02 July 2009

Kenapa kita solat?


"Ibu, satgi solat berapa kali?" Begitulah pertanyaan humaira setiap kali melihat saya mengenakan telekung. Sebenarnya 'kali' yang dimaksudkan ialah bilangan rakaat.


" Empat rakaat..." Jawab saya tanpa jemu kerana dia akan bertanya soalan yang sama tiap kali nak solat.


"Mmm... empat rakaat tak penat puuun..." Humaira berkata dengan tersengih-sengih sambil meliuk lentokkan tubuhnya. Hehe... Itu hanya di mulut, melihat gelagatnya pun saya tahu yang dia nak kata empat rakaat tu penat.


"Humaira, kenapa kita solat?" Tanya saya ingin menguji. Dalam fikiran, saya merangka beberapa kemungkinan jawapan yang diberikan.


1. Sebab ayah suruh

2. Sebab nanti ayah bagi coklat

3. Sebab cikgu suruh

4. Sebab nanti boleh masuk syurga


"Sebab Allah suruh laa..." Dia memberi jawapan tanpa ragu-ragu dan penuh yakin.


"Oh ye ke... Kalau kita buat apa yang Allah suruh kita dapat apa?" Tanya saya lagi untuk mengukuhkan kefahamannya tentang kewajipan melaksanakan suruhan Allah


"kalau kita buat, kita dapat pahala, nanti boleh masuk syurga." Dia menjawab sambil mengangkat-angkat tangannya seperti orang berceramah. Lega sungguh saya mendengar jawapannya.


Dia laksanakan solat kerana tahu ia satu tuntutan bagi setiap muslim. Bukan kerana takut dimarahi oleh ayah atau ibu. Bukan kerana ganjaran semata-mata, dan bukan kerana takut ditanya oleh cikgu-cikgu di tadika.


Saya sangat bersyukur dengan kefahaman yang dia ada sekarang. Dia hanyalah kanak-kanak yang berusia tiga tahun sepuluh bulan. Dan dia pasti akan solat bersama saya setiap kali waktu solat. Dia juga akan menangis sekiranya saya solat dulu tanpa menunggu dia. Tiada paksaan, bahkan dia lakukannya dengan penuh rela.


Jika saya solat lambat pula dia akan bersungguh-sungguh menyuruh saya pergi solat.


Alhamdulillah kerana dalam usia yang masih muda dia sudah merasai tanggungjawabnya sebagai seorang muslim. Memang solatnya tidaklah setertib mana, malahan dipertengahan solat dia akan mengira-ngira jarinya untuk memastikan berapa rakaat yang tinggal.


Tapi saya tak kisah semua itu, apa yang saya mahu pada peringkat usia dia sekarang ialah dia biasa dengan kefardhuan itu, dan apabila sampai masa ia menjadi kewajipan, dia akan seronok memperhambakan diri kepada tuhan.


Biasakan anak-anak dengan amal soleh


Al-Imam Al-Ghazali berkata: Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika dia terbiasa dengan benda baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti binatang, menderitalah dia dan binasa. Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggung jawabkan itu.


Pada peringkat umur dua hingga lima tahun. Ibu bapa seharusnya mengambil peranan menerangkan kepada anak-anak tentang kebenaran dan kesalahan tanpa mengira masa dan keadaan.


Usah biarkan sahaja kesalahan yang dilakukan semata-mata menganggap anak itu masih kecil. Pada usia begini juga, Islam menyeru ibu bapa menekankan:


1. Pendidikan iman kerana anak-anak sentiasa tertanya-tanya tentang tuhan dan gambaran kewujudannya.


2. Mengasuh mereka mencintai Al-Quran


3. Mengasuh mereka mencintai Nabi dan Para sahabat.


Selain daripada itu, kita perlu membiasakan anak-anak kecil dengan solat sepertimana yang disebut oleh Al-Qobisi:


Mengajar anak-anak bersolat dan berwudhuk dan membiasakan mereka membuatnya akan meringankan kesusahan bersolat atas mereka apabila sampai usia wajib melaksanakan solat, Apabila mengajar anak bersolat, mereka juga perlu diajar membaca Al-Quran untuk dibaca dalam solat itu sendiri.


Jika kita mempunyai anak, maka mereka adalah amanah yang akan ditanya. Usah biarkan usia kanak-kanak mereka terbuang begitu sahaja tanpa didikan. Semakin awal kita mentarbiyah mereka dengan agama, semakin mudah mereka untuk melaksanakan segala suruhan tatkala usia menjengah remaja.


Bentengi mereka dengan keimanan dan akhlak mulia sejak dari dalam pelukan kita, kerana sampai suatu masa, kita akan sukar mendakap mereka lantaran peredaran masa dan usia.







No comments: