14 October 2011

Cukuplah kematian sebagai peringatan...

"Kak Pah ingat lagi tak kepada Luqman Al-Hakim pelajar kita di Tadika Taman Suria" Tiba-tiba adik saya menukar tajuk perbualan. Sejak tadi kami banyak berbual tentang keluarga, maklumlah bila berjauhan dan sekali sekali berhubungan melalui telefon pasti macam-macam perkara yang dibangkitkan.

"Pelajar yang putih-putih dan kurus tu ke? Yang mak dia lembut-lembut tu kan? Kenapa dengan dia?" Saya cuba mengingat-ingat pelajar yang disebut antara ratusan pelajar yang ada di Tadika Nursyifa.

"Haaa ya lah tu, sebenarnya mak Luqman Al-Hakim tu baru je meninggal dunia pagi tadi. Dia dah lama sakit sebenarnya." Adik saya cuba menceritakan tentang pelajar tersebut

"Ya Allah.. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun... Saya ingat lagi mak dia tu sebab semasa hari pertama pendaftaran, saya yang melayani anak dia yang tak nak ke sekolah. Anak dia menjerit-jerit dan dia tak sampai hati nak tinggalkan, tapi mak dia memang sangat lembut hati orangnya... Ya Allah, dah tak ada dah dia... Muda lagi orangnya..." Bicara saya panjang mengingatkan kembali kepada susuk seorang wanita yang sarat dengan watak keibuan. Patah katanya lembut sekali apabila berbual-bual dengan saya tentang perkembangan anak-anak setiap kali dia datang bertamu ke pejabat untuk membayar yuran pengajian anaknya. Dia masih muda, lebih kurang saya, jika tidak sebaya pun mungkin hanya tua beberapa tahun sahaja.

"Dia sakit ke?" Tanya saya lagi kepada Syahirah di hujung talian. Ingin mengetahui sedikit sebanyak kisah ibu kepada anak murid saya itu. Terbayang-bayang di benak saya keletah anaknya yang amat baik dan bijak itu. Anaknya sangat mendengar kata dan mudah menerima pelajaran. Bagaimanakah keadaan anak-anaknya yang kehilangan tempat bermanja. Saya menarik nafas panjang.

"Ha'ah, rupa-rupanya dia memang dah lama sakit. Dah banyak kali melalui pelbagai pembedahan untuk membuang barah yang menyerang di seluruh tubuhnya. Pembedahan yang terakhir di bahagian pinggang telah menyebabkan dia lumpuh sejak bulan mac yang lalu. Sejak itu dia tidak lagi menghantar Luqman ke tadika, suami dia lah yang ambil dan hantar Luqman ke Tadika kita tu. Setelah lama terlantar, dia sudah malu nak bertemu sesiapa pun kerana tubuh badan yang dah berkudis, dan dua bulan terakhir dia dah tak kenal orang sekeliling." Cerita adik saya lagi, suaranya jelas menggambarkan kesedihan kerana si arwah memang suka berbual dengan guru-guru di tadika menyebabkan dia sangat disenangi oleh semua.

"Allah... Besarnya ujian untuk dia, jadi bagaimana dengan keadaan anak-anaknya sekarang?" Pemikiran saya masih berlingkar di sekitar anak-anak kerana anak-anaknya lebih kurang sebaya dengan anak-anak saya. Tidak dapat digambarkan jika anak-anak saya kehilangan seorang ibu seperti Luqman Al-Hakim.

"Anak-anak dia semua taknak cium wajah ibu mereka setelah kakak tu dikafankan. Mungkin sebab wajah ibu mereka yang banyak berubah sejak menderita kesakitan. Mengikut cikgu-cikgu kita yang ziarah pun, memang badan arwah kecil sangat. Macam tak percaya yang meninggal itu ibu Luqman Al-Hakim. Kelihatan anak sulung yang baru darjah satu memang sangat sedih, begitu juga dengan Luqman. Cuma adiknya yang kecil tu masih tertanya-tanya ke mana ibu mereka. Mungkin belum faham hakikat pemergian ibu mereka." Saya tekun mendengar kata-kata syahirah. Lidah jadi kelu, berbagai perasaan bercampur aduk di dalam jiwa.

"Ya Allah, Moga Allah mengurniakan sabar kepada yang ditinggalkan dan mengumpulkan yang pergi itu dengan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Tengok-tengokkanlah keperluan Luqman dan adiknya itu, jika ada apa yang boleh dibantu, bantulah mereka ya..." Saya memberikan sedikit peringatan buat adik saya yang kini menguruskan Tadika Nursyifa. Maklumlah, anak-anak bila kehilangan orang yang tersayang, sedikit sebanyak pasti akan mengganggu perasaan mereka. Andai saya berada di sana, ingin sahaja saya memeluk anak-anak itu.

Saya temenung seketika. Merenung kembali diri yang sering lupa tentang hakikat kematian itu sendiri.

Sedangkan, kematian itu satu ketentuan dari Allah sebagaimana yang tertulis di dalam kitabnya.

"Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya."(6:61)

Andai tiba masanya, tidak kiralah sama ada kita masih muda atau sudah tua.  Masih ada anak-anak kecil atau tidak. Kita sakit atau sihat. Apa jua keadaan dan kondisi kita, pasti Allah akan melaksanakan janjinya.

"Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berpikir."  (39:42)

Bagi kita yang masih diberikan peluang oleh Allah untuk terus bernafas sehingga kini, ingatlah bahawa tidur kita saban malam itu juga adalah kematian kecil buat kita. Andainya malam ini adalah tidur yang terakhir, adakah kita sudah bersedia untuk bertemu dengan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Cukupkah sudah amalan untuk kita persembahkan kepada Tuan kita?

Allahu  akbar,  cukuplah kematian itu sebagai peringatan bagi mereka yang mempunyai akal...

12 October 2011

Siapa ciptakan babi?

"Ibu, babi tu haram kan?" Tiba-tiba Humaira bersuara dari tempat duduk belakang ketika kami sedang menunggu ayahnya membeli buah mangga di kedai buah seberang jalan.

"Ya..." Saya menjawab ringkas, masih bertarung dengan rasa mual yang menghantui.

"Siapa ciptakan babi, ibu?" Dia memanjangkan lagi soalannya yang telah saya agak kerana soalan pertama tadi sebenarnya telah diketahui jawapannya.

"Allah lah..." Sekali lagi saya menjawab ringkas sambil merendahkan penyandar belakang. Kepala sudah mula pusing.

"Tapi, kenapa Allah ciptakan babi, bukankah babi itu haram?" Humaira meneruskan lagi soalannya, kali ini lebih mencabar. Mungkin dia pelik kerana sejak tinggal di negara barat ini, anak-anak di Australia ini cukup menyukai binatang yang sejenis itu yang dianggap sebagai comel. Sedangkan sebagai seorang muslim, babi merupakan sejenis binatang haram.

"Allah haramkan sebab babi itu kotor dan Allah ciptakannya kerana Allah nak tengok siapa yang ikut perintah Dia dan siapa yang melanggarnya." Jelas saya dan bicara kami terhenti di situ kerana Khadijah telah menjerit gembira ke arah ayahnya yang melambai-lambai dari seberang jalan.

"Katakanlah: "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, karena sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (6:145)

"Mengapa kamu tidak mau memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan (dari manusia) benar-benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas."

Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Maka bagi kita umat muslim mestilah jelas dengan perkara-perkara tersebut. Perlu dijelaskan juga kepada anak-anak bahawa halal dan haram itu bukan sahaja berkaitan dengan makanan bahkan dalam setiap genap urusan hidup ada ketentuan Allah disitu.

