09 January 2011

Allah lagi hebat!

Minggu lalu, kami sekeluarga pergi ke Pulau Pinang bagi menguruskan visa. Bukan sekali, malah 3 kali dalam masa dua minggu. Pergi pagi balik petang, tapi apakan daya kami terpaksa juga melaluinya walaupun ia agak mengambil masa dan tenaga.

Sepanjang berada di Pulau Pinang, hati saya jadi sayu. Tanah yang dahulunya milik orang Melayu kini telah bertukar tangan kepada bangsa cina. Nama jalan Melayu, tetapi rumah-rumah di situ kebanyakannya bergantungan tanglung-tanglung kecil dan besar yang menandakan bahawa ia bukan lagi milik orang melayu tetapi milik orang cina.

Setelah seharian berada di Pulau Pinang pada hari rabu itu, kami mengambil feri untuk pulang semula ke Jitra. Turun dari feri, keadaan yang sama dapat dilihat, rumah-rumah besar sepanjang jalan adalah milik bangsa cina.

"Ya Allah... Rumah besar-besar ni semuanya orang cina yang punya, di mana orang Melayu di Pulau Pinang ni ye?" Tanya saya kepada suami, memecah kesunyian sejak turun dari feri tadi.

"Mmm, Orang Melayu makin terpinggir di bumi Pulau Pinang ni. Orang cina bina bangunan mahal-mahal, macammana lah orang melayu nak beli." Suami saya membalas pertanyaan saya tadi.

Saya hanya merenung ke depan, memikirkan kelangsungan umat Islam Melayu di bumi Pulau Pinang ini. Suasana sepi semula. Humaira yang berdiri di tengah-tengah tempat duduk belakang juga asyik melihat lautan yang terbentang di sebelah kiri jalan.

"Humaira', Humaira' orang apa?" Saya bertanya kepada anak sulung saya itu untuk mengetuk fikirannya agar dia terfikir bahawa dia adalah keturunan orang Melayu yang dahulunya adalah bangsa yang hebat.

Jika bercerita tentang Kerajaan Melayu Melaka, kita sepatutnya berbangga dengan bangsa Melayu itu sendiri. Melaka ketika itu merupakan tempat yang tidak asing lagi bagi pedagang antarabangsa, bahkan ia merupakan sebuah kerajaan yang hebat dengan menguatkuasakan undang-undang Islam.

"Humaira' orang Islam lah ibu..." Jawab Humaira' dengan begitu tulus. Suami saya tersenyum kerana dia tahu yang saya maksudkan ialah bangsanya bukan agamanya. Saya tersengih.

"Memanglah Humaira' orang Islam, tetapi Humaira berbangsa apa?" Saya mengiyakan jawapannya tadi dan membetulkan kembali soalan asal saya.

"Mmm... Humaira orang Islam laaa..." Dia menjawab dengan bersungguh-sungguh

"Okey lah, okey lah... Memang la Humaira' orang Islam, tapi Humaira berbangsa Melayu." Jelas saya kepadanya

"Ooo..." Kepalanya diangguk-angguk

"Humaira' nak tahu tak tentang orang Melayu?"

"Nak, nak!"

"Sebenarnya, dulu-dulu orang melayu ni HEBAT. Mereka ni berdagang sampai luar negara. Orang Melayu dulu hebat tau!" Saya bercerita dengan penuh semangat. Bukan apa, saya ingin dia merasa bangga dengan bangsanya yang pernah mempunyai tamadun yang terbilang suatu ketika dahulu.

Kita perlu melihat sejarah kita, supaya kita dapat mengembalikan kegemilangan kita. Melihat anak muda sekarang yang keliru identiti, bahkan berbangga dengan budaya dan norma hidup barat membuatkan saya sesak. Mereka terlampau mengagungkan bangsa lain sehingga apa jua yang di bawa sama ada baik atau buruk semuanya hendak ditiru dan diikut.

Akhirnya, sejarah bangsa diketepikan begitu sahaja.

"Tapi kan ibu..." Humaira' mencelah tatkala fikiran saya melayang  entah ke mana...

"Ya sayang... Apa dia?" saya menoleh ke arahnya

"Tapi kan... ALLAH LAGI HEBAT! Allah paling hebat la ibu..." Dia berkata dengan penuh yakin

Saya terkedu, ayahnya juga tak terkata apa. Saya tersengih, ayahnya juga begitu.

"Erk, nampaknya kena buat pendekatan lain la nak cerita tentang kehebatan orang Melayu ni..." detik hati saya

"Ya.. ya... sayang, Allah memang Hebat!" Akhirnya, saya mengalah...

P/S : Jom kita pergi Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka pada 29 Januari 2011 di  Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

No comments: