26 July 2012

Madrasah Ramadhan 1 : Raungan si kecil yang menyentuh jiwa

Semalam, dari pagi anak kecil itu tidak lena tidurnya. Tidur sekejap, kemudian menangis, tidur sebentar kemudian menangis lagi mahu menyusu. Saya tidak dapat buat apa-apa,  memang terasa susu badan tidak banyak. Mungkin malam tadi kurang minum air.

Menjelang petang, insyirah semakin tidak selesa, menghisap susu, kadang-kadang marah kerana terlalu sedikit susu yang keluar. Saya cuba memberinya susu ibu yang telah saya perah beberapa hari sebelum Ramadhan, namun dia tidak mahu. Mungkin tidak suka dengan puting yang keras itu.

Allahu akbar! Hampir-hampir saya menangis melihatnya meraung kelaparan. Tersiksa sungguh jiwa seorang ibu apabila melihat anaknya begitu. Dalam kebuntuan saya itu, lantas saya teringat keadaan anak-anak Somalia yang jauh lebih dhaif. Anak kita mungkin hanya lapar beberapa jam namun anak-anak di Somalia kelaparan saban tahun, malahan ada yang menemui maut kerana kebuluran.

 Apalah yang boleh diharapkan oleh si ibu ini selain kepasrahan kepada Allah S.W.T?



Insafilah mereka yang lebih hebat diuji berbanding kita..


Jiwa saya menangis, hati saya resah hanya untuk seketika, tetapi bagaimanakah rasa seorang ibu di Somalia atau di tempat-tempat yang mengalami krisis makanan? Pasti mereka lebih parah lagi dan terpaksa pula pasrah dengan keadaan yang menimpa.

Benarlah puasa dan Ramadhan itu medan mendidik jiwa. Andai kita punya makanan untuk disantap, bertaqwa dan bersyukurlah banyak-banyak kerana diluar sana mungkin ada yang tidak mampu bersahur dan tiada pula juadah untuk berbuka.

Allah bantulah saudara-saudara kami yang tidak terbela di sana…

04 July 2012

Mohon doa semua...


Impian... Terlalu banyak impian buku-buku tulisan sendiri di dalam minda.. Namun susah sungguh nak dijelmakan di alam nyata..

Saya berdoa dan berharap agar Allah terus mengurniakan ilham, kekuatan dan semangat utk merealisasikannya. Mohon doakan saya agar menarinya jejari saya di atas keyboard ini adalah untuk memberi manfaat kepada umat.

Walau kadang-kadang terasa diri teramat kerdil dalam menghasilkan karya, saya harap karya-karya kecil ini akan memangkin wujudnya karya-karya besar satu masa nanti... Panjang angan-angan jangan dibiar terbengkalai begitu sahaja, perlu ada usaha untuk menjayakannya.

Selalu juga dalam hati terlintas "Aaarghh! adakah orang akan membeli dan membacanya?" lalu dipujuk hati dengan "Insya Allah, jika tidak ramai, pasti ada sedikit yang dapat membaca dan menggunakannya." Pergolakan antara nafsu dan iman tidak akan pernah berhenti. Cuma arah mana yang akan kita turuti.

Tinggal diperantauan, menjadi surirumahtangga sepenuh masa memang punya ujian yang tersendiri. Dua puluh empat jam menghadap karenah anak, dengan rutin pengurusan rumah tangga yang tidak pernah usai, kerap kali menyebabkan aktiviti menulis terpaksa ditolak ke tepi.

Namun sampai bila saya harus menjadikannya alasan? Walaupun memang itulah sebab-sebab yang diberi untuk menyedapkan hati.. Mungkin saya ini sangat kurang motivasi diri.

Hangat-hangat tahi ayam. Itu masalah yang sering saya hadapi. Sekejap nak tulis buku ini, sekejap nak tulis buku itu. Menulis tidak sampai suku, mulakan pula isi buku baru. Haih.. kalau beginilah keadaannya, tak tahu  bila akan munculnya sebiji buku. 