Oleh itu, ibu bapa haruslah menekankan tentang halal, haram, harus, makruh dan sunat sejak anak-anak masih kecil lagi supaya anak-anak memahami bahawa hidup didunia ini bukan boleh sebarangan sahaja. Ada peraturan dan syariatnya serta segala aturan itu ditetapkan oleh Allah sebagai satu pengukur kepada ketaatan seorang hamba kepada Tuannya.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sama-sama kita mendidik anak-anak tentang syariat Allah. Tentang pergaulan yang halal dan haram, tentang pakaian yang halal dan haram, tentang urusniaga halal dan haram dan apa jua yang dilalui di dalam kehidupan. Mudah-mudahan hidup kita sekeluarga sentiasa di dalam rahmat Allah lantaran kepatuhan kita kepada perintah dan laranganNya...

Wallahu a'lam...

09 October 2011

Segenggam tabah

Hari ini, untuk ke sekian hari dan minggu saya terpaksa merebahkan diri di atas katil, lantaran semalam badan saya tidak bisa menerima apa jua makanan. Makan pagi, muntah. makan tengahhari muntah bahkan makan malam juga bagai tidak mahu diterima kehadirannya.

Saya buntu, segala saranan dari teman-teman telah saya buat, namun ternyata semuanya tidak berhasil. Saya kesian melihat suami yang sudah dua bulan tidak dapat memberi tumpuan kepada pengajiannya. Kesian melihat anak-anak yang sudah lama tidak menerima sentuhan kasih dari ibunya.

Saya mencapai komputer riba di meja sebelah katil, memainkan beberapa lagu dari you tube buat peneman diri yang keseorangan kerana suami membawa anak-anak ke tempat program. Putarkan juga nasyid-nasyid untuk mencari kekuatan dalam menghadapi ujian Allah ini.

Ketika saya mendengar lagu Segenggam Tabah dari In Team, fikiran saya menerawang jauh mengingati memori-memori lama tentang berbagai peristiwa, muhasabah kembali diri apakah saya ini kurang sabar di dalam menghadapi ujian kecil ini.

Teringat saya, pada tahun 1991 abah dan mak saya berpisah. Maka bermulalah kehidupan ayah berseorangan membesarkan 11 orang anak. Segala kesulitan yang pernah kami harungi bersama bermain-main di kotak fikiran saya.

Berbelas-belas tahun abah menongkah susah payah dalam membesarkan kami. Peritnya tidak sedikit, sakitnya tidaklah ringan. Namun dengan kesabaran dan penyerahan total kepada Yang Maha Kuasa, hampir semua anak-anak abah berjaya menjejak kaki ke Intitusi Pengajian Tinggi. Alhamdulillah...

Saya merenung kembali diri yang ketika ini sedang mengalami sedikit kesukaran. Baru sahaja tiga bulan dan saya masih ada suami dan sahabat-sahabat. Selain daripada itu, saya cuma ada dua anak jika hendak dibandingkan dengan abah yang berhempas pulas membesarkan sebelas orang anak. Jika abah yang serba susah dulu boleh mengharunginya dengan tabah kenapa tidak saya?

Nampaknya, saya harus sentiasa mengingatkan diri saya bahawa dugaan ini adalah proses tarbiyah yang sedang disusun buat saya dan suami. Harungilah ia dengan sabar dan tawakkal kepadaNya. Jika Saidina Umar mengangkat tangan mengucapkan syukur tatkala dilanda musibah. Mungkin itu juga yang perlu saya lakukan agar saya menyedari bahawa dugaan ini adalah tanda kasih sayang Allah buat saya yang lemah ini.

Allah mahu saya lebih dekat denganNya. Bertahun-tahun saya hidup dalam keadaan sihat wal afiah, adakah dengan kesakitan sebulan dua ini saya sudah mahu putus asa dengan rahmat Allah?

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" 29:2



Ya Allah, berilah kekuatan kepada hamba yang kerdil lagi lemah ini... Amin Amiin Ya Rabbal Alamin...

