06 January 2012

Engkau pakaian terindah buatku





Suamiku,
Engkau pakaian yang terindah buatku
Melindungi aibku 
Melindungi maruahku


Tatkala aku kedinginan 
Engkau hangatkanku dengan ayat-ayat cinta dari Tuhan
Tatkala aku kehangatan
Engkau sejukkan daku dengan siraman keimanan
Tatkala aku keresahan
Engkau menyelimutiku dengan ketenangan tutur hikmah berbaur ketaqwaan


Engkau pakaian yang terindah buatku
Mendorong aku untuk menjadi  indah dengan akhlak Rasulullah
Mendorongku untuk menjadi indah dengan sifat-sifat mahmudah


Kadangkala terbuka jua keburukan dan kejelekan dalam tingkah laku dan pertuturanku
Engkau tidak pernah jemu untuk terus menampal koyak-koyak mazmumah itu


Suamiku, 
Engkau pakaian kecintaanku demi menggapai redha dari Rabbul Izzati
terasa dihargai bila engkau menyaluti jiwa ku dengan kasih insani
Menyempurnakan fitrah ciptaan ilahi


Suamiku,
Engkau pakaian terindah buatku
Aku juga akan cuba untuk menjadi pakaian tercantik buatmu
Biarpun hujan akan membasahi kita
Biarpun terik mentari akan memeritkan kita
Moga kita terus setia 
Moga kita akan terus bersama
Di bawah lembayung kasih sayang dariNya


Selamat Hari Lahir yang ke 33
Dan selamat hari lahir yang ke 8 yang kita sambut bersama walaupun diriku selalu lupa...

05 January 2012

Ajarlah anakmu solat


Ceria di dalam telekung solatnya!


Ketika berusia tiga tahun setengah...


Sepohon kayu daunnya rimbun
Lebat buahnya serta bunganya
 walaupun hidup seribu tahun
kalau tak sembahyang apa gunanya

Pagi itu, saya menggunakan waktu cuti persekolahan musim panas  bersama anak-anak dengan mendengar nasyid lama yang penuh nostalgia ini. Memandangkan anak sulung sudah menjejak umur tujuh tahun, maka kami suami isteri perlu memastikan tahun 2012 ini merupakan tahun transformsi solatnya.

Sebelum ini dia tidaklah begitu konsisten, solat subuh yang selalu kalah dengan kantuknya, isya yang juga selalu ketinggalan lantaran keletihan bermain seharian, asar yang juga culas untuk dilaksanakan kerana sibuk bermain, namun Alhamdulillah zohor dan maghrib yang banyak tertunai.

Lantaran perintah Rasulullah berbunyi:

“Suruhlah anak-anakmu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun.”

Saya merasakan tahun ini kami perlu lebih serius di dalam memastikan saranan Rasulullah ini terlaksana.

Sehari sebelum tahun baru 2012, saya telah berpesan kepadanya: “Esok Humaira sudah masuk tujuh tahun, jadi mulai esok Humaira mestilah solat lima waktu, subuh mesti bangun dan sebelum tidur mestilah solat isya terlebih dahulu. Begitu juga dengan solat-solat yang lain, tidak boleh ditinggalkan lagi ya. Pendek kata, humaira mestilah menunaikan solat lima waktu sehari semalam.”

“Kenapa kalau tujuh tahun mesti solat lima waktu, ibu?” Dia bertanya sambil membulatkan matanya, mungkin terasa berat untuk melaksanakannya

“Sebab Rasulullah perintahkan supaya  ibu dan ayah menyuruh anak-anak solat lima waktu sejak berumur tujuh tahun lagi…” Saya menjelaskan asbab arahan saya tadi, belum sempat saya menghabiskan penjelasan suami pula menambah : “Dan jika semasa umur sepuluh tahun Humaira meninggalkan solat, ayah akan rotan Humaira tau.” Tekan suami saya lagi.

Melopong mulut anak kecil itu, mungkin kerana kami jarang merotannya, maka apabila diancam dengan rotan kerana tidak solat, mungkin dia merasakan kami tidak bermain-main.

“Jadi, Humaira mestilah berlatih daripada sekarang!” Saya bangun dari tempat duduk menuju ke sinki untuk membasuh tangan.

Bait-bait nasihat sebegitu selalu kami ucapkan sejak dia masih kecil lagi, walaupun mungkin kata-kata yang berbeza, tetapi maksud dan matlamat tetap sama iaitu supaya dia istiqamah dengan solatnya.

Bukan mudah menancapkan kefarduan saolat dalam diri anak kecil, berbagai teknik terpaksa kami laksanakan, beri sticker, carta solat, my solehah book, peluk dan puji dan berbagai-bagai cara lagi.

Alhamdulillah, bermula 1 januari 2012, anak sulung kami itu telah berjaya melaksanakan solat lima waktu sehari semalam dalam usia yang yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun begitu, perjuangan ini belum selesai, bahkan bagi kami ia barulah permulaan kerana kami perlu terus berusaha dan berdoa agar solat yang menjadi tiang agama ini sebati di dalam dirinya sepanjang kehidupannya di dunia ini.


Menurut kajian yang telah dibuat oleh seorang tokoh motivasi, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah,sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam.
Peratusan ini diperolehi melalui tinjauan beliau menerusi program-progran ceramah dan motivasi yang telah dijalankan seluruh Negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga.

Statistik ini amatlah menyedihkan kita, dan tidak dapat dinafikan bahawa masalah solat ini merupakan  salah satu daripada punca runtuhnya akhlak anak muda pada zaman ini. Bukankah solat itu tiang agama, jika tidak ditunaikan maka akan robohlah juga agama di dalam diri individu muslim itu. Apabila agama sudah longgar, tidak hairanlah jika anak-anak mudah terjebak di dalam gejala-gejala negatif yang tidak bermaruah dan merosakkan.

Menyedari tentang perkara ini, saya merasakan bahawa setiap ibu bapa muslim mestilah menjadikan saranan Rasulullah supaya mengajar anak-anak solat sejak berusia tujuh tahun  satu perkara yang perlu diberi perhatian khusus kerana solat merupakan benteng umat Islam dari perkara mungkar.

Janganlah sekadar mengimpikan anak-anak yang cemerlang dari sudut akademik, tetapi persoalan solat dikesampingkan begitu sahaja. Ingatlah kepada perintah Allah di dalam surah Thaha ayat 132 :

“dan hendaklah engkau menyuruh keluargamu mengerjakan sembahyang, dan bersabarlah terhadap perintah itu…”

Penyataan sabar di dalam ayat ini  menggambarkan bahawa proses mendarah dagingkan solat dalam kehidupan anak-anak merupakan satu proses yang panjang dan sukar. Perlu kepada usaha yang bersungguh-sungguh dan keyakinan yang benar-benar mantap.

Proses ini juga perlulah digembeleng pertamanya oleh ibu bapa itu sendiri kerana sesungguhnya  setiap anak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah dan suci, kedua-dua ibu bapalah yang menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.

Bahkan pendidikan berkenaan solat ini mestilah diambil berat oleh ibu bapa kerana ia merupakan amalan pertama yang dihitung oleh Allah pada hari kiamat nanti. Sekiranya elok solat seseorang itu maka eloklah segala amalannya. Sekiranya rosak solatnya maka rosaklah segala amalannya.

Penekanan tentang ibadah fardhu ini perlulah dibuat sejak anak-anak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Memandangkan kefardhuan solat ini merupakan satu kefardhuan yang berat, maka kita perlulah berusaha agar urusan solat ini mengalir bersama aliran darah mereka, bergerak selari dengan helaan nafas mereka dan mendarah daging di dalam tubuh anak-anak kita.

Letakkanlah solat sebagai ukuran kejayaan anak-anak selain daripada pencapaian akademik dan pencapaian duaniawi yang lain. Jadikanlah solat sebagai satu urusan yang tiada kompromi dalam diri kita dan anak-anak kerana solat itulah yang akan menghapuskan perbuatan-perbuatan yang buruk sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

Oleh itu, sama-samalah kita memandang solat sebagai satu perkara penting di dalam melakar kecemerlangan anak-anak, dan marilah sama-sama kita berdoa dengan doa Nabi Ibrahim ini:

“Ya Tuhanku, jadikanlahlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat, ya tuhan kami, perkenankanlah doaku” (surah Ibrahim 14:40)

Amin, amin ya Rabbal alamin…

Insya Allah, akan menyusul tidak lama lagi, tips-tips mengajar anak-anak solat semenjak kecil supaya anak-anak mampu untuk mula istiqamah dengan solat lima waktu di usia 7 tahun. Ikutilah Al-Quran dan sunnah Rasulullah, Insya Allah hidup kita akan terpimpin hingga ke akhirnya…


03 January 2012

Asingkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa? Kenapa?


Walaupun anak-anak ini kelihatan begitu lena, namun kita tidak dapat menjamin bahawa mereka tidak akan tersedar sehingga ke pagi. Maka berwaspadalah sentiasa!
gambar dari medjournalwatch.blogspot.com


Pendidikan seks, apa yang anda fikirkan apabila disebut perkataan ini? Ramai yang rasa ia adalah satu perkara yang lucah dan memalukan. Namun, ketika saya ingin menulis tentang mengasingkan anak tidur dari ibu bapa, saya menyelak buku Pendidikan Anak-Anak Islam tulisan Dr Nasih Ulwan. Saya dapati, Dr Nasih Ulwan telah menerangkan tentang perkara terbut di dalam satu bab yang panjang iaitu bab pendidikan seks. 

Setelah diteliti, ternyata bahawa pendidikan seks di dalam keluarga islam sangat-sangat dipentingkan untuk menjaga anak-anak dari terdedah kepada gejala sosial yang amat membimbangkan sebagaimana yang berlaku di dalam masyarakat pada masa kini.

Melihat kepada gejala sosial yang berlaku kini seperti penzinaan,  pembuangan anak,  seks di luar tabii dan banyak lagi jenayah yang berlaku di kalangan remaja Islam, saya merasakan bahawa pendidikan seks di dalam Islam yang banyak berkisar kepada penjagaan aurat dan adab-adab sesama ahli keluarga dan individu lain perlulah ditekankan oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil

Memetik sebuah ayat alquran dari surah An-Nur ayat 58

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) yaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya. (Itulah) tiga 'aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”


Daripada ayat di atas, Allah telah membimbing tentang asas pendidikan di dalam rumah.  Maka sejak kecil lagi, anak-anak mestilah dibiasakan untuk meminta izin, pada masa-masa dimana seorang lelaki dan seorang perempuan sedang duduk bersama-sama, supaya anak-anak kecil ini tidak terserempak dengan sesuatu keadaan yang dia tidak sepatut melihatnya.

Adab ini mestilah diajar kepada anak-anak sebelum umur baligh mereka dan mereka mestilah mememinta izin dalam tiga keadaan iaitu

I.        Di waktu sebelum sembahyang subuh kerana pada ketika itu manusia sedang tidur di atas tempat peraduan mereka
II.        Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III.        Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat

Sekiranya anak-anak sudah baligh dan cukup akal, maka wajiblah kepada para ibu bapa dan  pendidik untuk mengajar mereka meminta izin pada ketiga-tiga waktu tersebut sesuai dengan firman Allah yang bermaksud

Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Anak-anak kecil sebelum baligh lagi sudah diarahkan untuk meminta izin untuk memasuki bilik tidur, jadi bagi ibu bapa, peraturan ini perlulah dilaksanakan di dalam rumahtangga. Maka, pengasingan bilik tidur antara anak-anak dan ibu bapa perlulah dibuat sejak anak-anak kecil. Jika masih tidur sebilik, bagaimanakah kita dapat mengajar anak-anak tentang adab meminta izin ini?

Melalui pengamatan saya, setelah berkecimpung di dalam arena pendidikan anak-anak selama hampir sepuluh tahun, saya dapati ramai di kalangan ibu bapa yang melihat proses mengasingkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa sebagai satu perkara yang remeh.

Saya mendapati ramai ibu bapa yang masih tidur sebilik dengan anak-anak walaupun anak-anak telah menjangkau usia lima dan enam tahun, bahkan saya juga pernah bertemu dengan anak yang masih tidur di bilik ibu bapa walaupun sudah berumur tujuh atau lapan tahun.

Saya ingin menarik perhatian ibu bapa diluar sana tentang satu peristiwa yang saya lalui sendiri.

Pada suatu hari, seorang guru datang menemui saya.

“Kak syifa, ada seorang pelajar lelaki lima tahun dari kelas saya selalu berkelakuan yang tidak sopan terhadap rakan-rakan perempuannya. Saya dah cuba untuk menasihatinya, tetapi ia tidak memberi kesan. Dia tetap melakukan perkara yang sama berulang kali, dan ia sangat membimbangkan saya.” Cikgu Ida memulakan cerita dengan wajah penuh kebimbangan. Saya mendengar dengan teliti.

“Kelakuan yang tidak sopan? Dia buat macammana?” Hati saya sudah berdetap kencang, namun saya cuba mengawal perasaan agar kebimbangan saya itu tidak menambah kerisauan yang bersarang di dalam diri Cikgu Ida. Cikgu Ida merupakan seorang guru yang sangat prihatin, apa jua masalah yang berlaku di tadika, pasti akan dibawa berbincang untuk menyelesaikannya.

