05 March 2015

Setiap Kebaikan adalah Sedekah

kisah seorang ibu dan anak serta sebuah hadith'
======================================
K: ibu, hari ni kak ngah dapat hafal satu hadith baru!
Ibu: Iye? Alhamdulillah.. Cuba baca ibu nak dengar.
K: Kullu ma'rufin sodaqah, setiap kebaikan itu adalah sedekah.
Ibu: Masya Allah, hebat anak ibu dapat hafal hadith baru.
K: tapi.. kak ngah nak duit, kak ngah nak sedekah, boleh?
Ibu: Sedekah bukan sekadar dengan duit kak ngah.. apa jua kebaikan yang kak Ngah buat semua dikira sebagai sedekah
Kak Long: haaaa kalau nak sedekah, senyum la banyak-banyak! Macam kakak smile emoticon
*****
K : Ibu! kak long ambil sikat kak ngah! tadi, kak ngah yang pegang dulu. huh!
Ibu: Kak ngah, kalau kita bagi orang lain dulu sikat rambut dia, baik atau tidak?
K: mestilah baik.
Ibu: Jadi, kalau kak ngah bagi kak long sikat dulu rambut dia, baik tak?
K: Mmmm baik laaa... (muka tak puas hati)
Ibu: haaa maknanya, kak ngah dah sedekah la.. macam mana hadith yang kak ngah hafal tadi? Kullu ma'rufin...?
K: Kullu makrufin sodaqah! setiap kebaikan itu sedekah! (dengan wajah yang sangat ceria dan gembira. senyuman meleret2)
Ibu: betul tu! high five! Hoyeah!!!

15 January 2015

Remaja, K-Pop dan ibu bapa


K-Pop, kehadirannya sekitar 10-15 tahun yang lalu kini sudah menjadi barah dalam masyarakat. Dimulai dengan drama cinta yang dibintangi oleh pelakon-pelakon kacak ala baby face yang telah menjadi kegilaan anak muda zaman kini. Ditambah dengan adegan romantis yang melampau menyebabkan kegilaan mereka semakin menjadi-jadi.

Kesan kegilaan ini dapat dilihat daripada gambar latar di computer riba anak-anak kita, gambar profail telefon anak-anak remaja, butir perbicaraan yang berkisarkan watak-watak drama korea yang menghanyutkan jiwa dan raga.

Apabila tersebar gambar anak muda muslim dipeluk dan dicium oleh artis K-Pop baru-baru ini, serta merta kita terkejut separuh mati. Terasa bahawa betapa anak muda kita sudah jauh tersasar dari landasan agama, betapa murah harga diri.

Ada yang menyalahkan kerajaan, ada yang menyalahkan artis K-Pop, ada yang menyalahkan penganjur, ada yang menyalahkan ibu bapa, ada juga yang menyalahkan remaja itu sendiri. Namun, bagi saya semua kita mempunyai saham lantaran terjadinya perkara yang memalukan itu.

Seharusnya pengaruh K-Pop ini dihalang dari memasuki Negara, anak-anak dididik dengan agama kerana mencegah lebih baik dari mengubatinya.

Saya tidak ingin mengulas tentang tanggungjawab pemerintah dalam mencegah penularan budaya kuning ini, tetapi di sini saya ingin berkongsi tentang peranan ibubapa dalam menyekat kegilaan ini dari menular dalam diri anak remaja kita.

Di dalam Islam, pencegahan adalah cara yang dituntut dalam mengurus apa jua isu.

Dari mata jatuh ke hati

Maka perkara pertama yang mesti dijaga ialah mata. Anak-anak mestilah dijaga pandangannya daripada melihat sesuatu yang boleh merangsang naluri seks dan mengganggu naluri mereka.

Anak kita adalah apa yang mereka tonton. Oleh itu, sebagai ibubapa kita mestilah mengawasi apa yang ditonton oleh anak-anak. Drama cinta sama ada drama korea atau melayu yang hanyut dengan cinta berlandaskan nafsu, melanggar syariat dengan pergaulan yang tiada had haruslah disekat daripada menjadi tontonan rutin anak-anak.