07 October 2011

Sebuah perkongsian

Alhamdulillah, setelah dimasukkan air melalui tiub di Women and Children Hospital tempoh hari menjadikan tubuh badan saya lebih bertenaga berbanding hari-hari sebelumnya. Walaupun tahap kesihatan yang masih tidak menentu, namun saya gagahkan juga menulis kerana blog yang sudah naik lumut dek kerana lamanya tidak dikemaskini. Cemburu saya melihat blog suami saya yang dikemaskini saban hari.

Sudah dua bulan saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab menguruskan rumahtangga menyebabkan semuanya terpikul dibahu suami saya. Simpati saya melihatnya berkejar-kejar menguruskan rumahtangga dan urusan pengajian. Setiap pagi menyediakan bekal Humaira' ke sekolah, kemudian memasak buat saya dan Khadijah, kadangkala menyuapkan makanan ke mulut saya dan Khadijah tatkala saya tidak berdaya bangkit dari katil, kemudian bergegas menaiki bas ke universiti. Balik dari universiti, belum sempat merehatkan tubuh dan minda, dia terpaksa   menguatkan diri untuk melayani anak-anak bermain dan menguruskan makan minum kami sehinggalah semuanya melelapkan mata.

Belum lagi bercerita tentang menguruskan kain baju dan muntah saya. Keadaan saya yang lemah membataskan diri untuk membantunya. Ditambah ragam si anak yang kadang kala mengocak sabar dijiwa, jika tidak kerana kesabaran dalam mengharungi ujian ini mungkin sahaja anak dan isteri akan dikasari, namun apabila diletakkan segalanya kepada Allah, hati menjadi tenang walaupun keserabutannya bagai sukar dirungkai.

Setelah melalui pengalaman ini, saya benar-benar terfikir bahawa betapa perlunya seorang lelaki melengkapkan diri serba sedikit di dalam urusan rumahtangga seperti menguruskan makan pakai anak-anak, sedikit kemahiran memasak, kemahiran menguruskan emosi dan beberapa urusan yang biasanya dibuat oleh wanita.

Jika tidak ada kemahiran-kemahiran asas yang penting seperti itu, ujian seperti ditimpa kesakitan atau apa jua musibah ke atas rumahtangga akan menambahkan lagi bebanan sedia ada. Jika sudah biasa dengan kerja-kerja rumah, maka kehidupan akan menjadi sedikit mudah walaupun ia tetap mengganggu urusan rutin kita yang biasa.

Begitu juga sebagai seorang isteri atau ibu, perlu juga tahu sedikit sebanyak urusan yang selalu dilakukan oleh suami, kerana kita tidak tahu apakah dugaan yang akan menimpa kepada kita sekeluarga. Apa yang penting suami atau isteri jangan berlepas tangan atas semua kerja-kerja yang dibuat oleh pasangan masing-masing. Jika ada kelapangan, cubalah saling bantu membantu meringankan tugasan pasangan supaya jika pasangan kita kehilangan upaya sementara atau kekal, tidaklah kita terkapai-kapai dalam mencari penyelesaian.

Rumahtangga itu adalah sebuah perkongsian suka dan duka, tempat berbahagi senang dan susah. Jika ada manisnya, sudah pasti akan terasa pahit maungnya tatkala dugaan melanda. Asam garam dalam rumahtangga sebenarnya menambahkan lagi rasa dalam kehidupan, jika kita bersabar pasti akan diganjari oleh Allah s.w.t.

Bersedialah untuk menempuh pahit manis, masam dan masin jika bercita-cita membina mahligai bahagia, kerana bahagia akan hadir buat mereka yang berjaya mengharungi ujian dan dugaan. Moga bahtera yang dilayari bersama akan sampai ke destinasi yang tertinggi iaitu syurga yang luasnya seluas langit dan bumi...

Wallauhua'lam

08 September 2011

Peritnya menjadi OKU!

