tersebut, Alhamdulillah, Hari Sukan Tadika Nursyifa berjalan dengan lancar dan teratur. Syukur saya rafa'kan ke hadhrat Allah kerana mengizinkan ia berjalan sebagaimana yang dirancang.

Sesungguhnya, kejayaan yang kita terima ini bukanlah semata-mata kerana usaha kita, tetapi dari rahmat dan inayah dari Allah. Tanpa petunjukNya, sudah pasti kita tidak mampu melakukannya. Oleh itu, sama-sama kita mengembalikan kesyukuran kita kepada Allah apabila kita berjaya melaksanakan apa jua perancangan yang telah diatur. Sesungguhnya Allah lah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu... Alhamdulillah... Allahu Akbar...

13 May 2009

Selamat Hari Ibu!

Humaira dan ibunya


"Ibu! Ibu! Hari ni Hari Jadi Ibu!" begitulah jeritan Humaira sesampainya di rumah. Dengan penuh kekalutan, dia meluru masuk ke rumah dan dengan gopoh-gapah membuka beg trolinya lalu mengeluarkan kad Selamat Hari Ibu yang dibuatnya di Tadika.

Saya merasa sangat teruja, saya terus memeluknya dan memberikan ciuman kepadanya. "Oooh.. Ye ke... Terima Kasih." Terharu juga rasanya, sebab baru tahun ni saya mendapat ucapan Selamat Hari Ibu dari anak saya yang sorang ni, sebelum ni mungkin dia tak faham lagi erti Hari Ibu. Walaupun dia sebut Selamat Hari Jadi, tapi saya faham yang dia nak ucapkan Selamat Hari Ibu. Hehehe...

Hari itu saya sangat bahagia, kerana sampai ke malam dia dok ulang "Selamat Hari Ibu" kepada saya, dan setiap kali dia ucapkan ucapan itu saya akan memeluk dia...

Walaupun ia hanya satu ucapan yang 'simple' tapi ia sangat menyentuh hati keibuan saya.

Walaupun kad yang dia buat tu sekadar sekeping kertas A4 yang kalau dibaca pun tak berapa faham dengan tulisannya, tapi saya sangat menghargainya.

Pada hari itu juga, saya bertekad untuk jadi ibu yang lebih baik. Saya nak jadi ibu yang lebih solehah. Saya nak jadi Ibu Mithali kepada anak-anak saya.

Saya ingin memberi lebih lagi kepada keluarga saya kerana kita sebenarnya akan rasa lebih bahagia ketika kita memberi, berbanding semasa kita menerima.

Ibu dan ayah saya

Selamat Hari Ibu saya ucapkan kepada ibu saya di Kuantan Pahang. Selamat Hari Ibu kepada ibu mertua saya di Kuala Lumpur. Terima Kasih kerana menjaga dan mendidik kami dengan penuh kasih sayang. Moga Allah mungurniakan ganjaran besar kepada kalian.


Ibu dan bapa mertua saya

Selamat Hari Ibu juga kepada semua ibu dan bakal ibu tak kira di mana jua berada. Didiklah anakmu ke Jalan Allah, InsyaAllah ganjaran yang besar menantimu di Syurga...

Silap faham

Sejak dua tiga hari lepas saya cuba nak 'connect' ke internet, malangnya tak berjaya, sedangkan banyak perkara yang ingin saya kongsikan. Saya pergi tanya celcom katanya memang sekarang sistem ada problem. Saya pun bersabar je la...

Tapi bila dah lama sangat tak boleh-boleh jugak saya pun mula resah dan gelisah dan memaksa suami telefon Celcom careline, sebab line tersebut walaupun saya yang guna tapi ia atas nama suami saya. Rupa-rupanya line kami kena bar sebab dah dua bulan tak berbayar. Hehe... itu semua salah saya, tak tengok bil.

Moral of the story : rajin-rajin tengok bil, jangan bila dah kena bar baru nak menggelabah...

Rugi sangat rasanya sebab tak dapat berkongsi rasa sempena hari ibu yang lalu. Walaubagaimanapun, saya akan berkongsi juga walaupun hari ibu dah lepas, namun bagi saya setiap hari ialah Hari Ibu sebab ibu akan sentiasa bersama anak-anak tak kira masa dan ketika...

04 May 2009

Carilah iktibar dari setiap inci kehidupanmu

Masjid perkampungan Bani Unaif. Inilah rupa masjid di zaman Rasulullah. Tiada kemegahan dan kemewahan tetapi kaya dengan keimanan dan ketaqwaan. Tidak pernah diubahsuai, tetapi tidak digunakan lagi pada masa sekarang.

Cerita 1:

Jalan di perkampungan Bani Unaif kecil sahaja dan hanya boleh dilalui sebuah bas, ketika itu, kami dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba ada pula sebuah bas yang ingin masuk ke perkampungan tersebut. Pemandu bas kami tidak mahu berundur, begitu juga dengan pemandu bas di hadapan kami. Sedangkan memang ada satu simpang di sebelah kanan yang jika salah seorang dari mereka mahu beralah, maka selesailah masalah.

Kami yang di dalam bas hanya saling pandang memandang dan menggelengkan kepala. Beberapa minit berlalu, tetapi tiada siapa yang ingin mengalah. Kepala bas hanya tinggal beberapa inci jaraknya. Ish macammana ni? Melihat bas di hadapan tak mahu berundur, pemandu bas kami turun. "Ya Allah, takkan pasal ni pun depa nak bergaduh?" Saya berkata kepada suami di sebelah. Suami saya hanya tersenyum dan mengangkat bahu.



Setelah saling menegangkan leher, akhirnya bas di depan kami berundur jua. Maka bolehlah kami bergerak ke bandar Madinah. Ustaz Halim yang duduk di hadapan memberitahu kepada kami bahawa orang arab memang macam tu. Tak nak mengalah. Kalau dalam bahasa orang kedah "memang ketegaq"

Cerita 2:

Maghrib itu saya memang sengaja pergi awal ke Masjidil Haram kerana ingin mendapat tempat solat di sebelah belakang maqam Ibrahim. Setelah melalui lautan manusia, akhirnya Alhamdulillah saya dapat duduk di satu tempat di mana saya dapat melihat kaabah secara langsung.

Azan berkumandang, saf-saf di bahagian itu sudah penuh, namun masih ada insan-insan yang masih mencari tempat untuk solat. Keadaan di situ memang sudah sesak, orang-orang arab yang ingin melalui kawasan tersebut, menjerit "Thoriq! Thoriq!" Menyuruh orang lain ketepi supaya dia dapat jalan ke depan.

Sedang asyik saya merenung Kaabah, tiba-tiba satu tubuh yang agak besar duduk di tempat solat saya. Ya Allah! Macammana saya nak sujud ni? Jemaah di sebelah saya yang berbangsa Turki sudah mula membebel kerana tempat sujud dia juga terganggu kerana kehadiran insan tersebut.

Geram juga dalam hati, saya cuba memberi isyarat supaya dia cuba mencari tempat lain, tetapi dia buat endah tak endah, akhirnya saya hanya mendiamkan diri. Maka terpaksalah saya dan jemaah tadi solat dan sujud di celah-celah kaki makcik tadi.

Saya beristighfar supaya Allah memberi kesabaran kepada saya. Saya bisikkan dalam hati saya, bersyukurlah... kerana Allah mengizinkan jua saya solat di hadapan kaabah walaupun dalam keadaan yang susah payah itu. Susah kerana saya tak dapat mengecilkan badan ketika sujud kerana perut saya yang semakin membesar. Mmm... Bila kenangkan kembali peristiwa itu (banyak kali berlaku), saya hanya mampu tersenyum...

Cerita 3:

Di dalam perjalanan pulang ke Malaysia, kami transit di Karachi. Di sini saya dapat melihat beberapa kelainan budaya memandu di kalangan warga Pakistan. Sepanjang berada di dalam bas ketika menuju ke lapangan terbang Karachi, pemandu akan sentiasa membunyikan hon. Memang membingitkkan!


Penumpang-penumpang sudah mula membebel dan merungut kerana kebingitan tersebut. Tapi bagi saya ia merupakan satu seni dari budaya mereka. Hon yang dibunyikan mempunyai rentak yang tersendiri, seolah-olah bas tersebut sedang berkomunikasi dengan kenderaan lain. Sungguh unik. Rupa-rupanya, hebat juga teknologi komunikasi mereka walaupun hanya melalui bunyi hon.


Melewati beberapa negara dalam perjalanan menuju Baitullah menemukan saya dengan pelbagai bangsa dan ragam yang berwarna warni. Begitu juga tika berada di Masjid Nabawi dan Masjidil haram, bukan saja wajah dan pakaian yang berbeza tetapi karektor dan karenah juga kadang-kadang mengejutkan saya.


Wanita yang berpakaian begini ialah wanita dari negara Iran. Ada yang sebahagian mereka memakai pakaian hitam. Kain yang di pegang itu adalah "telekung" mereka. Ia labuh sampai ke kaki.


Ramai juga dikalangan jemaah umrah saya yang menyatakan tidak selesa dengan cara dan tabiat mereka. Ada kalanya saya juga sukar untuk bersabar untuk mendepani gelagat mereka yang sememangnya tidak sesuai dengan budaya di tanah air.



Pada mulanya saya sering mengomel dalam hati dan selalu juga meluahkan perasaan kurang senang yang saya alami, tetapi akhirnya saya cuba untuk bersangka baik dengan apa yang terjadi.



Kesimpulan yang saya dapat ialah apa jua pengalaman yang kita lalui, apa juga kesusahan yang kita alami dan apa jua karenah manusia yang terpaksa kita hadapi, sebenarnya disitulah tarbiyah Allah mengiringi. Jika tiada ujian yang menguji kesabaran, bagaimana kita boleh belajar untuk bersabar? Jika manusia di seluruh dunia ini semuanya menepati citarasa kita, bagaimana pula kita ingin berlapang dada dengan apa jua gelagat mereka? Jika Allah menciptakan kita semua hanya satu bangsa, bagaimana kita ingin mengenali budaya-budaya lain?



Maha Suci Allah yang telah menciptakan manusia dalam pelbagai bangsa keturunan, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kita saling kenal mengenal. Jika kita melihat ada keburukan pada satu-satu bangsa, carilah sisi baik dari mereka. Bukan mudah ingin menerima sesuatu yang berlainan dengan cara kita, tetapi jika direnung-renungkan banyak iktibar mengelilinginya.




Tidak semua yang kita suka itu baik untuk kita dan tidak semua yang kita tidak suka itu tidak baik. Paling penting ialah bagaimana kita menerima sesuatu, dan carilah iktibar dari setiap inci pengalaman kehidupan kita. Sesungguhnya penciptaan Allah itu bukanlah sesuatu yang sia-sia, tetapi amat berguna kepada manusia yang berfikir dan merenung kebesaranNya.