08 October 2012

Sedangkan lidah lagi tergigit...


“Abang, kita baru sahaja berkahwin. Syifa belum kenal abang, dan abang juga berlum kenal syifa.. Jadi, jika ada apa-apa yang abang tidak suka pada syifa, abang tegur ya…” Saya memulakan bicara setelah beberapa ketika kereta  bergerak dari rumah ibubapa saya menuju ke Terengganu. Baru beberapa hari lalu kami diijabkabul. Inai pun masih merah dijari.

Kami memang belum kenal hati budi masing-masing, belum pernah keluar berdua, belum sempat bercinta,  kami dipertemukan oleh pihak ketiga. Saya kenal beliau hanyalah dengan sedikit cerita dari orang tengah dan beberapa kali taaruf. Sudah pasti banyak lagi yang misteri bagi saya tentang dirinya dan begitu juga dia.

Mata suami tertumpu ke hadapan. Menggeleng tidak mengangguk pun tidak.

“Bukannya apa, lebih baik kita hidup bersama secara telus dan berterus terang. Andai kita senyap dan tidak berkata apa-apa andai ada yang mengusik jiwa, susah juga, nanti masing-masing makan hati pula.”

Dia masih membisu. Menggerutu juga dalam hati saya bila dia sepertinya tidak memberi apa-apa respon. Oh, inilah antara cabaran untuk menerima dia seadanya.

Lama kami menyepi, maklumlah baru berkahwin, masih malu-malu nak bercerita.

“Kalau abang tegur, ayang tak terasakah?” Suara suami saya menyentuh gegendang telinga saya yang sedang melayan perasaan. Sedang berfikir rupanya tadi.

“Mmm… Mungkin juga  akan terasa… Tetapi lebih baik terasa sekejap daripada kita saling memendam rasa. Pada syifa, jika kita tidak pandai meluahkan perasaan, bimbang-bimbang perkara kecil mejadi besar. Penyakit ringan menjadi berat. Penyakit yang kecil, andai dibiar lama-lama mungkin bertukar menjadi barah. Bila dah jadi begitu mungkin sangat sukar untuk disembuhkan.” Saya memberikan rasional kenapa perlunya kami saling tegur menegur dan saling berterus terang.

 Berapa banyak perkahwinan yang berkecai hanya kerana komunikasi yang gagal. Masing-masing membisu. Apabila ada yang rasa tidak kena, hanya disimpan di dalam hati. Kadang-kadang menganggap pasangan akan memahami satu masa nanti. Namun mana mungkin pasangan dapat menebak apa yang kita suka dan sebaliknya. Bukankah kita dan dia datang dari planet yang berbeza?

Cara fikir orang lelaki, tidaklah sama dengan cara fikir orang perempuan. Cara bertindak orang lelaki juga tidak sama dengan cara orang perempuan bertindak. Tambahan pula sepasang suami isteri datang dari didikan keluarga yang berbeza. Jadi sudah pasti akan terdapat banyak pertembungan dalam banyak perkara. Jika soal bancuh kopi pun ada cara masing-masing, inikan pula soal besar-besar melibatkan pembangunan keluarga dan sebagainya.

Pada saya, di dalam melayari kehidupan rumah tangga yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Suami dan isteri perlu saling tegur menegur agar pelayaran selamat menuju ke destinasi. Jika tidak, dibimbangi lantaran hebatnya dihempas ombak nan mengganas, bahtera kita karam di tengah lautan.

Mungkin akan ada yang barkata: “Saya tak pandailah nak berterus terang. Tidak tahu apa nak dikata. Lidah kelu seribu bahasa.”

Jika tidak pandai bercakap secara berdepan, boleh sahaja dengan cara menulis. Bahkan, kerapkali tulisan lebih menyentuh hati. Lebih tersusun kata, dapat mengelak terkasar bahasa dan tertinggi suara. Maklumlah, jika sedang beremosi, sukar mengawal diri.

Ingin lebih  menarik lagi, boleh juga diselitkan hadiah bukti cinta bahawa teguran yang kita sampaikan bukanlah kerana tidak suka tetapi mengharapkan cinta ini membawa kita bersama ke syurga.

Disamping itu, kita perlulah bijak memilih masa. Tegurlah diwaktu si dia dalam keadaan selesa, perut sudah kenyang, sambil  urut-urut kepalanya (walaupun urutan kita seperti membuat jemput pisang) atau bila-bila masa yang dirasakan kedua-dua pihak boleh berbicara dengan tenang dan terbuka.