Alahan semasa mengandung merupakan ujian yang berbeza buat setiap insan yang bergelar ibu. Ada yang muntah sampai lembik, ada pula yang seperti biasa, bahkan ada pula yang makin berselera.

Bagi saya, pengalaman alahan mempunyai cerita yang berbeza bagi ketiga-tiga anak-anak. Anak pertama, diserang Hyperemesis gravidarum sehingga berat badan turun enam kilo dalam masa satu bulan setengah. Sungguh perit rasa yang ditanggung, apa sahaja yang dimakan pasti terhambur semula dalam jangka masa tidak sampai sepuluh minit. Bukan sahaja tidak boleh makan, minum air kosong pun boleh muntah sehingga badan tidak berdaya berbuat apa.

Masih saya ingat ketika itu hospital merupakan rumah kedua apabila terpaksa dimasukkan ke wad selang seminggu kerana kekurangan air di dalam badan. Sepanjang waktu alahan, hampir dua puluh tujuh botol air yang dimasukkan melalui tiup ke dalam badan saya sehinggakan tangan saya bengkak dek kerana terlalu kerap dicucuk oleh doktor dan jururawat.

Anak kedua, Alhamdulillah tidak seteruk sewaktu mengandungkan kakaknya. Cuma tidak boleh memasak tetapi masih boleh makan dan minum. Muntah pun jarang-jarang berlaku.

Dan kini, pengalaman berbeza pula apabila hamil anak ketiga. Hamil dan menghadapi alahan di Bulan Ramadhan. Pada awal ramadhan keadaan masih stabil dan masih lagi boleh memasak dan makan. Masuk minggu yang kedua, hidung menjadi semakin sensitif, usahkan nak memasak, masuk ke dapur sahaja sudah cukup meloyakan. Terpaksa dikuarantin di dalam bilik tidur, makan minum di hantar hingga ke katil.

Keadaan semakin teruk ketika dihujung Ramadhan, berbuka hanya dengan beberapa biji limau, bersahur hanya dengan beberapa biji kurma. Akhirnya, tiga hari terakhir Ramadhan saya tidak mampu lagi berpuasa lantaran tubuh yang sudah terlalu lemah. Andai diteruskan juga puasa, dibimbangi akan menjejaskan pula kesihatan saya dan janin yang dikandungkan.

Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami. Tatkala saya memohon maaf daripadanya kerana tidak mampu menyediakan makan minumnya seperti biasa, dia masih tersenyum dan tidak jemu-jemu bertanyakan apa makanan yang saya ingini. Ketika saya muntah-muntah, dia akan datang mengurut-urut belakang saya seterusnya dengan sabar membersihkan sinki yang kotor itu. Anak-anak yang meragam, dilayani penuh kasih sayang.

Masya Allah, dengan tugas yang bertimbun di universiti dan juga beban yang terpaksa digalas dirumah, dia masih mampu mengurusinya dengan penuh tanggungjawab dan sabar.

Saya juga bersyukur kerana ada ramai sahabat yang sudi membantu, menghantar makanan buat berbuka puasa, menjaga anak-anak ketiga suami ke Masjid untuk bertarawih dan ada juga sahabat yang menziarahi saya di rumah lalu membantu saya membersihkan dapur yang sudah beberapa minggu menjadi kawasan larangan buat saya. Alhamdulillah, moga Allah mengganjari kalian dengan kebaikan yang sempurna.

Sungguh, ketika ada yang membantu, saya sangat menghargai. Namun jauh di sudut hati, saya berasa amat malu untuk menyusahkan sahabat-sahabat. Rasa juga tertekan apabila makan minum diuruskan oleh orang lain. Apatah lagi bila kebajikan anak-anak tidak dapat disempurnakan, saya memohon kepada Allah agar alahan ini segera berakhir.