“Dia buat benda-benda yang tak senonoh la kak, saya nak cerita pun rasa malu.” Cikgu Ida cuba berbahasa dengan saya, wajahnya tertunduk mungkin tidak sanggup hendak menceritakan perihal anak muridnya itu.

“Dia buat macamana Ida? Akak tak boleh nak tangkap apa yang Ida cakap ni. Demi kebaikan anak-anak di tadika kita ni, cuba Ida ceritakan apa yang berlaku sebenarnya.” Saya memujuk Cikgu Ida untuk bercerita dengan lebih jelas. Perkataan ‘tidak senonoh itu terlalu umum untuk saya terjemahkan.

“Mmm… Mmm… Dia suka cium dan pegang-pegang budak perempuan la kak…  Pelajar-pelajar perempuan selalu mengadu dengan cikgu-cikgu, saya bimbang jika perkara ini berlarutan ibu bapa akan membuat aduan, dan saya bimbang jika pelajar perempuan yang diganggu itu tidak mahu lagi ke sekolah.”

Saya mengangguk-angguk sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada aduan beliau.
“Baru-baru ini, dia bermain dengan kawan-kawan di bawah meja, kemudian tidak semena-mena dia mencium pipi seorang budak perempuan ni, pelajar-pelajar lain yang melihat kejadian ini menjerit-jerit memberitahu cikgu-cikgu manakala pelajar perempuan tadi sudah menangis, mungkin terasa malu dan tidak selesa dengan kelakuan rakannya itu tadi.”

“Bila cikgu-cikgu bertanya kenapa dia buat begitu, dia hanya terkulat-kulat memandang cikgu dan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu bercakap, cikgu –cikgu sudah menasihatinya dan berpesan kepada pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama. Namun, ia berulang lagi tengahhari tadi. Nampaknya kita perlu melakukan sesuatu untuk membendung perkara sebegini.” Panjang lebar Cikgu Ida menjelaskan kepada saya. Saya menelan air liur yang terasa pahit.

“Oh begiitu, ada apa-apa lagi kelakuan yang tidak menyenangkan?” Saya bertanya lagi

“Mmm… Dia juga selalu menyebut-nyebut perkatan “cium mulut”.. Ish akak, saya nak sebut pun malu rasanya.” Merona warna kemerahan di wajah Cikgu Ida, malu. Tersirap juga darah saya dibuatnya. Tidak menyangka anak sekecil lima tahun sudah tahu perkataan-perkataan sebegitu. Saya beristighfar berulang kali.

“Berat juga masalah ni, tapi Insya Allah masih boleh diubati dan diselesaikan. Insya Allah, sama-sama kita hadapi masalah ini dengan berhikmah dan bijaksana.”  Saya menutup perbincangan dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini secara serius.

Selepas perbincangan saya dengan Cikgu Ida hari itu, saya banyak meluangkan masa untuk melihat sendiri apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut tanpa dia menyedari dia sedang diperhati. 

Setelah beberapa waktu menyiasat perkara tersebut, terkejut saya apabila saya bertanya : “Kamu tengok siapa buat macam ni? Kamu tengok di televisyen?”

Anak kecil itu menggeleng lalu berkata: “Ibu dan ayah.” Terkedu saya sebentar lalu  beristighfar panjang.

“Kamu tidur di bilik kamu atau di bilik ibu ayah kamu?” Saya bertanya lagi

“Bilik ibu ayah.” Pendek sahaja jawapannya

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, saya tiada cara lain selain memanggil ibu bapa berkenaan untuk berbincang, dan ternyata ibu bapa itu sendiri terkejut kerana mereka membayangkan bahawa anak-anak sudah tidur sewaktu mereka ‘bersama’.

Kisah-kisah sebegini sebenarnya banyak saya dengar dari rakan taulan pengusaha tadika yang lain. Bahkan satu kisah yang lebih teruk saya dengar, seorang pelajar lelaki telah duduk di atas perut seorang pelajar perempuan ketika pelajar itu tidur kerana melihat bapanya berbuat begitu terhadap ibunya. Na’uzubillah.

Perkara sebeginilah yang perlu kita elakkan, jangan biar sudah berlaku sedemikian, baru lah kita ingin mengambil tindakan. Pada saya, bukan mudah untuk membaiki keadaan, kerana anak itu berkelakuan sedemikian diatas faktor pernah melihatnya sendiri. Malah, ia dilakukan oleh orang yang paling mereka percayai iaitu ibu bapa mereka sendiri! Bagi mereka apa yang dibuat oleh ibu bapa bukanlah perkara yang salah.

Yang lebih membimbangkan, anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh kita hapuskan sahaja maklumat yang tidak kita ingini lagi dengan menekan butang ‘delete’. Sekali ia tersimpan di dalam memori mereka, apakah caranya untuk memadamkannya?

Oleh itu wahai ibu bapa yang budiman, asingkanlah anak-anak dari bilik tidur kalian seawal mungkin, iaitu apabila anak sudah pandai meniru kata-kata dan tingkah laku kita. Walaupun ia proses yang agak sukar, namun kita mestilah serius untuk menjayakannya.

Jangan biarkan nasi menjadi bubur,  kerana kita tidak tahu mungkin anak kita tersedar dari tidur dan terlihat perkara yang tidak sepatutnya. Berjaga-jagalah dari awal lagi.

Oleh itu, bagi kita umat Islam yang meyakini bahawa Al-Quran adalah manual kehidupan yang paling lengkap dan terbaik, kita perlulah meyakini bahawa Islam amat mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dari sejak mereka mula mengenal sifat malu, dan akhlak pergaulan yang baik serta budiperketi Islam yang mulia. 

Sehingga, apabila anak mencapai usia remaja, dia akan menjadi satu contoh teladan yang mulia dalam kelakuan dan akhlaknya.

Betapa kerap berlaku sesuatu yang memalukan, apabila si anak masuk ke dalam bilik tidur, dan terserempak melihat kedua ibu bapanya sedang asyik dalam perhubungan seks. Kemudian si anak itu keluar dari situ seraya bercerita sesama teman-temannya yang kecil. Dan berapa banyak pula yang mengkhayalkan lakonan itu di dalam lintasan fikirannya ketika gambaran itu berulang di dalam otaknya

Dan betapa banyak pula anak yang menyeleweng disebabkan dari kecil telah merasa keinginan kepada seks dan telah melihat bagaimana caranya berhubungan seks serta merasa kelazatannya.

Lantaran itu, maka wajiblah atas ibu bapa dan para pendidik teguh dengan adab Al-Quran Al-Karim dalam hal mengajar anak meminta izin sejak dia mula berakal. Mudah-mudahan anak-anak akan mempunyai akhlak yang mulia, mempunyai peribadi Islam yang berbeza dengan yang lain serta menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat.

Wallahua’lam

22 December 2011

Tips mengasingkan anak tidur dari bilik ibu bapa

Memisahkan anak-anak tidur di bilik sendiri bukanlah perkara yang mudah, tetapi jika betul cara dan kaedahnya, Insya Allah urusan yang bisa memeningkan kepala ini akan berjaya ibu bapa laksanakan. Jika anda buntu, jom kita cuba tips-tips dibawah. Moga membantu dan bermanfaat!

Sepakat

Ibu dan bapa mestilah sepakat di dalam hal ini, setiap orang mesti menyampaikan mesej yang sama dengan kerap setiap hari. Berbual dengan anak tentang perkara ini setiap pagi selepas mandi, ketika makan, ketika pergi bersiar-siar, di dalam kereta, sebelum tidurkan anak-anak dan bila-bila sahaja yang dirasakan sesuai.
Ibu bapa boleh katakan kepada anak-anak :

“Seminggu lagi adik dah 3 tahun, adik dah besar, cantik dan berani, jadi adik kena tidur di bilik sendiri tau…”

“Mulai minggu depan, adik tidur di bilik adik tau, bilik ayah dan ibu ni bukan lagi bilik adik, nanti kita hiaskan bilik adik cantik-cantik ok? Adik nak cadar warna apa ye?”

Bila dia melakukan sesuatu secara berdikari seperti makan sendiri, katakan kepadanya:

“Wah! Nampaknya anak ibu dan ayah ni dah besar la… kalau adik tidur bilik sendiri lagi bagus! Bilik ibu dan ayah tak seronok, dah la tak cantik,  tak ada mainan pula tu..  katil pun sempit kalau tidur tiga orang, malam ni adik tidur di bilik adik ye?”

Pendek kata, banyakkan ayat-ayat provokasi dan menanamkan keyakinan bahawa dia sudah cukup besar dan bersedia untuk tidur di biliknya sendiri.

Jangan sesekali salah seorang dari ibu atau bapa yang berkata dihadapan anak yang terlibat seperti : “Eh tak mengapalah dia tidur dengan kita, bukankah dia masih kecil?” Kata-kata ini akan menjadi modal untuk anak-anak untuk terus tidur barsama ibu bapa dan usaha untuk memisahkan anak dari tempat tidur ibu bapa akan menjadi sedikit sukar.

Hiaskan bilik tidur

Jadikan bilik tidur anak satu tempat yang sangat istimewa untuk si kecil. Pilihlah cadar mengikut warna kesukaannya, dan hiasan-hiasan yang sepatutnya mengikut kemampuan ibu bapa.

Boleh juga diletakkan permainan yang bersesuaian, tetapi ELAKKAN daripada meletakkan televisyen kerana ia akan menyebabkan kita sukar untuk mengawal aktiviti menonton televisyen anak-anak. Dibimbangi anak-anak akan menonton televisyen sehingga larut malam sedangkan kita sudah lena dibuai mimpi.

Pada pendapat saya, tidak perlu kepada hiasan yang mahal-mahal, cukup sekadar apa yang anak suka seperti ada teddy bear atau anak patung yang digemari. Di dalam hal ini, banyakkan berbual dengan anak apa yang dia suka dan cuba hias bilik anak bersama-sama.

Jika ingin membeli keperluan bilik tidur, ajaklah anak bersama untuk memilihnya, jadi ia akan menjadi ayat penguat kepada ibu bapa untuk memujuk mereka tidur di atas katil atau cadar yang dipilihnya. Mungkin boleh dilekatkan juga bintang dan bulan yang bercahaya di dalam gelap di bilik anak-anak. Jadi anak-anak akan rasa biliknya lebih hebat dari bilik ibu dan ayah. Pendek kata, gunakan kreativiti anda sebagai ibu bapa.

Membiasakan diri anak tidur di biliknya

Bila kita dapati anak mengantuk, terus bawa dia masuk ke biliknya. Jangan tidurkan anak di bilik ibu bapa kemudian baru diangkat ke bilik mereka. Ini akan melambatkan proses untuk dia merasa selesa untuk melelapkan mata di bilik mereka sendiri. Tidak kira siang atau malam, biasakan mereka tidur di bilik mereka sendiri.

Jika mereka menolak untuk masuk ke bilik mereka, gunakan taktik seperti memancing mereka dengan permainan dan sebagainya. Jika mereka tidak mahu juga, ibu bapa masuk sahaja ke bilik anak dan baringkan diri di atas katil mereka.

Jangan sesekali masuk ke bilik ibu bapa kerana rengekan atau tangisan anak, jika mereka menangis buat tak tahu sahaja. Bila mereka masuk ke bilik mereka, peluklah mereka dan ajak mereka tidur bersama di atas katil mereka yang selesa itu.

Apa yang penting, ibu bapa perlulah tegas dalam hal ini, jangan mengalah jika anak memujuk atau menangis tidak mahu tidur di bilik mereka. Ingatlah, mereka sedang menguji ketahanan diri anda!

Temankan anak-anak tidur

Aktiviti ini sangat membantu membina keyakinan anak-anak untuk tidur di bilik sendiri. Sebelum tidur, berbuallah  dengan mereka tentang hari yang dilaluinya. Bacakan buku cerita, atau ceritakan kepada mereka cerita yang menarik, jangan pula bercerita cerita seram kepada anak-anak.

Sebaik-baiknya ceritakan kisah nabi atau kisah-kisah teladan. Mungkin juga ibu bapa boleh menceritakan cerita rekaan kepada mereka. Sebagai contoh kisah kucing yang berani tidur di bilik sendiri, kemudian kaitkan dengan diri mereka. Di dalam hal ini, ibu bapa mestilah kreatif! Walaupun cerita kita tu macam tak logik, tetapi anak-anak suka apa jua cerita yang dikisahkan oleh ibu bapa mereka.

Bacakan juga bersama mereka doa sebelum tidur dan surah-surah pendek seperti Al-Fatihah dan tiga Qul. Katakan kepadanya, walaupun ibu dan ayah tidak tidur bersama mereka, tetapi Allah dan malaikat ada untuk menjaga mereka.

Temankanlah  mereka sehingga mereka terlelap. Setelah mereka terlelap, kucuplah dahi mereka dan katakan kepada mereka sekali lagi bahawa Allah dan Malaikat sentiasa menjaga mereka.

Jika anak menangis di tengah malam, apa perlu dilakukan

Pada hari-hari awal memisahkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa, saya pasti kebiasaannya anak-anak akan menangis di tengah malam kerana rasa takut. Anak-anak mungkin akan mengetuk bilik tidur kita. Jika ini berlaku, bawa anak semula ke bilik mereka dan tidurkan mereka semula di atas katil mereka. Jangan ajak mereka tidur bersama ibu bapa pula!