Nampaknya, saya terpaksa juga mengubah cara berfikir saya. Buat satu-satu, jangan terburu-buru. Usaha sehabis daya, agar perancangan dan impian terlaksana.

Pembaca budiman, saya sekarang sedang merancang untuk menulis buku "AKTIF TANPA SKRIN, bermain sambil membina iman". Saya bercadang hendak menulis 70-100 aktiviti yang boleh ibu bapa atau guru buat bersama anak-anak, dan disertakan tips-tips untuk mendidik anak-anak di dalam permainan tersebut. Mudah-mudahan anak-anak akan rasa seronok bermain dan secara tidak langsung ada nilai tarbiyah di situ.

Ya Allah... Moga dipermudahkan, jika ada cadangan silalah kemukakan... Mohon doakan supaya ia berjaya.. Tiada kekuatan selain kekuatan dari Allah.. Di dalam hati :"Mampukah saya melaksanakannya?"

Mohon doa semua...

12 June 2012

Setiap anak itu unik



“ Eh baiknya anak awak,makan senang, tak banyak ragam.. mmm.. Awak buat macam mana ya sampai dia jadi baik begini?”

“Ya Allah, kesian sungguh saya tengok anak Mira tu, asyik menangis sahaja. Nak kata lapar, dah diberi makan, nak kata perut kembung, tak pula.”

“Akak, anak saya ni susah betul nak bergaul dengan orang. Asyik nak berkepit dengan mak ayah dia saja. Macammana nak buat ya? Bimbang juga sebab tak lama lagi dia dah nak ke Tadika, kalau beginilah keadaannya, bimbang dia menangis sepanjang hari di Tadika nanti.”

Bila para ibu bertemu, dialog-dialog seperti di atas pasti biasa dibicarakan. Masing-masing berkongsi pengalaman. Bagi ibu yang mempunyai anak yang tidak banyak ragam, syukur pada ilahi. Namun bagi ibu yang mempunyai anak yang selalu meragam, pasti timbul sedikit sebanyak tekanan lantaran keletihan dalam menangani karenah anak-anak.

Kadang-kadang, sampai buntu memikirkan apa yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat sehingga anak-anak mereka baik sebegitu rupa dan apa yang tidak dilakukan oleh kita sehingga anak-anak bagaikan ada yang tidak kena.

Bagi ibubapa diluar sana, jika anak kita tidak serupa tabiat dan ragamnya dengan yang lain, janganlah risau kerana menurut satu kajian yang telah dibuat di New York selama sepuluh tahun berkenaan dengan perangai kanak-kanak, kanak-kanak secara umumnya terbahagi kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama ialah kanak-kanak yang mudah untuk diuruskan. Mereka mudah untuk makan dan bersedia untuk menerima perubahan. Mereka akan tidur sepanjang malam. Tidak cerewet memilih makanan dan tidak mempunyai masalah ketika membuang air sama ada kecil atau besar. Mereka juga mudah menerima permainan baru, persekitaran baru dan orang baru di sekeliling mereka. Kanak-kanak sebegini menjadikan pengalaman keibubapaan sesuatu yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Kumpulan kedua ialah kanak-kanak yang lambat untuk menyesuaikan diri , malu atau terus menolak apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru. Mereka mungkin akan meluahkan makanan, sukar untuk tidur malam terutamanya di tempat yang baru dan akan rasa terganggu dengan perubahan. Namun, dalam jangka masa tertentu, mereka akan perlahan-lahan menerima perubahan tersebut. Masalah yang dialami oleh kanak-kanak di dalam kumpulan ini adalah berbentuk sementara sahaja, ibu bapa hanya perlu memahami tentang ketakutan dan perasaan malu mereka da mengatasinya. Ibu bapa perlu meningkatkan keyakinan diri kepada anak-anak seperti ini.

Kumpulan ketiga pula ialah kanak-kanak yang akan protes dan sukar menerima setiap perubahan yang menyalahi kebiasaan mereka. Mereka sukar untuk tidur, sukar menyesuaikan diri dengan pengasuh baru, makanan baru bahkan apa jua yang baru dalam hidup mereka. Mereka banyak menangis dan meragam. Mereka sangat cerewet memilih makanan dan sangat sukar untuk bergaul dengan rakan-rakan. Kanak-kanak sebegini perlu dirawat dengan kasih sayang dan ketegasan.

Kumpulan yang keempat pula ialah mereka yang mempunyai sikap yang bercampur-campur antara ketiga-tiga kumpulan di atas. Kadang kala mudah dan kadang kala sukar untuk menerima perubahan. Sebagai contoh, mereka mudah tidur tetapi cerewet apabila menyentuh tentang soal makanan.

Setiap anak itu unik dan dilahirkan dengan tabiat dan karektor yang berbeza. Kita sebagai ibu bapa janganlah suka membanding-bandingkan anak-anak sendiri dengan anak orang lain kerana ia mungkin akan memberi tekanan kepada ibu bapa jika anak kita tidak seperti anak rakan-rakan kita.

Terimalah anak kita seadanya. Jika mudah diuruskan bersyukurlah kepada Allah. Jika sebalik banyakkan bersabar dan carilah penyelesaian untuk menghadapinya dengan berbincang dengan mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan. Jika perlukan bantuan, mintalah dari mereka yang sepatutnya seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.

Pengalaman keibubapaan merupakan suatu yang indah jika kita bijak mengurusinya. Segalanya bermula dari cara kita berfikir, jika kita fikir ia sesuatu yang sukar dan membebankan, maka itulah yang akan kita rasakan. Namun, jika kita fikir bahawa menjadi ibubapa itu sesuatu yang menyeronokkan, walau apa jua yang datang melanda, kita pasti akan berusaha untuk menghadapinya dengan gembira.

16 March 2012

Solat itu untuk kebaikanmu

“Humaira, bangun solat subuh…” Saya mengejutkan Humaira yang sedang tidur lena, kelihatan riak kepenatan di wajahnya. Tiba-tiba hadir perasaan kasihan kepadanya, namun saya halau perasaan tersebut jauh-jauh. Ini perintah Allah, sayangkan anak biar pada tempatnya, dan melatih anak solat dari kecil juga adalah tanda kasih sayang kita kepada mereka

Humaira masih tidak bergerak, saya panggil berulang kali dan dia telah sedar dari tidurnya tetapi dia tidak mahu bangun. Hampir sepuluh minit saya mengejutkannya dan menanti respon Humaira’, akhirnya saya tewas dan saya perlu lakukan ‘sesuatu’ petang nanti. Saya mahu dia bangkit dari lenanya bukan kerana terpaksa, tetapi dengan kerelaannya sendiri.

Humaira ke sekolah seperti biasa. Pulang dari sekolah,  tatkala saya menemaninya makan tengahhari saya memulakan bicara tarbiyah. Mmm… sedangkan orang yang dewasa pun perlu sentiasa diingatkan, inikan pula anak yang baru berusia tujuh tahun. Tambahan pula, kefardhuan solat lima kali sehari ini baru kami tekankan sejak januari tahun ini, bermakna latihan ini baru berjalan, dan belum sampai tiga bulan, mana mungkin saya mengharapkan kesempurnaan.

“Humaira, ibu nak tanya satu soalan boleh?” Saya bertanya untuk mengetuk pintu hatinya

“Mmmm…” Dia mengangguk-angguk kepalanya sambil mengunyah sotong masak kicap yang saya masak istimewa untuknya.

“Humaira’ rasa, humaira solat setiap hari tu sebab apa?” Saya memandang wajahnya yang sedang asyik menikmati juadah. Mendengar soalan saya, serta merta dia mendongak kea rah saya lalu menunduk semula.

 Tiada jawapan, tidak mengangguk dan tidak menggeleng.

“Humaira’ solat sebab ibu suruh ke?”

Dia menggeleng

“Sebab ayah suruh?”

Dia menggeleng lagi

“Sebab Allah suruh?”

Kali ini dia mengangguk, dan sebenarnya saya telah mengagaknya. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu dia solat hanya semata-mata dengan kefahaman yang satu ini.