Andai tidak bijak berbahasa, apa kata kita menegur dengan perbuatan kita. Bukan denga cara merajuk tak tentu hala, tetapi mulakan dengan diri sendiri. Insya Allah lama-lama dia akan terkesan juga dan akan berubah kerana melihat contoh dari kita.

Akhirnya, titipkanlah doa dihadapan pencipta kerana Dialah yang memegang hati-hati manusia. Bangunlah disepertiga malam, bermunajat meminta ke hadrat Penguasa alam semesta.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami dan isteri. Pasangan kita tidak mungkin sempurna, begitu jugalah kita. Andai kita selalu melihat kelemahan dan kekurangannya, beleklah diri, apakah kita seperti bidadari yang indah serba serbi.

Sebelum menegur, bersihkanlah hati agar teguran itu tidak menampakkan kita meninggi diri. Rendahkanlah hati, buangkanlah segala kesumat yang mendiami hati, ingatlah saat-saat indah yang penah kita lalui sebelum ini.

Agama itu nasihat, maka nasihatilah pasangan kita dengan rasa penuh cinta dan rahmat, kerana kita ingin bersamanya selamanya di Akhirat.


07 October 2012

Kisah Adam dan Hawa


Kisah Adam dan Hawa

(ditulis oleh Humaira, nampaknya kalau Humaira boleh tulis dengan konsisten.. boleh la buatkan blog untuknya pula.. Katanya "Humaira nak tulis kisah-kisah dari Al-Quran" Doakan ya kawan-kawan )

Pada satu zaman dahulu, ada seorang nabi dan isterinya bernama   Adam dan Hawa.  Mereka tingal di dalam syurga, dalam syurga itu ada banyak makanan tetapi ada satu buah sahaja yang tidak boleh di makan.

Pada satu hari syaitan menipu  Adam dan Hawa dengan berkata, “kalau kamu berdua tidak mahu keluar dari syurga kamu hendaklah makan buah  khuldi ini.”

Kemudian mereka pun makan buah itu. Selepas itu allah s.w.t. mencampak mereka berdua keluar dari syurga.

Mereka telah dicampakkan ke bumi. Kemudian Nabi adam berdoa kepada Allah s.w.t supaya ditemukan dengan Hawa. 

Akhirnya Nabi Adam pun berjumpa semula dengan Hawa di Padang ‘Arafah.




05 October 2012

Mak, izinkan daku bernikah


“Mak, kalau saya nak kahwin hujung tahun ni boleh ke?” Jamilah bertanya kepada ibu yang sedang membancuh kopi panas untuk digandingkan dengan nasi lemak sambal kerang yang masih berasap-asap. Semuanya telah tersedia cuma menanti kopi panas sahaja lagi.

“Kamu dah ada calonnya Jamilah?” Terhenti seketika jari Puan Solehah daripada membancuh kopi. Pandangan tertumpah ke wajah anak perempuan bongsunya itu.

“Mmm baru-baru ni adalah seorang kakak di universiti saya tu bertanyakan sama ada saya ni masih kosong atau tidak. Katanya ada yang bertanya.” Jamilah menjawab perlahan, rona merah melatari wajahnya yang putih itu. Malu.

“Oh begitu…” Puan solehah mengangguk-angguk sambil tangannya sibuk menuang air ke cawan lalu mencedok nasi ke dalam pinggan.

“Mmm.. sebelum mak bagi jawapan boleh atau tidak, mak nak tanya kamu satu soalan.” Dalam kelembutan wanita itu, terselit bunyi ketegasan dalam soalannya.

Jamilah hanya tersenyum

“Mak nak tanya, kamu nak berkahwin ni, kamu dah bersediakah nak menjadi isteri kepada seorang lelaki, dan ibu kepada anak-anak kamu nanti?” Puan solehah bertanya, tangannya menghulur pinggan nasi kepada Jamilah.

“Haa? Bersedia macammana?” Jamilah bertanya naïf, meminta penjelasan.

Pada pandangan Jamilah, nanti apabila sudah berkahwin pandai-pandailah sendiri menyesuaikan diri.

“Kamu rasa apa yang kamu perlu buat  untuk kamu melangkah ke gerbang perkahwinan?” Puan Solehah menjawab soalan dengan soalan semula. Biar anaknya berfikir.