Jika setelah seminggu dan anak-anak masih lagi menangis malam, apabila ibu atau bapa mendengar anak menangis, biarkan sahaja mereka menangis dalam masa sepuluh minit, jika tidak berhenti menangis juga dalam masa itu, barulah ibu atau bapa pergi menjenguk mereka (panjangkan masa menunggu ini dari masa ke masa).

Ibu bapa tidak perlu terus pergi kepada anak-anak kerana perbuatan begitu akan mengajar anak bahawa jika menangis, ibu atau ayah akan datang kepada mereka.

Insya Allah jika ibu bapa konsisten, dalam masa seminggu atau dua, anak-anak tidak lagi menangis apabila tersedar di tengah malam. Mereka akan berputus asa untuk menangis lagi kerana ia tidak akan mendapat perhatian dari ibu bapa.

Di dalam soal ini, ibu bapa mestilah kuatkan hati, demi kebaikan anak-anak kadang-kadang ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan mereka.

Fahamkan mereka kenapa dan kenapa

Jika anak sudah berumur 4 tahun ke atas, nyatakan sebab-sebab anak-anak tidak boleh lagi tidur sebilik dengan ibu bapa. Antara sebabnya ialah:

  • Bilik ibu dan ayah adalah bilik peribadi ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah ada aurat yang perlu dijaga.
  • Ajaran agama menyuruh anak-anak meminta izin daripada ibu bapa jika ingin memasuki bilik tidur ibu bapa pada masa-masa tertentu seperti selepas subuh, sewaktu tengahhari dan selepas isyak. Jadi jika anak-anak masih tidur sebilik dengan ibu bapa adalah sangat sukar untuk kita mengajar anak-anak untuk meminta izin kerana mereka akan merasakan bahawa bilik ibu bapa adalah bilik dia juga.
  •  Anak sudah meningkat usia, jadi tidak manis jika masih tidur sebilik



Berilah pujian dan penghargaan

Berilah pujian atau penghargaan sekiranya anak berjaya tidur sendiri. Jangan tunggu lama, tetapi sebaik sahaja dia bangkit dari tidur atau ketika ibu atau ayah mengejutkan anak di pagi hari, peluklah dan ucapkan tahniah atas keberaniannya malam tadi. Katakan juga kepada anak bahawa anda sangat bangga dengan keberaniannya itu.

Pujilah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang amat membanggakan anda.  Puji berulang kali, dan berikan galakan untuk dia tidur di biliknya lagi malam nanti.

Ibu bapa juga boleh memberi hadiah jika anak berjaya tidur di bilik mereka  dalam beberapa malam contohnya selama seminggu.  Ini akan menaikkan semangat mereka untuk terus tidur di bilik sendiri. Berilah pujian dan pernghargaan yang dirasakan sesuai dengan anak anda.

******

Cadangan-cadangan di atas Insya Allah akan berkesan jika ibu bapa konsisten melaksanakannya. Namun begitu, ia tidak sama jangka waktu antara anak-anak. Mungkin ada yang hanya mengambil masa seminggu, mungkin juga mengambil masa berbulan-bulan, apa yang penting ialah ibu bapa mestilah meletakkan peraturan di dalam rumahtangga dan anak-anak perlu mematuhinya.

Gunakanlah seluruh kebijaksanaan kita di dalam mendidik anak-anak dan mengasingkan anak-anak dari tempat tidur ibu bapa merupakan salah satu dari pendidikan seks di dalam Islam. Kita perlu memandang perkara ini sebagai satu perkara yang penting. (Untuk mengetahui dengan lanjut berkenaannya, nantikan artikel akan datang, Insya Allah)

Mudah-mudahan ibu bapa berjaya dan mohonlah kepada Allah agar dimudahkan dalam urusan ini. MOGA BERJAYA!

Wallahua’lam


20 December 2011

Maniskanlah bicaramu wahai ibu...

Pagi tadi sementara saya menyiapkan lempeng pisang buat sarapan seisi keluarga, saya mendengar radio ikim.fm melalui telefon. Tinggal di perantauan sebegini, saya rindukan kuliah-kuliah agama di masjid buat membasahkan hati yang mudah sahaja gersang andai tidak disiram dengan baja-baja keimanan dari lidah para ulama.

Sejak saya di sini, radio ikim.fm menjadi peneman setia saya saban hari terutamanya ketika saya memasak. Daripada membiarkan fikiran melayang ke arah yang kurang memberi manfaat, lebih baiklah saya mendengar radio yang banyak memberi input berguna sebagai bekalan di dalam perjalanan hidup yang bakal menemui Tuhan pada masa dan tempat yang telah ditentukan.

Pagi ini, saya mendengar sebuah program soal jawab antara seorang ulama besar yang tinggal di Madinah (kalau tak salah saya) dengan para pendengar ikim.fm. Ulama tersebut bercakap di dalam bahasa arab, namun ada seorang ustaz yang akan menterjemahkan percakapannya ke dalam bahasa melayu.

Pertama kali saya mendengar rancangan ini kerana kebiasaannya saya akan ke pasar Gepps Cross setiap ahad, tetapi melihat cuaca yang mendung hari ini saya membatalkan niat saya itu. Rupa-rupanya Allah ingin memberi ilmu yang lebih bernilai buat saya pada hari ini, alhamdulillah.

Pada permulaannya, ustaz tersebut tersebut telah membaca sebuah doa yang sangat panjang. Beliau mengatakan bahawa umat islam sekarang sangat leka untuk berdoa sedangkan doa adalah senjata yang paling ampuh buat seorang muslim. Ada benarnya kata ustaz tersebut kerana jika kita muhasabah diri kita, dalam sehari semalam berapa minitkah yang kita peruntukan untuk memohon doa daripada Allah s.w.t? 

Seringkali selepas solat, kita akan berdoa dengan tergesa-gesa sekadar melepaskan batok di tangga. Bahkan seringkali sebaik sahaja memberi salam kita terus bangun menyambung tugas-tugas duaniawi kita seolah-olah segala urusan tersebut hanya bergantung kepada usaha dan kudrat kita untuk menjayakannya.

Kemudian, ustaz tersebut telah bercerita. Pada suatu hari, datang kepadanya seorang hamba Allah dan mengkhabarkan kepadanya perihal seorang wanita yang sedang sakit teruk, lalu diajak ulama tersebut untuk menziarahi wanita malang ini. Tanpa banyak soal, ulama itu pun pergilah menziarahi wanita itu bersama dengan seorang tabib yang dijemput juga oleh hamba Allah tadi. 

Sampai di rumah wanita itu, dilihat wanita tersebut berada di dalam keadaan yang bagaikan mayat hidup. Setelah diperiksa oleh tabib yang datang bersama mereka, tabib berkenaan mengatakan bahawa wanita itu telah diserang angin ahmar.

Kemudian lelaki itu bertanya pula dengan ulama itu : "Wahai ustaz, kenapakah wanita itu menjadi sebegini rupa?"

 Ulama tersebut tidak terus menjawab, tetapi meminta untuk berjumpa dengan ibu kepada wanita yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat itu.

 Ketika bertemu dengan ibu kepada wanita itu,  Ibu wanita itu yang sudah lanjut usia bertanya kepada ulama tersebut "Wahai Ustaz, saya ingin bertanya kepada tuan, kenapakah anak perempuan saya itu menerima nasib sedemikian rupa?

"Wahai ibu, pernahkah engkau memarahi anakmu dengan mengatakan bahawa dia akan ditimpa celaka dan kecacatan?" Ulama tersebut bertanya kepada ibu tua itu.

Ibu tua itu hanya mendiamkan diri lalu menundukkan wajahnya. Hampir sahaja airmatanya tumpah.

"Wahai ibu, anak perempuanmu itu menjadi begitu kerana kata-kata dari lidahmu, mungkin engkau tidak meniatkan supaya anakmu menjadi sebegitu, tetapi Allah telah menentukan bahawa kata-katamu itu dimakbulkan." Jelas ulama itu 

 Ibu itu terduduk hiba apabila mendengar penjelasan ulama itu, dia memandang ulama itu lalu bertanya "bagaimanakah tuan mengetahui tentang perkara ini sedangkan inilah kali pertama kita bertemu?" 

"sesungguhnya ia adalah ajaran yang telah diajar oleh guru-guru kami dari lidah Rasulullah s.a.w, bahawa kata-kata ibu itu adalah doa walaupun perkataan-perkataan itu adalah perkataan yang tidak baik." kata ulama itu lagi

Mendengar kata-kata ulama itu, ibu tua tidak mampu lagi berbicara. Hanya penyesalan sahaja yang lahir di lubuk hatinya. 

Saya termenung sebentar mendengar kisah tersebut. Bukan tidak pernah mendengar cerita begitu, tetapi saya merenung kembali perkataan yang bagaimanakah yang selalu saya sebut terhadap anak-anak tatkala saya kemarahan. Bimbang juga andai terkeluar dari bibir ini perkataan yang tidak baik. Na'uzubillah...

Oleh itu, wahai para ibu, maniskanlah bicaramu terhadap anak-anakmu. Usah berkata sebarangan walaupun ketika anakmu tidak mahu mendengar kata- katamu atau membantah suruhan-suruhan mu.

Andai kita marah, cubalah kita elakkan dari menyebut perkataan seperti

"degil betullah engkau ni!"
"budak pemalas!"
"bodoh!"
"Ish! Tak dengar kata sungguh la!"

Atau apa jua perkataan yang kurang baik. Dibimbangi kata-kata kita ketika itu dmakbulkan oleh Allah. Andai kita sedang kemarahan, cubalah tekan butang "pause" dalam diri kita agar apa yang terkeluar dari lidah kita hanya yang baik-baik sahaja. Jika tidak tahan juga melihat karenah anak-anak, jauhkanlah diri kita daripada mereka dan banyakkanlah istighfar. Apabila sudah tenang,kembalilah kepada anak- anak dan nasihatilah mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Kata- kata itu doa, maka gunakanlah ia sebaiknya. Maniskanlah bicaramu dengan semanis-manis bahasa, agar yang indah dan manis juga yang akan menghiasi diri dan hidup keluargamu kini dan selamanya... 

Sungguh menjadi ibu bapa yang soleh dan solehah memerlukan mujahadah yang besar dalam menjaga perkataan dan perbuatan. Ibu bapa adalah cerminan bagi anak-anak, andai baik tingkahlaku dan kata-kata kita, insya Allah akan baik jugalah akhlak dan budi pekerti anak-anak dan begitulah sebaliknya...

13 December 2011

Tidak semudah 1,2,3!

"Humaira! dah solat zohor?"
"Humaira! Cepat salin pakaian!"
"Humaira! Jom makan!"

Begitulah jeritan saya saban hari setelah dia pulang dari sekolah. Itu cerita waktu tengahhari, waktu pagi makin banyaklah jeritan saya dari dapur yang sibuk menyiapkan sarapan.

Penat menjerit saya pergi menjenguk Humaira di dalam bilik. Aduhai, kadang-kadang naik angin juga jadinya kerana setiap hari saya terpaksa jeritkan perkara yang sama, meminta dia menyiapkan diri untuk ke sekolah dan menyelesaikan beberapa perkara setelah pulang dari sekolah.

Humaira sudah mencecah usia tujuh tahun pada tahun hadapan, sudah masanya kami mendisiplinkan dia dalam kebanyakkan urusan kehidupannya. Semua ini saya ambil dari pesanan Saidina Ali bahawa tujuh tahun kedua adalah masa untuk mendisiplinkan anak-anak.

Setiap waktu saya berfikir-fikir apakah cara terbaik mendisiplinkan anak-anak, selalu juga berbincang dengan suami saya. Setelah beberapa waktu saya amalkan kaedah suruhan demi suruhan, nampaknya hasilnya agak mengecewakan. Sampai bila saya perlu menyuruh dia melakukan satu persatu perkara dalam mengurus kehidupannya?

"Abang, macammana kita nak disiplinkan Humaira ya? dia dah semakin besar tapi saya nampak tak ada disiplin langsung. Balik dari sekolah terus menghadap televisyen. Makan ikut suka hati dia. Solat pun belum istiqamah lagi tu." Saya memulakan bicara ketika kami sama-sama minum petang dengan kuih  lapis dan teh tarik kegemaran suami.

"Abang rasa mesti ada caranya sebab jika di sekolah, dia boleh sahaja ikut peraturan, abang tengok bila sampai di kelas dia akan letak beg di rak, kemudian ambil kerusi dan kemudian duduk di tempat yang dikhaskan untuknya, kalau di sekolah dia boleh berdisiplin di rumah pun pasti boleh." suami saya memberi respon  dengan bercerita tentang kelakuan Humaira di sekolah.

Dia lebih tahu keadaannya kerana biasanya dia yang menghantar Humaira ke sekolah andai terlepas bas. Saya akan hanya menunggu di dalam kereta atau hanya duduk di rumah.

"Tapi macammana ya caranya? Mmm..." saya bertanya sambil mengerutkan dahi, kemudian termenung sebentar. otak saya ligat mengimbas kembali bagaimana caranya saya mendisiplinkan pelajar-pelajar tadika.

"Abang ada idea tak nak buat macammana?" Saya bertanya lagi apabila tidak ketemu jawapan daripada gambaran-gambaran ditadika. sedangkan suami saya masih membatu melihat saya.

"Nanti kita sama-sama fikirkan, yang penting sekarang ni abang nak minum teh tarik dulu, boleh tolong tuangkan airnya sayang?" Suami saya membalas sambil mulutnya dimuncungkan ke arah jag yang masih ditangan. Sejak tadi menanti teh tarik yang tak sampai-sampai.