“Mmm memang benar Allah suruh kita solat, tetapi Humaira nak tahu tak kenapa kita solat?”

“Sebenarnya, kita solat untuk kebaikan kita sendiri. Solat tu adalah bekas untuk Allah letakkan kebaikan kepada kita. Jika Humaira’ tak solat, Allah tak rugi, ibu dan ayah pun tak rugi, yang rugi ialah diri Humaira sendiri.”

“Dengan solat, Allah akan jaga kita dari kejahatan dan kemungkaran. Dengan solat Allah akan jaga kita dari hasutan syaitan. Dengan solat, Allah akan beri kita kebaikan-kebaikan yang sangat banyak!”

“Humaira’ nak tak Allah jaga Humaira dari pagi sampai petang dan dari petang sampai malam dan dari malam sampai pagi?” Saya bertanya Humaira’ yang tekun mendengar kata-kata saya.

“Nak…” Perlahan sahaja jawapannya, antara dengar dan tidak.

“Baguslah kalau Humaira nak Allah jaga, tapi Humaira mesti solat lima waktu. Kalau ibu kejutkan subuh, Humaira mestilah bangun.”

“Ibu tahu Humaira’ penat dan mengantuk, tetapi Humaira mesti lawan perasaan tu sebab kalau Humaira tak bangkit solat subuh, bagaimana Allah nak bagi Humaira kebaikan-kebaikan yang banyak?”

“Bahkan syaitan akan melompat kegembiraan bila Humaira tak solat, dia suka sebab Humaira dengar cakap dia. Syaitan yang suruh Humaira tak payah solat, dia yang tepuk-tepuk humaira supaya tidur semula... Humaira kena kuat untuk lawan hasutan syaitan. Humaira kena kuat untuk bangun solat. Kalau kita kuat, Allah sangat suka pada kita.  Bila Allah suka, Allah akan bantu bila kita susah. Allah akan sentiasa menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk.”

“Satu lagi, kita kena solat sebab Allah dah bagi kita macam-macam benda. Allah bagi Humaira’ ibu yang boleh masak sotong masak kicap ni, Allah bagi Humaira ayah yang baik yang suka main dengan Humaira. Allah bagi Humaira rumah yang selesa, Allah bagi Humaira adik khadijah yang boleh main dengan kakak. Allah bagi kereta kepada kita untuk kita pergi jalan. Banyak sangat benda yang Allah beri pada kita, jadi untuk kita tunjukkan kita berterima kasih kepada Allah, kita mesti ikut apa yang Allah suruh dan tak buat apa yang Allah larang.”

“Jadi mulai hari ni, kita solat elok-elok ya… Esok Humaira bangun solat subuh boleh? Bila ibu atau ayah kejut, Humaira bangun dengan gembira, kita solat sama-sama okey?”

“Insya Allah ibu…” dia mengangguk dengan senyuman terukir dibibir.

“Baiklah, sekarang dah kenyang, Humaira solat zohor kemudian tukar pakaian. Selepas tu boleh kita lumba hafal Quran pula sementara adik khadijah tidur.” Saya menutup makanan dan berlalu ke ruang tamu.

***

Alhamdulillah, setelah sesi sembang-sembang saya dengannya petang itu, proses mengejutkannya untuk solat subuh hari-hari berikutnya menjadi lebih mudah. Jika sebelumnya dia seringkali ‘mengelat’, tetapi Alhamdulillah banyak perubahan yang ditunjukkan.

Mendidik anak untuk solat lima waktu dengan baik dan tertib memang satu perkara yang sukar. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan yang berbagai agar solat mereka bukan sekadar satu rutin yang ‘terpaksa’ dilakukan. Kita mahu mereka solat kerana mereka merasa PERLU kepadanya dan kerana kecintaan mereka kepadanya.

Ya Allah tunjuki kami, dan kurniakan hidayah dan inayahMu kepada kami di dalam mendidik anak-anak kami… Jadikanlah kami orang yang solat dan mencintainya.. Amin ya Rabbal Alamin…

31 January 2012

Cemburu kepada adik baru? Tangani dengan bijaksana!



