Lama benar kami sekeluarga tak pulang ke Pahang. Sejak kenduri kahwin pada bulan Mac yang lalu, kami belum berkesempatan untuk menjengah desa yang tercinta. Bukan tak rindu, tapi terlalu banyak perkara yang mengikat kami di sini.
Wajah desa itu tak pernah saya lupakan kerana di situlah berseminya cinta. Tersemai kasih kepada alam seiring cinta kepada Yang Maha Pencipta. Bukit bukau yang memasak, ladang-ladang yang menghijau bukti kebesaran dan kekuasaan tuhan.
Di desa itu juga, berdirinya teratak cinta. Kisah cinta ayah kepada anak-anaknya. Teratak itu juga yang menyimpan sejuta peristiwa yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Teratak yang menyaksikan kepahitan dan keperitan demi sebuah kehidupan. Teratak yang menyaksikan kesabaran menjadi tunggak kejayaan.
Hujan yang menyimbah kadang-kadang menembusi atap yang uzur. Menghidangkan irama pilu tika ia menitis ke lantai. Lebat hujan di luar, lebat lagi hujan dalam hati abah mengenang nasib anak-anak.
Tetapi sudah lumrah cinta, akan dikorbankan segalanya demi kelangsungan hidup insan yang tercinta. Dan... teratak cinta itu tidak jemu-jemu merakam episod cinta yang penuh duka lara. Pengorbanan orang tua kepada anak-anak. Biar diri terluka, tetap digagahi jua.
Itulah yang menyebabkan saya sangat merindukan teratak cinta itu. Ia terlalu banyak menyimpan kenangan pahit manis kami sekeluarga dalam menempuh liku-liku kehidupan. Di situlah khabar gembira diterima, disitu jua ditadah khabar yang bersulam air mata.
Wajah desa dan teratak cinta itu tidak mungkin dapat dipisahkan. Kerinduan kepada tempat tumpah darah pasti akan wujud dalam setiap manusia. Walau sejauh mana ia pergi. Walau setinggi mana ia terbang. Ia pasti akan merindui asal usulnya. Itulah hakikat perasaan.
Seharusnya disamping kita merindui kampung halaman. Ciptalah kerinduan kepada kampung abadi kita. Kampung akhirat yang sentiasa menanti kehadiran kita. Jika perjalanan ke desa permai memaksa kita menyediakan bekalan, bagaimana pula bekal ke desa abadi kita. Sudah cukup atau belum? Bersediakah kita jika dipanggil bila-bila masa?
Jika ustaz Asri (Rabbani) kembali hari ini, kita pasti akan menyusul nanti... Persoalannya, cukupkah sudah persiapan kita untuk perjalanan bertemu ilahi? Tepuk dada, tanyalah iman di hati...
No comments:
Post a Comment