Tadi, seusai solat maghrib, kedengaran pintu depan diketuk
orang. Saya ingatkan Humaira dan suami yang pulang dari mengajar dari rumah
seorang warga Indonesia.. Saya menghabiskan bacaan doa, pelik kerana jika suami
sudah pasti pintu sudah dibuka kerana beliau juga ada kunci rumah.
Akhirnya, saya melangkah juga untuk membuka pintu, sebaik
pintu dibuka terasa kesejukan yang menggigit kerana hari ini seharian kehujanan..
Saya kira mungkin suhu mencecah sepuluh darjah Celsius.
Sebaik pintu dibuka, saya disapa oleh seorang lelaki
berkulit putih dan di sebelahnya seorang lelaki berkulit hitam berbadan sasa.
Beliau memperkenalkan diri sebagai James dari Kanada dan rakannya (saya tidak
ingat namanya) dari Melbourne, dan mereka memperkenalkan diri mereka sebagai
mubaligh Kristian.
(perbualan sebenar di dalam Bahasa Inggeris)
Mubaligh Kristian : Selamat malam puan, Kami mubaligh Kristian,
saya dari Kanada dan sahabat saya ini dari Melbourne.
Saya hanya mengangguk-angguk. Anak-anak yang tadi di dalam
bilik, muncul berdiri disebelah saya
Mubaligh Kritian: Adakah puan berminat untuk mengetahui
tentang Jesus?
Saya: Oh sudah pasti tidak kerana saya adalah seorang
Muslim.
Mubaligh Kristian: Owh Muslim.. Adakah seluruh keluarga puan
Muslim.
Saya: Ya, semua dari kami beragama Islam.
Mubaligh Kristian: Puan tidak berminat untuk mengetahui
lebih lanjut tentang jesus?
Saya: terima kasih atas pelawaan saudara,tetapi saya percaya
(beriman) dengan agama Islam. Dan di dalam Islam Jesus adalah Nabi kami.
Mubaligh Kristian: Owh nabi! Puan tidak mahu belajar tentang
Kristian?
Saya: saya rasa tidak, kerana saya tidak percaya dengan konsep trinity.
Di dalam Islam kami hanya ada satu Tuhan. Dan bagi saya konsep trinity itu
sangat mengelirukan.
James kelihatan tidak senang dengan perkataan-perkataan
saya. Saya terasa mahu cepat-cepat sahaja menghabiskan perbualan kerana di
depan saya dua lelaki yang berbadan sasa sedangkan saya hanya bersama dua anak
kecil, suami masih belum pulang. Kadang-kadang terlintas juga perasaan takut
dengan orang asing ini.
Tambahan pula cuasa sejuk begitu menggigit. Ingin segera
masuk ke rumah yang lebih hangat.
Mubaligh Kristian: Mmm jika begitu, adakah puan kenal
sesiapa di kalangan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang berminat untuk
mengetahui tentang jesus?
Saya menggeleng dengan perasaan yang sungguh menjengkelkan
dengan pertanyaan pendakyah Kristian itu. Walaupun saya sudah tidak mahu
mendengar tentang ajaran-ajaran mereka, boleh pula mereka minta saya beritahu
jika ada sesiapa yang mahu mempelajarinya.
Perbualan kami berakhir apabila mereka memohon untuk
beredar. Di dalam hati kagum juga saya dengan mereka kerana sanggup meredah
hujan dan kesejukan malam semata-mata untuk menyampaikan dakyah mereka.
Saya kembali ke bilik bersama anak-anak dan terus mencapai
Al-Quran. Belum sempat saya membaca, Khadijah yang kesejukan menarik selimut,
lantas bersuara.
Khadijah: Ibu, siapa orang tadi tu?
Ibu: Mereka itu orang Kristian, dia nak bagitahu kita
tentang agama Kristian.
Khadijah: Kita Muslim bukan?
Ibu : Ya, betul tu, memang kita Muslim sebagaimana yang ibu katakan
kepada pakcik tadi.
Khadijah: Allah ialah Tuhan kita, dan Nabi Muhammad adalah
utusan Allah. Allah ada satu je!
Ibu: Itu la, memang Allah tu satu, tapi dalam Kristian mereka
kata tuhan tu ada tiga, sebab itulah ibu tak percaya pakcik tu nak cerita
tentang Nabi Isa kerana dalam Kristian mereka mengatakan bahawa Nabi Isa itupun
Tuhan juga sedangkan Nabi Isa adalah hanya seorang Nabi macam Nabi Muhammad.
Khadijah: tapi kenapa Allah utus Nabi Muhammad?
Ibu: Allah utuskan Nabi Muhammad supaya Nabi Muhammad boleh
ajar kita tentang Islam. Boleh ajar kita solat, boleh ajar kita tentang
Al-Quran..
Khadijah : Owh macam tu… Allah is our God and Nabi Muhammad
is messenger of Allah..
Sayup-sayup suaranya mengulangi ayat tersebut, ayat yang
diulang-ulang oleh ayahnya saban malam dalam menanamkan aqidah kepadanya.
Di dalam hati, saya bersyukur kerana walaupun usrah keluarga
yang dibuat oleh suami hanyalah di atas katil sementara menidurkan anak-anak,
tetapi ada impak dalam fikiran dan jiwa mereka.
Walaupun penyampaian yang diberikan di dalam bentuk
bercerita dan bersahaja, rupa-rupanya anak-anak dapat mengingatinya dengan
baik.
Perkara pertama yang mesti ditanamkan oleh ibubapa kepada
anak-anak ialah aqidah. Jangan kita sebagai ibubapa menyerahkan tugas mendidik
anak-anak ini kepada ustaz dan ustazah di sekolah semata-mata.
Sekarang, projek-projek kritianisasi berjalan secara meluas
tidak kira di mana sahaja. Maka menjadi kewajiban kepada kita untuk menanamkan
aqidah yang mantap kepada anak-anak supaya andaikata ada yang datang kepada
mereka membawa dakyah kristian, mereka terlebih dahulu mempunyai keyakinan yang
mantap terhadap Islam.