Sifat cemburu di kalangan kanak –kanak sering ditonjolkan apabila seseorang menerima kehadiran adik baru. Kadang-kadang ibu bapa boleh naik angin ketika berhadapan dengan karenah mereka.

Tambahan pula, dalam keadaan ibu yang baru melalui proses kelahiran dan masih di dalam pantang serta masih lemah. Sang bapa pula yang masih kelam kabut menguruskan kehadiran orang baru di dalam keluarga, keadaan ini sering menimbulkan ketegangan sesama ahli keluarga.

Walau bagaimanapun, di dalam situasi yang kurang selesa ini, kita sebagai ibu bapa perlulah meletakkan diri di tempat anak kerana jika kita memahami perasaan mereka, kita akan dapat menanganinya dengan lebih baik.

Jangan hanya memikirkan tentang apa yang kita rasai, tetapi selamilah perasaan si kakak atau si abang ‘baru’ yang pasti menerima kejutan kerana perhatian yang selama ini tertumpu seratus peratus kepadanya kini telah beralih arah kepada si kecil.

Bukan mudah untuk dia menerima situasi itu, maka bagi menarik sebanyak mungkin perhatian dari ibu bapa, dia akan melakukan apa sahaja demi survival diri sebagai orang yang disayangi oleh kedua orang tuanya.

Di samping itu, kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun biasanya sangat mementingkan diri (egocentric), jadi mereka akan hanya memfokus pada diri sendiri dan tidak dapat memahami perasaan orang lain dan belum pandai untuk berkongsi.

Oleh itu, kecemburuan itu mungkin akan menegangkan urat kita dan mungkin juga memeningkan kepala kita, tetapi sabar dulu, cuba tips-tips di bawah, mudah-mudahan  ia akan membantu kita mengatasi anak yang baru menjadi kakak atau abang itu. Selamat mencuba dan moga berjaya!

Sepanjang kehamilan

Bawa anak ke hospital semasa temujanji dengan doctor, beri peluang kepada mereka untuk melihat adik baru mereka yang ada di dalam rahim anda. Ibu boleh juga bercerita tentang adik yang bakal hadir itu dengan menunjukkan gambar ultrasaound scan yang boleh di dapati dari klinik atau hospital. Jika bayi sudah mula menendang-nendang, letakkan tangannya di perut anda supaya dia merasakan kewujudan adiknya itu. Biarkan dia bermain-main seketika.

Lawatan pertama

Ketika si kakak atau abang melawat anda dan bayi untuk kali pertama di hospital, tunjukkan bayi kepadanya. Katakan : “Ini adik kakak/abang.” Berbanding “Ini bayi baru kita.” Berikan peluang kepadanya sama ada ingin menyentuh atau meriba bayi (dengan sokongan anda). Jika dia hanya melihat dan terus bermain, jangan memaksa, berilah dia masa untuk menerima kehadiran orang baru di dalam hidupnya itu.

Tunjukkan cara yang betul untuk melayani si kecil

Kadang-kadang ada dikalangan anak-anak terlampau cemburu kepada adiknya sehingga sanggup memukul, menggigit atau menyakiti adiknya. Jika ini berlaku, jangan sesekali ibu atau bapa memukul mereka kerana jika anda memukul, ia akan meningkatkan lagi rasa dendam mereka kepada si kecil.

Jauhkan kakak/abang dari adiknya dan terangkan kepadanya bahawa perbuatan tersebut salah,     kemudian
ibubapa perlu menunjukkan cara yang betul melayani bayi seperti ajar anak mencium, membelai rambut bayi, mengusap-usap pipi bayi atau sebagainya. 

Setiap kali kita dapati mereka ingin mengasari bayi, tarik tangannya dan ciumlah pipinya, bisikkan kata-kata sayang kepadanya. Kemudia katakan kepada si kakak atau abang : "Cuba cium adik macam ibu cium kakak/abang... Mmmuuaah.. Sayang adik!” Ulangi ayat-ayat sebegini sehingga dia terbiasa dengannya dan tahu cara yang sepatutnya dilakukan kepada si kecil.