"Eh lupa la pulak! Hehe..." saya tersengih-sengih bagai kerang busuk, lalu terus menuang air ke cawan yang tersedia dan menghidangkannya bersama kuih lapis yang baru saya buat pagi tadi.

Beberapa hari selepas perbincangan itu, saya masih seperti biasa, menjerit dari dapur memberi arahan demi arahan kepada Humaira. Andai terasa jemu, saya diamkan sahaja.

Susah juga nak disiplinkan anak sendiri rupanya, jika di Tadika, dengan pelajar dua puluh lima orang di dalam sebuah kelas tiada pula terasa bermasalah. Ada waktunya saya mengeluh, ada kalanya saya bertukar menjadi dinasor yang merah matanya menahan amarah kerana arahan yang diambil sambil lewa.

Puas bersabar saya leterkan juga Humaira, tetapi biasalah anak-anak, leteran ibu bagaikan air menderu, entah masuk ke telinga entahkan tidak.

Namun situasi ini berubah satu hari. Hari itu suami saya berada di rumah ketika Humaira sampai dari sekolah.

"baiklah Humaira', masuk rumah terus buat nombor satu, dua dan tiga ya." Suami saya berkata kepada humaira sebaik sahaja dia masuk dan menyalami ayahnya.

"Okay!" Jawab Humaira dengan selamba. Saya yang tak tahu hujung pangkal hairan juga mendengar arahan sebegitu.

" Satu,dua, tiga? apa benda la pula ayah ni?" saya tertanya-tanya di dalam hati.

Beberapa ketika kemudian, Humaira menjengah ke dapur untuk makan tengahhari, baju sudah bertukar dan bila ditanya tentang solat, sudah katanya.

"Haih jampi apa la yang ayah dia hembus ni? Tak pernah-pernah budak  ni datang sendiri ke dapur selagi ibu tak panggil. satu perkembangan yang menarik!" detik hati saya. Saya diam sahaja sambil mencedok nasi ke dalam pinggan dan hidangkan ayam masak kicap kepada Humaira. Saya dan suami sudah makan lebih awal kerana Humaira pulang dari sekolah agak lewat sekitar jam tiga setengah petang.

Saya tidak terus bertanya dengan suami tentang arahan satu dua tiganya itu, namun saya terus memerhati keletah mereka anak beranak. Setiap kali pulang dari kerja pasti si ayah akan bertanya anak sulungnya itu sama ada sudah buat satu dua tiga atau belum. andai dibuat, Humaira akan menjawab dengan penuh yakin. Tetapi jika tidak terlaksana, mulalah dia akan tersengih-sengih sambil cuba menukar topik perbualan.

"Ibu, lepas ni, ibu pastikan Humaira buat nombor satu,dua dan tiga lepas balik sekolah ya!" suami saya bersuara selepas bersembang dengan Humaira satu petang. Saya hanya terkedip-kedip, walaupun saya dapat mengagak tentang arahannya itu tapi saya belum benar-benar pasti tentangnya.

"Humaira, cuba Humaira bagitahu ibu, apa dia nombor satu, apa dia nombor dua dan apa dia nombor tiga yang ayah suruh humaira buat lepas balik sekolah." Suami saya mengalihkan pandangan kepada Humaira yang masih di atas ribanya.

"Laaa ibu tak tahu ke?" tanya Humaira kepada saya

"Dah tak ada siapa nak bagitahu ibu, macammana la ibu nak tahu?" Jawab saya dalam nada seolah merajuk.

"Hah cepatlah bagitahu ibu, apa dia satu dua tiga tu?" Saya berkata lagi sambil mengangkat kening

"Nombor satu tu solat zohor, nombor dua tukar baju,  nombor tiga pula pergi makan. Itulah no satu, dua dan tiga kan ayah?" Jelas humaira, kemudian meminta pengesahan dari ayahnya.

"oh macam tu.. jadi balik sahaja dari sekolah, Humaira kena solat zohor dulu, lepas tu tukar baju, lepas tu makan la ya?" saya cuba mengulang agar tidak tersalah.

"Haaa betul! Betul!" Humaira membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

"no empat apa?" sengaja saya tanya menguji

"Nombor empat tengok Toy Box la!" Humaira berkata sambil melompat dari riba ayahnya dan terus meluru ke arah adiknya yang baru bangun dari tidur.

Semenjak hari itu, saya tidak lagi perlu memberi arahan demi arahan, cukup dengan mengingatkan dia tentang nombor satu, dua dan tiga dan alhamdulillah kaedah itu sangat berkesan dan mudah dilaksanakan oleh Humaira.

Apabila dia sudah selesa dengan rutin waktu pulang dari sekolah, suami saya melakukan perkara yang sama untuk urusan di waktu pagi. Nombor satu masuk bilik air, nombor dua mandi, nombor tiga pakai uniform sekolah, nombor empat solat subuh (walaupun sudah jam 7.30 pagi), dan nombor lima sarapan.

Kami juga meminta Hamaira menulis sendiri aturan tersebut dan melekatkannya di peti sejuk agar dia lebih ingat. Walaupun kadang-kadang saya dan suami terpaksa mengingatkannya tentang rutin itu, tetapi cukup dengan menyebut nombor, dia sudah tahu apa yang sepatutnya dibuat. Tidaklah sesempurna mana, tetapi sudah banyak perubahan pada Humaira yang dapat saya lihat. Alhamdulillah.

Urusan mendisiplinkan anak-anak bagi saya bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi jika kena dengan gaya dan caranya, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan pening ibu dan ayah di dalam menangani karenah anak-anak.

Ibu bapa juga tidak boleh mengharapkan anak- anak berubah sekelip mata. Ia perlukan masa untuk anak-anak membiasakan diri dengan peraturan kehidupan. Kita hanya perlu mengaturnya dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Sesungguhnya mendidik anak-anak perlukan kepada kreativiti yang tinggi. Mungkin juga perlu dicuba dengan berbagai-bagai cara. Sama-samalah kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan idea dalam membentuk diri anak-anak menjadi anak yang soleh dan musleh.

Yang pasti, ia tidak semudah 1,2,3!

Wallahua'lam

12 December 2011

Iphone oh iphone...


Masak dalca dengan ibu, sengaja sediakan bekas-bekas ni supaya si kecil ada kerja... Kalau bersepah sikit-sikit sabar saja la...


Mewarna bersama anak-anak, mereka mesti suka bila ada sentuhan ibu atau bapa...


Tidak sedikit masa yang terpaksa diluangkan untuk membina istana ini bersama... Mudah-mudahan masa itu dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t.


"Nak iphone.. nak iphone... uwwwaaaa..." Khadijah menangis sekuat hati untuk memancing simpati saya agar memberinya semula iphone yang telah saya ambil dari tangannya setelah hampir setengah jam menonton cerita kanak-kanak Islam melalui saluran you tube.