Mungkin ada sebahagian kita yang mengatakan bahawa ia hanyalah lakonan, tetapi tanpa sedar kefahaman atau budaya yang dipertontonkan akan menjadi satu kepercayaan kepada anak-anak. Saban hari, kepercayaan itulah yang akan memandu perlakuan anak-anak kita.

Kisah-kisah yang ditunjukkan di dalam drama itu semuanya menarik fitnah kepada penonton. Jika kita selidiki, drama atau filem sebegitu adalah satu cara menunjukkan kelakuan sumbang, dan sebagai lapangan untuk bercumbu-cumbuan dan berkelakuan murah. Bahkan yang lebih mengerikan, ia menjadi saluran untuk mempamerkan adegan lucah dan tidak bermoral, apabila diselang selikan dengan kesudahan yang membahagiakan maka anak remaja kita terpedaya bahawa jika ingin bahagia itu sajalah caranya.

Selain daripada drama dan filem, apa yang mesti kita kawal ialah majalah atau buku yang dibaca oleh anak-anak. Sebelum membenarkan anak-anak membaca apa-apa majalah atau novel, selidikilah dahulu isi kandungannya. Ada atau tidak gambar-gambar menjolok mata, ada atau tidak adegan-adegan lucah yang boleh merangsang naluri seks mereka. Jika ada, jauhi segera. Sekali sekala, tengok juga apa yang ada di dalam beg sekolah mereka, lagu-lagu yang mereka dengar. Pendek kata, semua deria mereka mesti kita jaga sebelum ia diresapi racun-racun dosa.

Disamping itu, ajarilah mereka adab sebagai seorang muslim. Adab meminta izin, adab berpakaian di dalam dan di luar rumah, adab bergaul dan adab-adab yang boleh menjaga maruah kita dan anak-anak kita.

Kontang kasih sayang

Kasih sayang yang tidak dipupuk di dalam keluarga menyebabkan anak remaja mencari kasih sayang di luar rumah. Keringnya hubungan antara sesama ahli keluarga menyebabkan anak-anak rasa lebih disayangi apabila bersama orang lain.

Oleh itu, banyakkanlah memuji anak supaya anak tidak mudah termakan pujian lelaki buas di luar sana. Banyakkanlah memeluk anak-anak supaya mereka tidak lagi mendambakan pelukan orang lain di luar lingkungan keluarga.

Dengarkanlah luahan hati mereka dengan penuh prihatin supaya mereka rasa dihargai dan mempunyai tempat mendapatkan pandangan agar tidaklah mereka mencari sokongan dan mendapat nasihat daripada orang yang salah disekeliling mereka.

Isu K-Pop yang timbul mungkin peringatan kepada kita betapa kita sudah lama mengabaikan pendidikan agama di dalam jiwa anak-anak kita. Mungkin juga kerana kosongnya jiwa anak-anak lantaran ibubapa yang terlalu sibuk bekerja.

Berhentilah menuding jari ke sana dan ke sini. Renunglah diri, sudahkah kita bekerja untuk membina kembali jati diri anak muda kita pada hari ini.

Berhentilah dari maki dan caci saban hari, gerakkanlah diri untuk menyebarkan cinta kepada Allah Rabbul Izzati.

Apa yang berlaku memang terlalu pedih untuk kita tatapi, tetapi inilah masanya Allah mahu mengetuk hati kita supaya menyedari bahawa hidup ini adalah satu pertembungan antara yang hak dan batil yang perlu kita harungi. Mudah-mudahan anak-anak muslim kita akan menjadi pejuang agama sebagaimana sahabiah yang tinggi budi pekerti dan berakhlak suci.