“Mmm… Kahwin… Mula-mula taaruf (berkenalan,) kemudian bertunang, lepas tu buat kenduri.  Selesai.” Jamilah tersengih-sengih lagi, membayangkan keindahan hari perkahwinannya barangkali.

“Kamu rasa itu sahaja persediaan yang kamu perlu ada?” Puan solehah bertanya lagi, ada nada tidak puas hati.

“Heeee, yang lain—lain tu suamilah yang perlu sediakan, tempat tinggal, makan minum, bukankah itu semua tugas suami?” Jamilah menjawab dengan penuh yakin.

“Kalau begitulah pandangan kamu terhadap perkahwinan, tangguhkanlah dulu hasrat kamu tu Jamilah.”  Puan Solehah cuba memprovokasi. Jamilah yang tadinya begitu berselera, tiba-tiba terhenti mengunyah. Hampir-hampir dia tersedak.

“Mak, tahun ni umur saya dah dua puluh lima, kalau mak tak bagi saya kahwin tahun ni, bila pula saya boleh kahwin?” Suaranya seolah-olah merayu supaya ibunya itu mengizinkannya untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.

Puan Solehah tersenyum merenung anak bongsunya itu, walaupun sudah berusia dua puluh lima tahun, kadang-kadang dia melihat anaknya itu seperti budak lima tahun. Belum matang pada pandangannya.

“Jamilah, mak bukan tak bagi kamu berkahwin tetapi kamu mesti memahami bahawa perkahwinan itu bukan sekadar kenduri kendari yang gilang gemilang, bukan sekadar penyatuan antara seorang lelaki dan wanita dan bukan sekadar fasa bercinta secara halal semata-mata, tetapi perkahwinan itu datang bersama tanggungjawab yang berbagai. Oleh sebab itulah mak bertanya kamu sama ada kamu sudah bersedia atau belum.”

“Mak rasa saya memang tak bersedia lagi ke?” Jamilah bertanya, Nampak naïf sungguh.

“Mmm kalaulah lepas subuh tidur, sarapan pun mak yang sediakan.  Masak masih terkial-kial. Layan budak-budak pun  tak berapa pandai. Macammana kamu nak menguruskan rumahtangga kamu nanti?”

“Itu belum lagi tengok cara kamu mengawal emosi, sekejap merajuk sana, sekejap melenting sini, haih kalau begitulah caranya letihlah suami kamu nak melayan karenah kamu nanti.”

“Jamilah, sebagai seorang wanita kita mesti ada cita-cita besar dan kita mesti jelas dengan matlamat perkahwinan kita itu. Kita mahu menjadikan keluarga kita itu keluarga yang cemerlang dunia dan akhirat. Sekiranya perkara-perkara asas pun kita masih terkial-kial, selepas kahwin baru nak belajar memasak, jaga anak dan sebagainya bila masanya kita nak memikirkan tentang agenda keluarga?”

“Kita sebagai isteri mesti menjadi tulang belakang suami kita. Kita mesti kuat dari mental, fizikal dan spiritual. Kalau kamu nak berkahwin, mak rasa kamu perlu ubah cara hidup kamu. Bangun awal pagi, selesaikan urusan rumah seperti memasak, mengemas dan sebagainya. Kemudian, kamu perlu bijak mengawal emosi, jangan terlalu mengikut perasaan. Mak nak kamu jadi orang yang lebih matang. Kalau kamu ada ciri-ciri tu, tak payah tunggu hujung tahun, hujung bulan ni pun mak setuju kamu nak kahwin.”


Persediaan sebelum perkahwinan, kebiasaannya orang hanya melihat persediaan untuk kenduri sahaja. Nak pakai baju warna apa, pelamin tema apa, berbulan madu ke mana. Itu sahaja. Sedangkan bagi orang yang ingin melayari bahtera perkahwinan, terlalu banyak persediaan yang mesti dipersiapkan.

Sekiranya hasrat kita untuk berkahwin tidak dipersetujui oleh ibu bapa.  Usah terburu-buru mengatakan bahawa ibubapa tidak memahami. Cubalah muhasabah bagaimana kita mengurus diri. Ibu bapa ingin melihat yang terbaik untuk diri anak-anaknya. Mungkin mereka tidak bersetuju kerana tingkahlaku kita yang belum matang. Mungkin juga kerana personality kita yang kurang bertanggungjawab. Mungkin juga kerana kita belum cekap melaksanakan urusan rumahtangga yang asas.

Oleh itu, sebelum kita menyatakan hasrat ingin mendirikan rumahtangga, tunjukkanlah kepada mereka bahawa anak mereka ini sudah bersedia. Fahamilah hakikat sebuah perkahwinan, ia bukanlah sebuah istana yang dibentang dengan hamparan baldu tetapi ia sebuah perjalanan yang penuh liku. 

26 September 2012

Kebun pahala yang tiada dua


“Assalamualaikum kak…” suara Nora memecah keheningan sambil tangannya menyentuh lembut bahu saya. Saya menoleh kepadanya dengan senyuman dibibir

“Waalaikumussalam warahmatullah..” bingkas saya bangun lalu menyalami dan memeluknya kemudian mata kami bertentang. Nora tersenyum, namun senyuman hari ini tidak seceria biasa. Bagai ada yang tersimpan di  lubuk hatinya.

“Hah! Mimpi apa nak dating dengan akak hari ni? Kerja macammana? Anak-anak sihat?” Saya melontarkan soalan bertali-tali, hampir dua bulan tidak ketemu dengan sahabat saya ini. Tiba-tiba dia menghubungi saya semalam, nak bersembang-sembang katanya.

“Saya mimpi rindukan akak…” dia melirik senyuman, sambil tangannya memegang pipi saya

“Iye la tu… Anak-anak sihat? Tak bawa ke sini?” Saya bertanya sekali lagi, rindu juga saya kepada sepasang anak Nora yang comel itu. Si abang bernama Adam dan adiknya sofia.

“La kalau bawak mereka berdua, tak jadi dating la kita! Hehe…” Dia menyeringai lagi. Begitulah Nora, sentiasa kelihatan gembira walaupun kadang kala jiwanya direnggut resah. Walaupun dia muda beberapa tahun daripada saya, tetapi ikatan persahabatan yang  terjalin sejak di universiti menjadikan kami seperti adik beradik. Serasi. Selalu berkongsi rasa dan cerita. Tatkala diri dihimpit masalah, seringkali saya menjadi telinga untuk mendengar luahannya. Jika dirinya memerlukan bahu untuk menangis, bahu saya jugalah yang selalu menjadi pilihan.

“Akak apa khabar? Nampak kurus sikit ni akak tak sihat ke? Anak-anak?” giliran dia bertanya

“Alhamdulillah, akak sihat, anak-anak pun sihat… sekarang mereka pergi ke kolam renang bersama ayah mereka.” Jawab saya ringkas

“Mak Nora di kampung sihat tak? Lama tak dengar berita makcik, rasanya dah empat lima tahun tak berjumpa. Kalau dia ke sini beritahu akak ye, boleh akak pergi ziarah.” Saya terus bertanya khabar. Dulu semasa di universiti selalu juga saya ke rumah orang tua Nora di Terengganu. Selepas kematian ayahnya ketika Nora di tahun dua, Nora kerap juga balik ke kampung menjenguk ibunya.

“Mmm biasa la orang tua, ada masa sihat, ada masa tak berapa sihat… Mmm saya nak sembang-sambang dengan akak pasal mak saya lah ni…” Wajah Nora yang tadinya ceria, muram sedikit. Dia menundukkan pandangan.

“Kenapa dengan mak Nora? Sakit ke?” Saya bertanya dengan nada yang agak cemas. Setahu saya makcik tidak menghidap penyakit-penyakit kronik yang selalu menimpa orang tua zaman sekarang. Cuma lelah yang jarang-jarang datang bertamu andai makanan tidak dijaga dengan baik.

“Bukan.. Dia ok je, Cuma baru-baru ni, abang saya cadangkan supaya kami bergilir-gilir menjaga mak. Kami kan ada lima beradik. Jadi ada yang mencadangkan supaya mak duduk sebulan di rumah abang long, sebulan di rumah kakngah, sebulan di rumah saya, seterusnya di rumah kak cik dan usu. Sejak beberapa tahun yang lalu, mak dah tak duduk di rumahnya di Terengganu kerana abang risaukan keselamatan mak jika tinggal berseorangan. Jadi dibawanya mak tinggal bersama dirumahnya. Tak tahu lah kenapa baru-baru ni timbul cadangan sebegini. Mmm…” sekali lagi wajahnya tertunduk, nafasnya dilepas berat.

“Macam mana ya kak? Apa pendapat akak? Saya kadang-kadang rasa ok dengan cadangan tu, tapi kadang-kadang rasa macam tak ok. Kesian juga pada mak, takut-takut dia rasa macam bola pula ditendang ke sana ke mari. Kami adik-beradik memang sangat-sangat sayangkan mak. Cumaaa…” Bicaranya terhenti, merenung ke depan, memikirkan natijah barangkali.

Saya diam sahaja, tidak mahu mengganggu andai ada lagi yang ingin diluahkannya. Tiba-tiba wajah ibu dan ayah dikampung turut bermain di mata. Rindu menyelinap.

“Akak, apa pendapat akak ye?” Dia bertanya semula. Tangannya menggenggam jari jemari saya.

“mmm… sebelum akak beri pendapat akak, Akak nak Tanya beberapa soalan kepada Nora. Boleh?” saya pandang wajah ibu muda itu. Mata kami bertemu lagi.

“ Pertama, jika Nora duduk ditempat mak Nora, agak-agak Nora nak tak duduk dirumah orang ni sebulan kemudian pindah ke rumah orang lain pula, kemudian selepas sebulan pindah pula ke rumah orang lain? Seronok tak hidup berpindah randah?” Saya bertanya sambil merenungnya

“Ish penatlah macam tu. Nak punggah beg merata-rata. Taknak lah…” Dia menggeleng-geleng.

“Soalan kedua, apa perasaan Nora jika anak-anak berbuat begitu kepada Nora bila Nora tua nanti? Sekejap duduk rumah Adam, sekejap duduk rumah Sofia. Sekejap duduk di rumah anak-anak yang lain pula?” Nora kelihatan tersentak dengan persoalan saya.

“Ya Allah, saya sanggup duduk sorang di rumah saya daripada berpindah randah begitu. Biarlah susah senang, sakit pening saya duduk di rumah sendiri. Walaupun anak sendiri, mesti mereka ada kehidupan mereka masing-masing. Tak sanggup saya nak menyusahkan anak-anak”

“soalan ketiga, apa yang nora harapkan dari anak-anak yang nora ulit bagaikan permata sekarang ini?” saya bertanya lagi

“mmm mestilah saya nak mereka sayangi saya macam saya sayang pada mereka. Merawat saya ketika sakit, menjaga saya tatkala saya sudah kurang upaya. Pendek kata saya inginkan anak-anak yang berbakti kepada kami ibu ayah mereka.” Dia menjawab, pandangannya jatuh kepada deretan bunga-bungaan yang pelbagai warna di hadapannya.  Senyuman menghiasi bibir, mungkin terbayangkan hari tua yang indah-indah.

“Nampaknya, soalan yang Nora tanya akak tadi, Nora sudah menjawabnya sendiri.” Saya mengalih pandangan ke arahnya. Nora mengangkat kening.

“Begitulah juga orang tua kita Nora, dengan kesihatan dan kudrat yang semakin kurang, sangat tidak sesuai jika mereka terpaksa berpindah randah begitu. Jika kita yang muda ni penat bila sekali sekala balik ke kampung, inikan pula orang tua seperti mereka. Kasihanilah mereka. Mungkin kita rasa cadangan kita itu relevan pada kita adik beradik, tetapi cuba kita fikirkan keadaan mereka sama ada sesuai atau tidak. Itu dari sudut fizikal.”

“Dari sudut perasaan pula, ibu bapa ni jiwanya halus, mudah tersentuh. Walaupun niat kita baik, kadang-kadang ibu bapa fikirnya lain. Bagi kita, mungkin nak bagi keselesaan kepadanya, tetapi bagi dia mungkin anak-anak tak sanggup menjaga mereka lama-lama. Seperti mana kita, kita mesti ada tempat yang kita selesa untuk tidur, makan dan berehat, begitu juga dengan mereka. Bukan mudah untuk mereka menyesuaikan diri di setiap tempat yang mereka terpaksa menghuni. Akak ingatkan mak akak, dia suka masak air dalam periuk bertangkai yang telah digunakan bertahun-tahun. Berbagai-bagai jenis cerek yang kami anak-anak belikan. Cerek elektrik, cerek berbunyi, tapi periuk itu juga yang menjadi pilihan. Ibu bapa yang sudah punya barang kesukaan mana mungkin dia akan mengangkutnya ke sana ke mari. Bagi kita mungkin ia satu perkara yang remeh, tetapi bagi orang yang sudah menjengah usia emas, semua itu ada nilai sentimental yang tidak mungkin difahami anak-anak.”  Saya menjelaskan panjang lebar.

Nora mengangguk perlahan

“Orang tua juga ada kawan-kawan yang nak diajak bersembang. Jiran sekeliling rumah. Cuba bayangkan bila dia duduk berpindah randah. Susah juga nak menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Di dalam kesunyian mereka kehilangan teman berdamping. Berilah mereka peluang untuk mengisi jiwa mereka dengan perkara-perkara yang telah mereka selesa. Kita belum tua, mungkin kita belum merasa, tetapi cubalah sedaya upaya untuk menyelami kolam hati mereka…” Jiwa saya memang mudah  tersentuh bila membicarakan soal ibu bapa kerana terlalu banyak peringatan di dalam Al-Quran dan hadith yang menekankan betapa penting berbuat baik kepada ibu bapa.

“Nora, Jika kita tidak mahu anak-anak berbuat begitu kepada kita. Jangan sesekali kita berbuat begitu kepada ibu ayah kita. Anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat. Jika kita berkasar dengan ibu bapa kita, maka tunggu sahajalah kata-kata kasar yang akan lahir dari anak-anak kita kepada kita. Jika kita melayani mereka dengan sopan santun. Insya Allah, anak-anak juga akan menyantuni kita ketika kita sudah dimakan usia nanti. Bak kata orang, apa yang kita beri, kita akan menerimanya kembali.”

“Ibu bapa adalah kebun pahala yang tiada dua. Selagi mereka masih ada bersama kita, santunilah mereka sebaiknya. Sebut memang mudah, tetapi nak melaksanakannya adalah satu perkara yang agak sukar. Melayani jiwa orang tua kadang-kadag lebih sukar berbanding melayani karenah anak-anak kecil. Oleh sebab itulah, Allah tidak membenarkan kita berkata kasar walaupun dengan perkataan ‘ah’ kepada ibu bapa kita.”

“Umpamanya, kita ada sebuah kebun buah-buahan. Andai ingin mendapat hasil yang baik, buah yang elok dan banyak, pastinya ia memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit. Jika betul caranya, sabar pula menjaganya, insya Allah lumayanlah hasilnya. Berbakti kepada ibu bapa, terlalu banyak ganjarannya. Natijahnya bukan sahaja di akhirat sana, malahan keberkatan akan terasa sejak di dunia…”

“satu lagi, jangan buat ibu bapa kita seperti anak-anak kita. Nak suruh mereka  ikut cakap kita sahaja. Kita mesti ingat, walaupun dia dah tua dan kurang berdaya, mereka tetap ibu bapa yg mesti kita muliakan..” panjang sungguh nasihat saya petang itu.

Teringat saya akan pertanyaan Rasulullah kepada sahabat baginda :”Adakah kamu mempunyai ibu?” Sahabat menjawab, “Ya.” Lalu Rasulullah berpesan, “dampingilah beliau iaitu ibu kerana sesungguhnya syurga di bawah kedua kakinya.”

Teringat juga saya kepada sebuah kisah di mana ada seorang orang soleh yang menggendong si ibu untuk bertawaf. Apabila ditanya samaada beliau telah membalas jasa ibunya. Ternya jawapan yang diterima ialah “tidak, bahkan walaupun sekadar sehela nafas ibumu.”

Ibu bapa adalah kebun pahala yang mesti kita jaga sebaiknya. Mengabaikannya bermakna kita mensia-siakan salah satu nikmat untuk mendapatkan keampunan dan keberkatan dari Allah s.w.t.

26 July 2012

Madrasah Ramadhan 1 : Raungan si kecil yang menyentuh jiwa

Semalam, dari pagi anak kecil itu tidak lena tidurnya. Tidur sekejap, kemudian menangis, tidur sebentar kemudian menangis lagi mahu menyusu. Saya tidak dapat buat apa-apa,  memang terasa susu badan tidak banyak. Mungkin malam tadi kurang minum air.

Menjelang petang, insyirah semakin tidak selesa, menghisap susu, kadang-kadang marah kerana terlalu sedikit susu yang keluar. Saya cuba memberinya susu ibu yang telah saya perah beberapa hari sebelum Ramadhan, namun dia tidak mahu. Mungkin tidak suka dengan puting yang keras itu.

Allahu akbar! Hampir-hampir saya menangis melihatnya meraung kelaparan. Tersiksa sungguh jiwa seorang ibu apabila melihat anaknya begitu. Dalam kebuntuan saya itu, lantas saya teringat keadaan anak-anak Somalia yang jauh lebih dhaif. Anak kita mungkin hanya lapar beberapa jam namun anak-anak di Somalia kelaparan saban tahun, malahan ada yang menemui maut kerana kebuluran.

 Apalah yang boleh diharapkan oleh si ibu ini selain kepasrahan kepada Allah S.W.T?



Insafilah mereka yang lebih hebat diuji berbanding kita..


Jiwa saya menangis, hati saya resah hanya untuk seketika, tetapi bagaimanakah rasa seorang ibu di Somalia atau di tempat-tempat yang mengalami krisis makanan? Pasti mereka lebih parah lagi dan terpaksa pula pasrah dengan keadaan yang menimpa.

Benarlah puasa dan Ramadhan itu medan mendidik jiwa. Andai kita punya makanan untuk disantap, bertaqwa dan bersyukurlah banyak-banyak kerana diluar sana mungkin ada yang tidak mampu bersahur dan tiada pula juadah untuk berbuka.

Allah bantulah saudara-saudara kami yang tidak terbela di sana…

04 July 2012

Mohon doa semua...


Impian... Terlalu banyak impian buku-buku tulisan sendiri di dalam minda.. Namun susah sungguh nak dijelmakan di alam nyata..

Saya berdoa dan berharap agar Allah terus mengurniakan ilham, kekuatan dan semangat utk merealisasikannya. Mohon doakan saya agar menarinya jejari saya di atas keyboard ini adalah untuk memberi manfaat kepada umat.

Walau kadang-kadang terasa diri teramat kerdil dalam menghasilkan karya, saya harap karya-karya kecil ini akan memangkin wujudnya karya-karya besar satu masa nanti... Panjang angan-angan jangan dibiar terbengkalai begitu sahaja, perlu ada usaha untuk menjayakannya.

Selalu juga dalam hati terlintas "Aaarghh! adakah orang akan membeli dan membacanya?" lalu dipujuk hati dengan "Insya Allah, jika tidak ramai, pasti ada sedikit yang dapat membaca dan menggunakannya." Pergolakan antara nafsu dan iman tidak akan pernah berhenti. Cuma arah mana yang akan kita turuti.

Tinggal diperantauan, menjadi surirumahtangga sepenuh masa memang punya ujian yang tersendiri. Dua puluh empat jam menghadap karenah anak, dengan rutin pengurusan rumah tangga yang tidak pernah usai, kerap kali menyebabkan aktiviti menulis terpaksa ditolak ke tepi.

Namun sampai bila saya harus menjadikannya alasan? Walaupun memang itulah sebab-sebab yang diberi untuk menyedapkan hati.. Mungkin saya ini sangat kurang motivasi diri.

Hangat-hangat tahi ayam. Itu masalah yang sering saya hadapi. Sekejap nak tulis buku ini, sekejap nak tulis buku itu. Menulis tidak sampai suku, mulakan pula isi buku baru. Haih.. kalau beginilah keadaannya, tak tahu  bila akan munculnya sebiji buku. 

Nampaknya, saya terpaksa juga mengubah cara berfikir saya. Buat satu-satu, jangan terburu-buru. Usaha sehabis daya, agar perancangan dan impian terlaksana.

Pembaca budiman, saya sekarang sedang merancang untuk menulis buku "AKTIF TANPA SKRIN, bermain sambil membina iman". Saya bercadang hendak menulis 70-100 aktiviti yang boleh ibu bapa atau guru buat bersama anak-anak, dan disertakan tips-tips untuk mendidik anak-anak di dalam permainan tersebut. Mudah-mudahan anak-anak akan rasa seronok bermain dan secara tidak langsung ada nilai tarbiyah di situ.

Ya Allah... Moga dipermudahkan, jika ada cadangan silalah kemukakan... Mohon doakan supaya ia berjaya.. Tiada kekuatan selain kekuatan dari Allah.. Di dalam hati :"Mampukah saya melaksanakannya?"

Mohon doa semua...

12 June 2012

Setiap anak itu unik



“ Eh baiknya anak awak,makan senang, tak banyak ragam.. mmm.. Awak buat macam mana ya sampai dia jadi baik begini?”

“Ya Allah, kesian sungguh saya tengok anak Mira tu, asyik menangis sahaja. Nak kata lapar, dah diberi makan, nak kata perut kembung, tak pula.”