Selain daripada mencium, lakukan juga aksi-aksi lain seperti memeluk, mengusap tangan atau kaki bayi, membelai pipi dan rambut dan mungkin boleh meletakkan bayi di atas riba mereka (dengan sokongan ibubapa). 


Membantu

Beri peluang si kakak atau abang untuk membantu anda untuk mengurus bayi supaya dia dapat merasakan bahawa dia adalah sebahagian daripada proses tersebut.

Biarkan dia menggosok-gosok bayi ketika mandi, melekatkan lampin pakai buang, mencari permainan untuk bayi atau apa sahaja yang sesuai. Ia sangat membantu untuk si kakak atau abang merasakan kebersamaan dengan adik baru mereka.

Ketika menyusukan bayi

Waktu menyusukan bayi mungkin menyebabkan tahap cemburu meningkat di kalangan anak yang lebih besar kerana mereka melihat bayi dipangku dan dipeluk oleh ibu. 

Jadi, ajaklah si kakak atau abang duduk berhampiran dengan anda, biarkan dia mengusap-usap kaki bayi dan bacakanlah buku kepada mereka. Jika sukar untuk membaca buku, tonton bersama rancangan televisyen yang sesuai dan berbual berkaitan rancangan tersebut. Usaha ini akan menyebabkan anak yang lebih besar tidak merasa dipinggirkan oleh ibu mereka.

Mengimbangkan perhatian

Pastikan perhatian anda tidak hanya tertumpah kepada bayi semata-mata.  Adalah sangat baik andai anda dapat melayani si kakak atau abang sementara bayi diserahkan kepada suami, ibu bapa anda atau orang lain yang berada di sekeliling anda.

Mungkin anda boleh menyuapkan makanan kepada mereka, membacakan buku atau melakukan aktiviti yang sesuai dengan keadaan anda. Perbuatan anda akan menyebabkan anak-anak merasakan mereka tetap disayangi walaupun adik kecil mereka hadir dalam hidup mereka.

Perkenalkan rakan sepermainan yang lain

Sebelum kelahiran lagi, biasakan anak untuk bermain dengan orang lain seperti nenek, datuk , ibu saudara atau bapa saudara mereka. Jadi, setelah melahirkan, sekiranya anda belum sembuh atau sibuk menguruskan bayi, si kakak atau abang boleh mencari orang-orang di sekeliling untuk bermain bersamanya.

Memegang dan menyanyi

Beri peluang kepada si kakak atau abang untuk meriba atau memegang adiknya. Minta dia nyanyikan lagu-lagu kanak-kanak kepada bayi. Dia pasti sangat gembira apabila bayi tersenyum atau bertindak balas dengan nyanyiannya. 

Luangkan masa bersama

Perhatian ibu kepada si kecil sedikit sebanyak akan mengganggu perasaan si kakak atau abang, jadi ketika bayi sudah tidur, peluklah anak yang lebih besar sekerap yang mungkin, anda boleh juga mengajak mereka untuk baring bersama di atas katil anda dan bercerita tentang berbagai perkara dengannya.

Perbuatan ini sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan gusar dan bimbang akan kehilangan perhatian dari anda.

***

Di dalam menangani kecemburuan di kalangan kakak atau abang baru ini, jangan sesekali memarahi mereka kerana tindakan ini akan lebih memburukkan keadaan. Cuba tunjukkan bahawa kasih sayang anda tidak pernah hilang kepadanya. 

Ketika berhadapan dengan keadaan sebegini, peranan seorang bapa sangat penting untuk mengambil hati mereka. Si bapa mungkin boleh bermain bersama mereka, berbual-bual dengan mereka tentang perasaan mereka, makan aiskrim bersama atau buatlah apa sahaja untuk menunjukkan kecintaan ibubapa kepadanya.  Perbuatan seperti itu mungkin nampak remeh tetapi ia sangat memberi kesan kepada anak-anak.

Kecemburuan ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin, jika tidak, dibimbangi perasaan cemburu yang tidak terkawal mungkin menolak mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada si adik kecil.

21 January 2012

Bukan milik kita

Esakan humaira’ semakin kuat, saya tidak pasti kenapa dia menangis, di dalam fikiran saya mungkin dia rasa sedih selepas dibebel  oleh saya kerana banyak sangat bermain ketika sesi menghafal surah Al-Lail hari ini, sudah hampir dua jam berlalu tetapi dia masih belum menghabiskan tugasnya yang biasanya dilaksanakan hanya dalam masa empat puluh lima minit hingga ke sejam. Hari ini sudah luar biasa kerana sudah dua jam lebih masih juga tak selesai-selesai. Tidak fokus langsung!

Akhirnya, saya terpaksa menghafal bersama ayat sebelas hingga ayat lima belas surah Al-Lail itu, jika tidak, tak tahu bila akan habis. Kemudian, saya meninggalkan dia dan bergerak ke ruang tamu untuk membaca buku dan saya tinggalkan dia untuk mengulang lima kali lagi ayat satu hingga lima belas.

Saya memanggil Humaira ke ruang depan yang lebih sejuk dek kerana penghawa dingin yang terpasang dari tadi. Humaira’ datang dengan mata yang merah, tangisannya semakin kuat tatkala memandang wajah saya.

“Eh! Kenapa Humaira menangis ni? Dah siap hafal?” Saya bertanya sambil mengerutkan dahi, selama ini belum pernah dia menangis kerana saya minta dia menghafal dengan lebih serius. Saya  memangilnya untuk duduk bersama saya.

Tanpa lengah dia terus menekap wajahnya ke dada saya, tangisan makin kuat, air mata makin laju bagaikan empangan pecah. Saya terpinga-pinga, di dalam fikiran mencari-cari apakah punca kesedihannya itu.

“Kenapa humaira’ menangis ni sayang?” saya bertanya lagi, meminta kepastian, namun hanya esakan pilu yang kedengaran. Saya biarkan seketika.

“Cuba Humaira’ beritahu ibu, apa sebabnya Humaira menangis ni?” Saya bertanya lagi bila saya melihat tangisannya tidak ada tanda untuk reda segera. Jari jemari saya terus mengelus rambutnya yang semakin panjang itu.

“Humaira nak ikut ayah balik Malaysia.” Jawab dia dalam sendu yang amat, kemudian menyambung kembali tangisan. Pilu.

“Mmm Humaira nak ikut ayah balik Malaysia?” Saya bertanya sekadar ingin menyatakan keprihatinan saya. Dia mengangguk, wajahnya masih terperosok ke dada saya.

“Humaira’ rindukan atuk dan nenek ya?” Saya bertanya lagi.

“Tapi ayah pergi Kedah juga kan? Humaira’ rindu kat Ome, Ayong, Alia, Anis dan syaurah…” Tiba-tiba Humaira bersuara  sebelum sempat dia menjawab soalan saya tadi, barulah saya tahu bahawa dia menangis kerana kerinduan yang amat kepada rakan-rakan sepermainan di Tadika Nursyifa, jiran-jiran teman bermain pondok-pondok dan syaurah si kecil sepupunya yang tinggal bersama kami dulu.

“Ooo…  Humaira nak jumpa dengan kawan-kawan ya? Mesti Humaira’ rindu sangat kepada mereka semua kan?” Saya cuba menyelami hati kecilnya itu. Memang sejak mula kami sampai di Adelaide, Humaira selalu sahaja menyebut satu persatu sahabat-sahabat karibnya, bahkan selalu juga air matanya gugur lantaran kerinduan itu.

“Mmm mesti seronok kalau kita boleh balik sekali dengan ayah, boleh jumpa kawan-kawan Humaira’, boleh jumpa aki, tok, nenek, atuk, ummi, mama, uncle-uncle dan juga syaurah kan?” Saya cuba memancing perhatian Humaira’ kerana ada sesuatu yang ingin saya sampaikan kepadanya. Dia memandang saya seketika, kemudian mengangguk-angguk kecil. Tangisannya mereda sedikit.