Ya Allah peliharalah anak-anak kami dari apa jua fitnah yang keji…

02 November 2014

hormatilah gurumu

hari ini, sy menjemput humaira dari sekolah agak lewat. terleka membuat kerja, tidak perasan masa berlalu begitu pantas..
sampai di sekolah, kelihatan wajah yang agak murung. Hati saya tertanya2 kerana sebelum ini belum pernah wajahnya sebegitu.
"Sorry kakak, ibu sibuk buat kerja tadi, tgk jam dah pukul 2.30, terus ibu angkat adik2 masuk kereta n pecut ambil kakak.." saya memulakan bicara sebaik sahaja dia membuka pintu kereta
"oh patutlah lambat.." dia berkata dengan mata yg sedikit berkaca
"Kenapa nampak sedih je hari ni.. Ada apa2 yang berlaku?" saya bertanya lagi. Ragu.
"Kakak kena rotan hari ni.. sakit sangat, merah tangan kakak ni." dia menjelaskan sambil menunjukkan tapak tangannya yang kemerahan. saya memegang tanggannya dan mengusap-usap kesan merah tersebut. saya tidak mahu menunjukkan emosi kurang senang keran tidak mahu dia bersyakwasangka buruk kepada gurunya itu..
"Allah.. kenapa sampai kena rotan ni?" saya bertanya minta penjelasan
"kakak terlupa bawa telekung la ibu... pastu cikgu rotan la kakak. cikgu rotan dengan pembaris panjang tu." Dia memberi tahu dengan wajah yang begitu sedih
"Mmm x mengapalah, kakak sabar ye, lain kali kena ingat untuk bawa telekung. Mungkin boleh sediakan telekung dalam kereta, jadi mudahlah pagi-pagi tak perlu mencari-cari." saya memberi solusi, walaupun di dalam hati kurang setuju dengan tindakan merotan tersebut tetapi saya tidak mahu membela dia, bimbang dia tidak menghormati gurunya tadi.
"Kenapa cikgu mesti rotan kakak ye ibu? Kakak dah tutup aurat, kakak pakai tudung, pakai baju labuh dan dah pakai stokin. Bukankah boleh solat walaupun tiada telekung?" Dia bertanya penuh tulus. Saya berfikir2 bagaimana mahu menjawab supaya dia tidak memandang buruk perbuatan guru yang merotannya.
Walaupun hujjah yang diberikan itu benar, namun saya tetap mahu dia menghormati gurunya itu. Mmm
"Memang betul kakak dah tutup aurat dan memang kita boleh solat tanpa telekung. Cuma, mungkin ada pelajar2 yang tidak menutup aurat dengan sempurna, maka cikgu kakak mahu semua orang betul-betul menutup auratnya ketika solat.. Jadi diwajibkanlah semua pelajar untuk bawa telekung. Kalau tak jenuhlah cikgu nak periksa satu-satu pakaian pelajar sama ada tutup aurat dengan sempurna atau tidak."
"Tidak mengapalah, hari ni kakak kena rotan, esok dan seterusnya kakak perlu disiplin bawa telekung setiap hari okay!" saya memujuknya lagi. Biarlah dia dirotan supaya lebih berdisiplin. Mudah-mudahan selepas ini dia ingat.
"Okay.. tapi sakit la ibu, walaupun dah kena lama tapi tetap sakit lagi.." dia mengadu lagi..
"Insya Allah sekejap lagi hilanglah sakitnya tu.. sabar ye!" saya mengusap2 kepalanya dan terus bergerak pulang ke rumah..
Jika anak-anak mengadu perihal sekolah, dengarlah dengan teliti dan penuh minat. Jika mereka mengadu tentang guru-guru, ibubapa seharusnya sedaya upaya menjaga kehormatan guru selagi ia tidak membahayakan anak-anak.
Saya masih ingat pesanan orang tua, keberkatan ilmu ada pada guru-guru, jadi belajarlah menghormati para guru. Berbuat baiklah kepada guru anak-anak kita jika kita mahukan kejayaan anak-anak..
Walaupun kita kasihankan anak-anak kita, jangan sekali-kali memburuk-burukkan guru mereka kerana tindakan itu akan mengundang rasa tidak hormat anak-anak kepada mereka..
bagi para guru pula, mungkin boleh mengambil tindakan yang lebih baik selain dari merotan. Insya Allah masih ada banyak cara untuk mendisiplinkan pelajar..