Dulu ada yang berkata kepada saya :

" Jangan ikutkan sangat, kena lawan psikology!"
"Kuatkan semangat! Jangan jadi lembik!"

Aduhai, kata-kata itu cukup melukakan perasaan saya, walaupun saya cuba berbaik sangka bahawa mungkin ia kata-kata untuk menguatkan saya. Ini bukan soal psikology kawan, ini bukan soal lembik atau tidak.

Adakah kalian tahu betapa peritnya perasaan saya tatkala si anak meminta di masak itu dan ini sedangkan sang ibu tidak mampu membuatnya?

Adakah kalian rasa saya seronok apabila terpaksa berkurung di bilik tidur setiap masa dan disediakan makanan oleh suami yang penat-penat pulang dari kerja?

Adakah kalian rasa saya senang apabila terpaksa membiarkan orang lain memasak untuk keluarga saya?

Adakah kalian rasa saya ini sengaja muntah-muntah sedangkan ia sangat menyakitkan seluruh tubuh saya?

Jika kalian tidak pernah mengalaminya, bersyukurlah kepada ilahi kerana tidak diuji seperti ini.

Saya bukanlah ingin menagih simpati, tetapi saya minta kalian memahami.

Saya sendiri tidak mahu hidup seperti ini, sehari bagaikan sebulan, seminggu bagaikan setahun. Saban waktu saya memohon moga segera pulih dari alahan ini.

Ketika artikel ini ditulis, saya rasa saya adalah orang kurang upaya (OKU) dan betapa PERITnya menjadi seorang OKU.

17 August 2011

Kegembiraan waktu berbuka


“Humaira makan semasa rehat atau waktu tengahhari di sekolah tadi?” saya bertanya sebaik sahaja dia turun dari van sekolahnya.

“Masa rehat dan tengahhari, Humaira’ lapar sangat lah ibu, tengok kawan-kawan makan lagi rasa lapar.” Dia menjawab telus. Hari ini baru hari kedua berpuasa, walaupun dia bangun sahur, tetapi jika makan hanya sesuap dua saya tak menjangka dia dapat bertahan sehingga petang. Lalu saya bekalkan juga dengan makanan di dalam lunch boxnya.

“Kenapa Humaira tak makan masa tengahhari je, kita kan tengah puasa?” Saya bertanya sekali lagi mengingatkan kepadanya tentang ibadah puasa di Bulan Ramadhan yang mulia ini, sebelum ke sekolah tadi sudah saya pesan supaya dia makan pada waktu tengahhari, sekurang-kurangnya dapat juga berpuasa separuh hari.

“Humaira tak tahan dah tadi…” Dia menjawab ringkas sambil berlari masuk ke rumah. Saya menggeleng-geleng kepala, sedang mencari jalan bagaimana melatih dia berpuasa di dalam suasana yang langsung tidak membantu. Dikelilingi dengan rakan-rakan yang bukan beragama Islam yang sudah pastinya tidak berpuasa , ia satu cabaran buat anak kecil sepertinya.

“Ibu, nak sikit! Sedap betul Humaira’ tengok adik makan.” Dia datang kepada saya yang sedang menyuap nasi berlauk ayam goreng kepada Khadijah. Minta disuapkan juga ke mulutnya.

“Eh! Humaira kan puasa?” Saya bertanya kembali sambil mengangkat kening

“Laparlah ibu, sikiiiit je… Boleh la…” Dia menggosok-gosok perut dan memandang ke arah nasi Khadijah penuh sayu

“Orang puasa memang lapar, tapi kita kena sabar, lagipun Humaira dah makan tengahhari tadi, jadi Humaira kena tunggu waktu berbuka sebentar lagi baru boleh makan dengan ibu dan ayah. Sekarang Humaira pergi main dulu ye…” Saya memujuk.

Humaira berlalu ke ruang depan dengan langkah longlai. Jika diikutkan naluri keibuan, mau sahaja saya suapkan nasi ke mulutnya, tapi ibu juga perlukan hati yang keras dalam mendidik anak-anak, demi kepentingan anak-anak juga.