Jika diikutkan telinga yang bingit mendengar jeritan dan tangisan-tangisannya, mahu sahaja saya hulurkan semula iphone tersebut kepada anak kecil itu. Namun saya tidak harus tewas dengan 'lakonannya' itu.

"Adik, jom kita baca buku nak? Mana buku beruang adik yang makan ais krim tu?" Saya mula memasang umpan agar perhatiannya tidak lagi kepada skrin kecil itu. Umpan saya itu malangnya tidak dihiraukan, dia masih menyambung nyanyian yang agak menyesakkan telinga. Saya buat-buat tak dengar.

Di saat, suami pergi ke universiti, dan Humaira pergi sekolah, saya merasakan waktu berlalu begitu perlahan. Tiada siapa yang dapat melayani karenah si kecil yang kebosanan berseorangan di rumah, sedangkan saya perlu melangsaikan urusan-urusan rumahtangga yang tidak pernah habis. Memang mudah jika diberikan sahaja iphone agar Khadijah ralit di atas sofa dan saya boleh memasak, membasuh dan melipat pakaian, mengemas rumah dan sebagainya dengan mudah dan tenang. Walau bagaimanapun, jika difikir kesan jangka panjang terhadap psikologi anak-anak, saya terpaksa menimbang kembali penyelesaian mudah tersebut.

Iphone saya simpan di tempat yang tidak dapat dilihat dan dicapai Khadijah, lalu saya menarik tangannya ke bilik permainan. Khadijah masih menangis sambil menyebut-nyebut iphone. Namun tangisannya semakin perlahan, mungkin mula menyedari bahawa tangisan itu langsung tidak memberi manfaat kepadanya.

Saya mencapai buku, dan saya unjukkan kepada khadijah : "Adik, tengok kucing ni, dia main di playground la..."

"Tak naaaakk... Tak naaaak.. Nak iphone" Khadijah masih menangis. Tegar sungguh ingatannya terhadap iphone.

"Adik! Meow ni naik buaian la kat playground! Wah! seronoknya dia naik buaian tu... Lajuuuuuu...wuuuu.. wuuu... macam adik naik buaian kat playground kan? Petang ni kita pergi playground nak tak?" saya cuba lagi  menarik perhatiannya dengan buku yang penuh warna warni itu. Dengan suara yang agak kuat akhirnya khadijah teruja juga lalu terus mencurahkan perhatiannya kepada buku tersebut. Saya terus bercerita, dan dia bertindak balas. Di dalam hati, saya berhamdalah kerana usaha saya untuk mengalih perhatiannya daripada telefon pintar itu berjaya.

Selepas satu buku, diambil pula buku lain. Bila sudah bosan dengan buku, kami bermain bersama dengan berbagai permainan yang ada. Bosan dengan mainan, saya meniup belon lalu saya baling dan dia menangkapnya. Kemudian saya berikan dia buku dan pensil warna, mewarna bersama, menekap tangan dan kaki di atas helaian-helaian kertas, dan macam-macam aktiviti yang kami lakukan bersama.

Dibenak saya masih tersusun kerja-kerja rumah yang belum selesai. Melihat dia leka, sekejap-sekejap saya lari pergi masukkan baju ke dalam mesin, sekejap-sekejap saya mengemas rumah, bila dia memanggil ibu, saya akan menjenguknya kembali, bila dia terleka saya berkejar pula membuat apa yang patut. Penat! namun saya puas melihat dia bereksplorasi dengan persekitaran, tidaklah duduk atau baring menghadap skrin kecil yang begitu mengasyikkan.

Saya pasti bukan saya sahaja yang mengalami masalah seperti itu bersama anak-anak. Melayani karenah anak-anak teknologi, menyebabkan ibu bapa perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dalam menangani gejala ketagihan dikalangan anak-anak. Kadang-kadang memang buntu dibuatnya, tetapi janganlah kita menyerah kalah dengan mereka. Andai kita menyerah, pasti mereka mentertawakan kita, usah menampakkan kita mudah di'tawan' oleh tangisan dan amukan kita.

Tidak salah mengenalkan mereka dengan teknologi canggih, tetapi ia perlu dikawal masa penggunaan dan apa yang ditonton mereka melalui komputer atau telefon pintar yang amat-amat 'user friendly' tersebut. Pelbagai video boleh dicapai dihujung jari, jika tidak dipantau, mungkin anak-anak akan menonton perkara-perkara yang tidak baik yang boleh merosakkan akhlak dan aqidah mereka.

Pernah suatu hari, ketika saya melihat semula apa yang sedang ditonton oleh khadijah, rupa-rupanya dia sedang melihat kartun berkenaan dengan jesus sedangkan pada awalnya saya buka lagu-lagu kanak-kanak untuknya. Berderau darah saya, dan mulai hari itu, saya akan pastikan saya sentiasa melihat dan memantau dalam jangka masa yang sangat pendek.

Ibu bapa juga mestilah menghadkan masa penggunaan komputer atau telefon pintar oleh anak-anak. Jangan lebih dari dua jam sehari. Berikan syarat-syarat penggunaan dan kita mestilah bersama-sama melaksanakan syarat-syarat tersebut. Fahamkan anak-anak tentang tentang kebaikan dan keburukannya, supaya mereka akan lebih patuh. Ia sesuatu yang tidak mudah, tetapi setelah anak-anak memahami akan ketegasan kita, insya Allah anak-anak tidak akan buat perangai tatkala kita mengambil atau menutup aplikasi-aplikasi yang digemari mereka.

Di samping itu, sediakanlah aktiviti-aktivit alternatif kepada anak-anak. Mungkin aktiviti ini memerlukan kita untuk menyertainya, tetapi sama-samalah kita meluangkan masa dengan anak-anak demi kebaikan mereka dunia dan akhirat. Membaca dan bermainlah bersama mereka. Pergilah berekreasi dan beriadah di taman-taman sekitar perumahan kita. Mungkin di kala itu kita sudah keletihan lantaran baru pulang dari kerja, namun masa-masa itulah yang amat dinanti-nanti oleh anak-anak untuk bersama kita. Korbankanlah sedikit kerehatan kita sewaktu anak-anak masih kecil, mudah-mudahan mereka akan melapangkan masa sibuk mereka nanti sewaktu kita sudah lanjut usia.

Pendidikan anak-anak zaman sekarang memang sangat mencabar. Jika kita tidak menyahut cabaran modernisasi ini, dibimbangi aqidah dan jati diri anak-anak pula yang akan tercabar. Sama-sama kita berusaha dan berdoa kepada Allah agar anak-anak kita sentiasa dilindungi di dalam rahmat dan hidayah Allah.. Amin Ya Rabbal Alamin