KIta pasti akan merinduinya


Dulu, tatkala saya keletihan mengurus anak2 yang berbagai-bagai karenah.
ketika saya membebel melihat rumah yang baru dikemas bersepah semula dek penangan keaktifan anak2
lalu saya meluah rasa kepada suami ketika kami duduk bersantai2 minum petang, bukan saya mahu mengeluh kerana keletihan seharian melayani anak-anak tetapi sekadar berkongsi rasa agar penat yang ditanggung hilang dibawa angin lalu.
"Abang, penat betul hari ni dengan budak-budak.. Macam2 ragam, rumah baru je vacum, belum sampai 5 minit dah berterabur dengan biskut.."
"Abang, adoi tak larat la nak kemas rumah, baru je susun buku, budak-budak ni dah sepahkan semula.."
"Abang, sakit kepala bila dengar budak-budak ni bergaduh sesama mereka, bila ditegur sekejap sahaja senyap, lepas tu bergaduh lagi.. kadang-kadang bukan ada apa pun, saja cari gaduh.."
begitulah bebelan saya ketika saya betul-betul penat.. Suami mendengar dengan wajah penuh simpati, cuba memahami apa yang saya lalui saban hari.
"sabarlah yang, sekejap saja, nanti anak-anak besar, mesti kita akan rindukan keletah mereka.."
"Bila mereka dah besar, dah tiada kedengaran jerit pekik mereka, bila mereka sudah dewasa, dah tiada yang nak tumpahkan air dan sebagainya.. kita pasti rindukan suasana sekarang ni, walaupun penat tapi ia tak mungkin akan berulang kembali. walaupun letih namun ia adalah kenangan manis.."
"Sabarkan saja, kita sedang mengumpul pahala.."
"NIKMATI sahaja saat-saat indah ini.. bersyukur sebanyaknya, kerana ada di luar sana yang belum diberi nikmat punya anak, sedangkan kita Allah berikan kita anak2 yang aktif dan sihat.."
"Anak-anak sepahkan buku, bermakna mereka mahu membaca buku. Anak2 tumpahkan air kerana mereka sedang belajar menuang air, anak-anak taburkan biskut bermakna mereka masih berselera untuk makan, anak-anak sepahkan mainan bermakna mereka sedang menggunakan akal fikiran.."
"Jika letih mahu mengemas biarkan saja dulu, bila dah ada tenaga, ajak mereka mengemas sama2.. Sabarlah ya, kita akan merinduinya ketika anak-anak sudah besar belaka.. Masa akan berlalu pantas, jika tidak dinikmati waktu2 mereka kecil, mereka akan cepat sekali dewasa dan kita akan sunyi ."
Begitu nasihat suami setiap kali saya meluahkan perasaan.
Hati saya bagai disiram dengan air dingin, tubuh yang tadinya letih terasa bagai dikurnia tenaga luar biasa. Kepala yang berat, tiba-tiba terasa ringan.
Bila sang suami sudi mendengar dan memahami, ia rahmat buat si isteri..
Si isteri bukanlah mahu mengeluh sana sini, tetapi sekadar berkongsi perasaan, hanya memerlukan sedikit perhatian.
Buat ibubapa yang keletihan, NIKMATIlah keletihan dan kelesuan itu kerana ia akan menjadi memori terindah dalam kita melayari kehidupan rumah tangga ini...
Percayalah, kita pasti merinduinya satu ketika nanti...
Hisham Sharif terima kasih kerana sudi meminjamkan telinga 

30 June 2014

Not EATING but FEEDING

Humaira: ibu, ramadhan is not about eating but it is about feeding.. Feeding who?
Ibu: who?
Humaira: feeding the needy- the people who are poor and dont have anything to eat..

Begitulah perbualan saya dengan Humaira ketika saya sibuk menyediakan juadah berbuka pada hari kedua Ramadhan.

Berpuasa bukan soal makan tetapi soal memberi makan…

Peringatan yang amat mengesani jiwa. Ketika kita sedang sibuk menyediakan makanan untuk santapan keluarga adakah kita berfikir tentang memberi makan orang lain?

Walaupun kita selalu mendengar hadith tentang kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, tetapi kita sering mengabaikannya.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengubah sedikit cara pandang kita kepada bulan Ramadhan ini. Jika kita sibuk menyediakan jadual menu berbuka kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Jangan kita lupa untuk menyediakan juga jadual memberi makan kepada orang berpuasa sepanjang bulan ini juga.

RAMADHAN IS NOT ABOUT EATING BUT IT IS ABOUT FEEDING!


Jika kita belum terasa dengan peringatan ini, mungkinkah kita dapat keluar dari Ramadhan ini dengan taqwa yang dijanjikan?

02 May 2014

Puan nak tahu tentang jesus?

Tadi, seusai solat maghrib, kedengaran pintu depan diketuk orang. Saya ingatkan Humaira dan suami yang pulang dari mengajar dari rumah seorang warga Indonesia.. Saya menghabiskan bacaan doa, pelik kerana jika suami sudah pasti pintu sudah dibuka kerana beliau juga ada kunci rumah.

Akhirnya, saya melangkah juga untuk membuka pintu, sebaik pintu dibuka terasa kesejukan yang menggigit kerana hari ini seharian kehujanan.. Saya kira mungkin suhu mencecah sepuluh darjah Celsius.

Sebaik pintu dibuka, saya disapa oleh seorang lelaki berkulit putih dan di sebelahnya seorang lelaki berkulit hitam berbadan sasa. Beliau memperkenalkan diri sebagai James dari Kanada dan rakannya (saya tidak ingat namanya) dari Melbourne, dan mereka memperkenalkan diri mereka sebagai mubaligh Kristian.

(perbualan sebenar di dalam Bahasa Inggeris)

Mubaligh Kristian : Selamat malam puan, Kami mubaligh Kristian, saya dari Kanada dan sahabat saya ini dari Melbourne.

Saya hanya mengangguk-angguk. Anak-anak yang tadi di dalam bilik, muncul berdiri disebelah saya

Mubaligh Kritian: Adakah puan berminat untuk mengetahui tentang Jesus?

Saya: Oh sudah pasti tidak kerana saya adalah seorang Muslim.

Mubaligh Kristian: Owh Muslim.. Adakah seluruh keluarga puan Muslim.

Saya: Ya, semua dari kami beragama Islam.

Mubaligh Kristian: Puan tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang jesus?

Saya: terima kasih atas pelawaan saudara,tetapi saya percaya (beriman) dengan agama Islam. Dan di dalam Islam Jesus adalah Nabi kami.

Mubaligh Kristian: Owh nabi! Puan tidak mahu belajar tentang Kristian?

Saya: saya rasa tidak,  kerana saya tidak percaya dengan konsep trinity. Di dalam Islam kami hanya ada satu Tuhan. Dan bagi saya konsep trinity itu sangat mengelirukan.

James kelihatan tidak senang dengan perkataan-perkataan saya. Saya terasa mahu cepat-cepat sahaja menghabiskan perbualan kerana di depan saya dua lelaki yang berbadan sasa sedangkan saya hanya bersama dua anak kecil, suami masih belum pulang. Kadang-kadang terlintas juga perasaan takut dengan orang asing ini.

Tambahan pula cuasa sejuk begitu menggigit. Ingin segera masuk ke rumah yang lebih hangat.

Mubaligh Kristian: Mmm jika begitu, adakah puan kenal sesiapa di kalangan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui tentang jesus?

Saya menggeleng dengan perasaan yang sungguh menjengkelkan dengan pertanyaan pendakyah Kristian itu. Walaupun saya sudah tidak mahu mendengar tentang ajaran-ajaran mereka, boleh pula mereka minta saya beritahu jika ada sesiapa yang mahu mempelajarinya.

Perbualan kami berakhir apabila mereka memohon untuk beredar. Di dalam hati kagum juga saya dengan mereka kerana sanggup meredah hujan dan kesejukan malam semata-mata untuk menyampaikan dakyah mereka.

Saya kembali ke bilik bersama anak-anak dan terus mencapai Al-Quran. Belum sempat saya membaca, Khadijah yang kesejukan menarik selimut, lantas bersuara.

Khadijah: Ibu, siapa orang tadi tu?

Ibu: Mereka itu orang Kristian, dia nak bagitahu kita tentang agama Kristian.

Khadijah: Kita Muslim bukan?

Ibu : Ya, betul tu, memang kita Muslim sebagaimana yang ibu katakan kepada pakcik tadi.

Khadijah: Allah ialah Tuhan kita, dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah. Allah ada satu je!

Ibu: Itu la, memang Allah tu satu, tapi dalam Kristian mereka kata tuhan tu ada tiga, sebab itulah ibu tak percaya pakcik tu nak cerita tentang Nabi Isa kerana dalam Kristian mereka mengatakan bahawa Nabi Isa itupun Tuhan juga sedangkan Nabi Isa adalah hanya seorang Nabi macam Nabi Muhammad.

Khadijah: tapi kenapa Allah utus Nabi Muhammad?

Ibu: Allah utuskan Nabi Muhammad supaya Nabi Muhammad boleh ajar kita tentang Islam. Boleh ajar kita solat, boleh ajar kita tentang Al-Quran..

Khadijah : Owh macam tu… Allah is our God and Nabi Muhammad is messenger of Allah..

Sayup-sayup suaranya mengulangi ayat tersebut, ayat yang diulang-ulang oleh ayahnya saban malam dalam menanamkan aqidah kepadanya.

Di dalam hati, saya bersyukur kerana walaupun usrah keluarga yang dibuat oleh suami hanyalah di atas katil sementara menidurkan anak-anak, tetapi ada impak dalam fikiran dan jiwa mereka.

Walaupun penyampaian yang diberikan di dalam bentuk bercerita dan bersahaja, rupa-rupanya anak-anak dapat mengingatinya dengan baik.

Perkara pertama yang mesti ditanamkan oleh ibubapa kepada anak-anak ialah aqidah. Jangan kita sebagai ibubapa menyerahkan tugas mendidik anak-anak ini kepada ustaz dan ustazah di sekolah semata-mata.


Sekarang, projek-projek kritianisasi berjalan secara meluas tidak kira di mana sahaja. Maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menanamkan aqidah yang mantap kepada anak-anak supaya andaikata ada yang datang kepada mereka membawa dakyah kristian, mereka terlebih dahulu mempunyai keyakinan yang mantap terhadap Islam.

07 April 2014

Dengar, bawa balik, muhasabah, ubah!

“Agak-agaknya, bagaimanakah sepatutnya cara kita berhadapan dengan nasihat atau teguran yang diberikan kepada kita berkenaan dengan rumahtangga kita?” Saya membuka bicara di dalam satu sesi perkongsian Bait Muslim pada ahad yang lalu.

Sambil memandang ke arah setiap isteri yang berada di dalam bulatan pada petang itu, kelihatan semua sedang berfikir apa jawapan yang terbaik. Saya menanti penuh sabar dan akhirnya terpaksa menyebut nama seorang daripadanya meminta beliau memberikan pandangan.

“Mmm pada saya, sekiranya ada seseorang yang datang menegur, kita haruslah menerimanya,  muhasabah diri kemudian memperbaiki..” Jawab Aini (bukan nama sebenar) dengan penuh yakin.
Saya beralih kepada semua yang ada, jawapan lebih kurang sama, inti sama cuma olahan ayat yang sedikit berbeza.

“Bagus jawapan semua, menerima dan muhasabah, tetapi akak nak menambah satu lagi… Iaitu seandainya ada teguran atau nasihat yang diberikan kepada kita, jangan terlalu cepat memberi justifikasi. Dengarkan dahulu nasihat atau teguran itu, jangan cepat membantah. Kemudian bawa pulang ke rumah, kita muhasabah, jika perlu kita ubah..” Saya menambah sedikit daripada jawapan adik-adik tadi.

"Atau dengan bahasa yang mudah, dengar, bawa balik, muhasabah, ubah."

“Maksud akak? Jangan mudah defend diri?” Tanya seorang daripada mereka sambil mengerutkan dahi.

“Betul tu! Jangan cepat kita mempertahankan diri atau memberi justifikasi atas teguran yang dibuat oleh orang disekeliling kita tidak kira siapa samaada ibu bapa, jiran tetangga, ibubapa mertua atau mungkin sahabat-sahabat kita.”

“Kenapa perlu begitu?” sengaja saya bertanya lagi ingin memberi ruang mereka berfikir.

Mereka hanya memandang, nampak seperti tiada yang mahu berkata-kata, lalu saya menyambung bicara.

“kerana sekiranya setiap kali diberi nasihat atau teguran, lalu kita berkata itu dan ini untuk mempertahankan perbuatan dan tindakan kita itu, kita bimbang lama kelamaan tiada siapa lagi yang mahu menegur atau memberi nasihat kepada kita. Apatah lagi jika kata-kata kita itu seolah-olah mahu menafikan segala teguran dan nasihat yang dibuat, sedangkan mungkin ia benar-benar berlaku.

“Contohnya macam mana kak?” Tanya pula Hanan (bukan nama sebenar) meminta penjelasan

“Contohnya, ibu kita menegur tentang cara kita mendidik anak-anak yang kelihatan terlalu lembut. Lalu kita pun mempertahankan cara kita itu dengan berbagai-bagai alasan, memberikan seribu satu kenyataan untuk menafikan teguran dan menampakkan tindakan kita itu betul tiada kesalahan.”

 “Akhirnya akan keluarlah kata-kata seperti  mmm tak perlulah nasihat si polan dan si polan tu, kalau di tegur pun bukan dia nak menerima.. Dia akan kata apa yang dibuat tu betul belaka…”

“Ataupun mungkin juga akan ada yang mengatakan bahawa, dia tu bukan nak dengar pun nasihat kita ni, dia rasa dia bagus sangat, nasihat kita ni akan diletak ke tepi sahaja.”

“Oleh sebab itulah jika kita ditegur atau dinasihati, ucapkan sahaja terima kasih kepada yang prihatin itu, bawa balik kata-kata nasihat mereka, refleksi pada diri dan keluarga sama ada ia betepatan atau tidak dengan apa yang berlaku dalam keluarga. Jika ada benarnya, mungkin kita boleh ubah yang mana patut dalam hidup kita berumahtangga dan jika tidak sekalipun mungkin ia akan berguna pada masa depan yang kita belum pasti onak dan durinya.” Jelas saya panjang lebar kepada adik-adik yang di hadapan saya.

Kebanyakannya masih di awal usia perkahwinan, 3-4 bulan, setahun, 4 tahun dan 7 tahun. Walaupun saya tidaklah mempunyai terlalu banyak pengalaman, tetapi disebabkan sayalah yang ‘paling tua’ dikalangan mereka, maka terpaksalah saya berkongsi pengalaman yang mungkin berguna buat adik-adik yang masih baru melayari bahtera perkawinan.

“Ad Deenun Nasihah” begitu sabda Rasulullah yang bermaksud agama itu nasihat. Walau sehebat manapun kita, kadang kala kita kita tidak sedar kita mungkin melakukan kesalahan dan kesilapan.

Bukankah kita ini manusia?

Oleh sebab itu, nasihat yang datang boleh diumpamakan seperti cermin. Jika tiada cermin, mungkin kita tidak dapat melihat tudung yang dipakai senget. Mungkin tidak nampak bedak bertompok. Mungkin tidak nampak rambut di sikat rapi atau tidak.

Maka kita perlukan cermin atau orang yang lain yang mungkin ternampak kelemahan dan keburukan yang ada pada diri dan keluarga. Pada pandangan dan firasat kita, adakala kita rasa semua baik-baik belaka, namun tidak bagi mereka yang di luar sana apatah lagi jika nasihat itu datang dari orang yang lebih berpengalaman dan tinggi ilmu agama.

Bersikap rendah diri di hadapan mereka yang lebih dahulu melalui onak duri di dalam perjalanan sebuah perkahwinan, adalah sangat baik untuk kita mengutip sebanyak mungkin bekalan dalam perjalanan membina keluarga yang dinaungi sakinah dan mawaddah.

Bukan mudah untuk menerima dan mendengar keburukan diri sendiri atau keluarga, namun kepahitan itu kadang-kadang menjadi ubat kepada sebuah kemanisan.

Rumahtangga yang dibina, pengakhirannya bukan sahaja di dunia yang fana ini, tetapi kita mengharapkan berkekalan sehingga semuanya berkumpul di Firdausi yang tertinggi.