Selesai saya menyuapkan nasi kepada khadijah, saya pun mula memasak dan menu hari ini ialah pizza dan sedikit kuih bakar sebagai pemanis mulut. Bau makanan yang dibakar cukup menarik Humaira untuk ke dapur dan menjenguknya

“Lambat lagi ke nak berbuka ibu?” Humaira bertanya buat kali yang entah ke berapa, tak sampai sepuluh minit, pasti dia akan bertanya dan bertanya lagi.

“Tak lama dah, tinggal 30 minit saja lagi.” Saya menjeling jam di dinding dengan tangan sibuk menyusun hidangan.

“Haaa! Tiga puluh lagi ke? Lamanya! Aduhai, Humaira tak tahan tengok pizza ni ibu, sedap sangat ni.” Dia menongkat dagunya ke meja membuatkan hidungnya berada hanya beberapa inci dari dulang pizza. Pizza yang masih berasap dan aroma herba itali yang memikat  rasa bukan sahaja membuat Humaira terliur, bahkan saya juga. Tiga puluh minit bagaikan tiga jam menanti. Humaira masih tidak bergerak, merenung Chicken Supreme Pizza, sambil mulutnya tidak henti-henti  mengomel betapa waktu begitu lambat bergerak.

“Baiklah, sekarang mari kita baca doa bersama-sama.” Suami saya yang baru duduk bersuara, mendengarkan itu, humaira bingkas duduk tegak sambil tangan diangkat untuk berdoa.

“Bismillahirahmanirrahim, Allahummalaka sumna, wabika amanna, wa ala rizkika afthorna birahmatika ya arhamarrahimin. Allahumma bariklana fima rozaqtana waqina azabannar…” Sebaik sahaja doa habis dibaca, azan berkumandang dari telefon saya. Alhamdulillah, Berjaya berpuasa untuk hari kedua hari ini detik hati saya.

Humaira minum sedikit air lantas menyambar pizza, makan dengan begitu berselera.

“Seronok tak berbuka?” Saya bertanya kepada Humaira. Humaira tidak menjawab kerana mulut yang penuh dengan pizza tetapi hanya menganggukkan kepala dengan senyum puas.

“Haaa… inilah kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka! Seronok bukan?” Saya berkata kepadanya mengingatkan kepada hadith Rasulullah tantang kelebihan berpuasa yang mana bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya.

“Seronok sangat!” Humaira menjawab ringkas kemudian menyambung kembali gigitan pizza, hampir setengah dulang dimakannya.

"Esok nak puasa lagi tak?" Saya bertanya lagi

"Mmm! Mmm!" Humaira mengangguk kepala dengan penuh semangat

Rezeki yang terhidang petang itu kami hadapi dengan penuh kesyukuran.  Kegembiraan waktu berbuka puasa memang tidak dapat digantikan dengan apa-apa jua. Bagi mereka yang berpuasa atas dasar keimanan kepada Allah s.w.t dan hanya mengharapkan keredhaanNya, bukan sahaja mendapat kegembiraan, bahkan dosa-dosanya yang telah lalu juga akan diampunkan.


21 July 2011

Sonata musim dingin...

Carta solat Humaira... Itik besar tu sebenarnya solat isya tau!

“Ayah! Cepatlah solat, Humaira nak terkencing ni!” Humaira’ mendesak ayahnya yang sedang menekan butang-butang komputer ribanya. Mendengar desakan yang bertubi-tubi, suami saya bingkas bangun terus mengangkat takbir untuk solat Isya.


Saya yang telah solat isya sebelum mereka pulang dari menziarahi anak seorang sahabat yang baru sahaja keluar dari wad kerana radang paru-paru hanya memerhati, kemudian kembali menatap Al-Quran kecil berwarna biru. Khadijah di sisi, sudah lama dibuai mimpi. Sesekali saya mengalih pandangan kepada Humaira’ yang berdiri tidak diam kerana menahan kencing.