“Tetapi Humaira kan, ayah bukan balik sebab suka-suka tau. Ayah balik sebab atuk tak sihat. Kalau ikutkan hati ayah, dia nak bawa kita semua balik sekali, tapi buat masa sekarang duit kita belum cukup lagi untuk beli tiket, tambahan pula cuti ayah sekejap sahaja, kalau kita balik sekarang mesti Humaira tak sempat nak main puas-puas dengan kawan-kawan.  Insya Allah kalau ada rezeki dan Allah cukupkan duit kita, kita baliklah hari raya nanti…”

“Ibu tahu, Humaira juga sedih sebab ayah tinggalkan kita di sini sedangkan Humaira teringin sangat nak balik Malaysia, tapi Humaira mesti ingat bahawa ayah tu bukan Ayah Humaira sahaja, dan bukan juga suami ibu sahaja, tetapi ayah adalah anak kepada atuk dan nenek juga. Jadi, bila atuk atau nenek tak sihat ayah mestilah balik untuk jaga mereka berdua.” Saya memulakan bicara tarbiyah kepadanya, biar dalam hidupnya jangan hanya fikir tentang diri sendiri dan perasaannya semata-mata. Dia perlu sedar bahawa di dalam hidupnya ada hak orang lain yang perlu ditunaikan. Dan semua yang ada pada dia bukan miliknya semata-mata.

“Humaira nak tahu? Kalau ayah balik ni ikhlas kerana nak jaga atuk yang kena bedah tak lama lagi, ayah akan dapat banyaaaak pahala, dan kalau anak ayah ni sabar, Humaira pun akan dapat banyak pahala tau! Bila dapat banyak pahala, mudah-mudahan Allah berilah kita masuk syurga sama-sama!” Saya terus memberi kata-kata perangsang dengan janji-janji syurga. Moga jinak hatinya untuk melakukan sesuatu atau meredhakan sesuatu dalam hidupnya untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Wajahnya saya angkat agar saya dapat merenung matanya, esakannya masih ada, saya berikan senyuman kepadanya dan lama kelamaan dia membalas jua senyuman saya itu. Lalu saya hapuskan airmata dari pipi mulusnya itu.

Tiba-tiba terdengar derapan kaki adik Khadijah yang masih mamai berjalan menuju ke arah kami. Saya alih Humaira ke tepi dan mendakap erat mereka berdua dengan air mata yang juga berlinangan.

“Baiklah Humaira’, sekarang dah masuk waktu asar, jom kita solat sama-sama, lepas solat nanti kita doakan moga Allah mudahkan ayah balik Malaysia dan datang sini semula. Kemudian, kita doakan juga moga Allah murahkan rezeki kita untuk balik Malaysia Hari Raya nanti dan Humaira boleh jumpa semua orang yang Humaira’ rindui. Pergi ambil wudhuk  dulu sementara ibu buatkan susu untuk adik ya…”

Wahai anak-anakku, perjalanan hidup ini masih lagi panjang. Belum tahu apa yang bakal merintang dihadapan. Ibu harap apa jua yang melanda kita, biarlah neracanya hanyalah keredhaan dari Tuhan. Walaupun ia perit dan menyiksakan…

15 January 2012

Tips mengajar anak solat

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya. 


Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.


Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!


Berdoa

Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai  kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :

 "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami istri-istri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Membiasakan anak-anak dengan solat

Umur 0-2 tahun

  • Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil 

  • Katakan kepadanya : “Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar”




umur 2-4 tahun

  • Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : “Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!” Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita. 

  • Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya “Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat.” Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat

  • Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : “Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!”

  • Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut. 

  • Jangan sesekali berkata kepada anak : “Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat.” Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.



Mengajar anak solat

Umur 5-6 tahun

·         Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.





Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!

·         Sesekali ajaklah mereka ke masjid  atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.

·         Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan  solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.

·         Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.

·         Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.

·         Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.




Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.


Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.

·         Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka. 

·         Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.

·         Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : “Adik dah solat?” selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.

·         Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.

Bersama memupuk istiqamah

Umur 7-10 tahun
  • Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"

  • Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.

  • Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.

  • Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat

  • Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!

  • Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!

  • Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.

Wallauhua'lam