“Akak, anak saya ni susah betul nak bergaul dengan orang. Asyik nak berkepit dengan mak ayah dia saja. Macammana nak buat ya? Bimbang juga sebab tak lama lagi dia dah nak ke Tadika, kalau beginilah keadaannya, bimbang dia menangis sepanjang hari di Tadika nanti.”

Bila para ibu bertemu, dialog-dialog seperti di atas pasti biasa dibicarakan. Masing-masing berkongsi pengalaman. Bagi ibu yang mempunyai anak yang tidak banyak ragam, syukur pada ilahi. Namun bagi ibu yang mempunyai anak yang selalu meragam, pasti timbul sedikit sebanyak tekanan lantaran keletihan dalam menangani karenah anak-anak.

Kadang-kadang, sampai buntu memikirkan apa yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat sehingga anak-anak mereka baik sebegitu rupa dan apa yang tidak dilakukan oleh kita sehingga anak-anak bagaikan ada yang tidak kena.

Bagi ibubapa diluar sana, jika anak kita tidak serupa tabiat dan ragamnya dengan yang lain, janganlah risau kerana menurut satu kajian yang telah dibuat di New York selama sepuluh tahun berkenaan dengan perangai kanak-kanak, kanak-kanak secara umumnya terbahagi kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama ialah kanak-kanak yang mudah untuk diuruskan. Mereka mudah untuk makan dan bersedia untuk menerima perubahan. Mereka akan tidur sepanjang malam. Tidak cerewet memilih makanan dan tidak mempunyai masalah ketika membuang air sama ada kecil atau besar. Mereka juga mudah menerima permainan baru, persekitaran baru dan orang baru di sekeliling mereka. Kanak-kanak sebegini menjadikan pengalaman keibubapaan sesuatu yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Kumpulan kedua ialah kanak-kanak yang lambat untuk menyesuaikan diri , malu atau terus menolak apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru. Mereka mungkin akan meluahkan makanan, sukar untuk tidur malam terutamanya di tempat yang baru dan akan rasa terganggu dengan perubahan. Namun, dalam jangka masa tertentu, mereka akan perlahan-lahan menerima perubahan tersebut. Masalah yang dialami oleh kanak-kanak di dalam kumpulan ini adalah berbentuk sementara sahaja, ibu bapa hanya perlu memahami tentang ketakutan dan perasaan malu mereka da mengatasinya. Ibu bapa perlu meningkatkan keyakinan diri kepada anak-anak seperti ini.

Kumpulan ketiga pula ialah kanak-kanak yang akan protes dan sukar menerima setiap perubahan yang menyalahi kebiasaan mereka. Mereka sukar untuk tidur, sukar menyesuaikan diri dengan pengasuh baru, makanan baru bahkan apa jua yang baru dalam hidup mereka. Mereka banyak menangis dan meragam. Mereka sangat cerewet memilih makanan dan sangat sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan. Kanak-kanak sebegini perlu dirawat dengan kasih sayang dan ketegasan.

Kumpulan yang keempat pula ialah mereka yang mempunyai sikap yang bercampur-campur antara ketiga-tiga kumpulan di atas. Kadang kala mudah dan kadang kala sukar untuk menerima perubahan. Sebagai contoh, mereka mudah tidur tetapi cerewet apabila menyentuh tentang soal makanan.

Setiap anak itu unik dan dilahirkan dengan tabiat dan karektor yang berbeza. Kita sebagai ibu bapa janganlah suka membanding-bandingkan anak-anak sendiri dengan anak orang lain kerana ia mungkin akan memberi tekanan kepada ibu bapa jika anak kita tidak seperti anak rakan-rakan kita.

Terimalah anak kita seadanya. Jika mudah diuruskan bersyukurlah kepada Allah. Jika sebalik banyakkan bersabar dan carilah penyelesaian untuk menghadapinya dengan berbincang dengan mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan. Jika perlukan bantuan, mintalah dari mereka yang sepatutnya seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pengalaman keibubapaan merupakan suatu yang indah jika kita bijak mengurusinya. Segalanya bermula dari cara kita berfikir, jika kita fikir ia sesuatu yang sukar dan membebankan, maka itulah yang akan kita rasakan. Namun, jika kita fikir bahawa menjadi ibubapa itu sesuatu yang menyeronokkan, walau apa jua yang datang melanda, kita pasti akan berusaha untuk menghadapinya dengan gembira.