“Humaira’ nak buang air ke? Mana boleh tahan kencing masa solat sayang, pergi bilik air dulu kemudian solat semula ya?” Saya bertanya kemudian memberi cadangan.

Dia masih ‘berjoget-joget’ menahannya dan akhirnya dia berlari menuju ke tandas, mungkin sudah tidak tertahan lagi. Keluar sahaja dari bilik air mukanya sudah lain macam, perlahan-lahan saya mendengar tangisannya yang makin lama makin kuat.

“Kenapa Humaira’?” Saya bertanya sambil mengangkat kening ke arahnya. Dalam hati saya mengagak pasti dia menangis kerana kepayahan mengambil wuduk lantaran suhu musim sejuk yang mencecah lima darjah selsius malam itu.

Di musim sejuk sebegini, nak mengambil wuduk memang perlukan mujahadah yang tinggi. Bagi mereka yang boleh menahan wudhuk dalam jangka masa yang lama tidak mengapa tetapi bagi anak kecil sepertinya memang agak sukar.

Kesejukan yang menggigit itu bagai tidak bersimpati walaupun kami berwudhuk menggunakan air suam dari pemanas air. Humaira masih menangis. Saya bingkas bangun mendapatkannya untuk memberi sokongan moral kepadanya bahawa walau apa jua keadaan yang dihadapi, solat mesti juga didirikan.

Saya membuka pili air perlahan-lahan dan menunggu hingga air menjadi suam-suam kuku lalu menadah air untuk Humaira’ berkumur. Terhenti tangisannya seketika tatkala air masuk ke mulutnya, setelah di keluarkan tangisan disambung kembali. Saya menadah lagi air dan membasuh muka seterusnya menyelesaikan anggota wudhuk lain yang wajib-wajib sahaja.

“Waktu musim sejuk begini memanglah susah nak ambil wudhuk sayang, tetapi jika Humaira’ sabar, Allah akan bagi ganjaran dan pahala yang banyak sebab Humaira menyempurnakan wudhuk. Baiklah, sekarang Humaira solat ye, ayah dah habis solat dah tu.” Saya terus memberi kata-kata perangsang dengan jaminan pahala yang istimewa buat insan yang bermujahadah dalam menegakkan syariatnya. Tangisan yang tadinya sudah reda, kembali kuat apabila dia melihat ayahnya telah selesai solat Isya, sedih tak dapat berjemaah bersama.

Humaira duduk di atas sofa menyudahkan esakannya, setelah sedikit tenang dia bangun menunaikan solat isya dalam kepayahan buat seorang anak kecil sepertinya. Usai solat, suami saya memeluknya dan mengiringinya ke bilik lalu menemaninya hingga tidur.

Sesungguhnya saya dapat rasakan betapa sukarnya mendidik anak untuk tetap dalam solat lima waktu. Jika diikutkan rasa belas, sudah pasti saya tidak akan mewudhukkannya dalam cuaca dingin sebegini. Jika tidak kerana perintah Rasulullah supaya mendidik anak-anak solat lima waktu sejak berumur tujuh tahun, sudah pasti saya tidak akan mengganggu tidur lenanya ketika fajar menyinsing untuk bangkit solat subuh.

Walaubagaimanapun, kesusahan itu terbalas ketika melihatnya qiam menghadap Tuhannya, kesukaran itu sirna ketika melihat dia sujud dan rukuk kepada Penciptanya… Subhanallah, Alhamdulillah, Wala ilahaillallah Wallahu akbar, kepada Allah sahajalah saya merafakkan segala tasbih dan tahmid atas kurniaan anak-anak ini dan mudah-mudahan mereka akan menjadi penyejuk mata pengubat jiwa kepada kami hingga ke akhirnya…
Motivasi buat anakanda supaya akan terus istiqamah...