“Assalamualaikum kak…” suara Nora memecah keheningan sambil
tangannya menyentuh lembut bahu saya. Saya menoleh kepadanya dengan senyuman
dibibir
“Waalaikumussalam warahmatullah..” bingkas saya bangun lalu
menyalami dan memeluknya kemudian mata kami bertentang. Nora tersenyum, namun
senyuman hari ini tidak seceria biasa. Bagai ada yang tersimpan di lubuk hatinya.
“Hah! Mimpi apa nak dating
dengan akak hari ni? Kerja macammana? Anak-anak sihat?” Saya melontarkan soalan
bertali-tali, hampir dua bulan tidak ketemu dengan sahabat saya ini. Tiba-tiba
dia menghubungi saya semalam, nak bersembang-sembang katanya.
“Saya mimpi rindukan akak…” dia melirik senyuman, sambil
tangannya memegang pipi saya
“Iye la tu… Anak-anak sihat? Tak bawa ke sini?” Saya bertanya
sekali lagi, rindu juga saya kepada sepasang anak Nora yang comel itu. Si abang
bernama Adam dan adiknya sofia.
“La kalau bawak mereka berdua, tak jadi dating la kita! Hehe…” Dia menyeringai lagi. Begitulah Nora,
sentiasa kelihatan gembira walaupun kadang kala jiwanya direnggut resah.
Walaupun dia muda beberapa tahun daripada saya, tetapi ikatan persahabatan
yang terjalin sejak di universiti
menjadikan kami seperti adik beradik. Serasi. Selalu berkongsi rasa dan cerita.
Tatkala diri dihimpit masalah, seringkali saya menjadi telinga untuk mendengar
luahannya. Jika dirinya memerlukan bahu untuk menangis, bahu saya jugalah yang
selalu menjadi pilihan.
“Akak apa khabar? Nampak kurus sikit ni akak tak sihat ke?
Anak-anak?” giliran dia bertanya
“Alhamdulillah, akak sihat, anak-anak pun sihat… sekarang
mereka pergi ke kolam renang bersama ayah mereka.” Jawab saya ringkas
“Mak Nora di kampung sihat tak? Lama tak dengar berita
makcik, rasanya dah empat lima tahun tak berjumpa. Kalau dia ke sini beritahu
akak ye, boleh akak pergi ziarah.” Saya terus bertanya khabar. Dulu semasa di
universiti selalu juga saya ke rumah orang tua Nora di Terengganu. Selepas
kematian ayahnya ketika Nora di tahun dua, Nora kerap juga balik ke kampung
menjenguk ibunya.
“Mmm biasa la orang tua, ada masa sihat, ada masa tak berapa
sihat… Mmm saya nak sembang-sambang dengan akak pasal mak saya lah ni…” Wajah
Nora yang tadinya ceria, muram sedikit. Dia menundukkan pandangan.
“Kenapa dengan mak Nora? Sakit ke?” Saya bertanya dengan
nada yang agak cemas. Setahu saya makcik tidak menghidap penyakit-penyakit
kronik yang selalu menimpa orang tua zaman sekarang. Cuma lelah yang
jarang-jarang datang bertamu andai makanan tidak dijaga dengan baik.
“Bukan.. Dia ok je, Cuma baru-baru ni, abang saya cadangkan
supaya kami bergilir-gilir menjaga mak. Kami kan ada lima beradik. Jadi ada
yang mencadangkan supaya mak duduk sebulan di rumah abang long, sebulan di
rumah kakngah, sebulan di rumah saya, seterusnya di rumah kak cik dan usu. Sejak
beberapa tahun yang lalu, mak dah tak duduk di rumahnya di Terengganu kerana
abang risaukan keselamatan mak jika tinggal berseorangan. Jadi dibawanya mak
tinggal bersama dirumahnya. Tak tahu lah kenapa baru-baru ni timbul cadangan
sebegini. Mmm…” sekali lagi wajahnya tertunduk, nafasnya dilepas berat.
“Macam mana ya kak? Apa pendapat akak? Saya kadang-kadang
rasa ok dengan cadangan tu, tapi kadang-kadang rasa macam tak ok. Kesian juga
pada mak, takut-takut dia rasa macam bola pula ditendang ke sana ke mari. Kami
adik-beradik memang sangat-sangat sayangkan mak. Cumaaa…” Bicaranya terhenti,
merenung ke depan, memikirkan natijah barangkali.
Saya diam sahaja, tidak mahu mengganggu andai ada lagi yang
ingin diluahkannya. Tiba-tiba wajah ibu dan ayah dikampung turut bermain di
mata. Rindu menyelinap.
“Akak, apa pendapat akak ye?” Dia bertanya semula. Tangannya
menggenggam jari jemari saya.
“mmm… sebelum akak beri pendapat akak, Akak nak Tanya
beberapa soalan kepada Nora. Boleh?” saya pandang wajah ibu muda itu. Mata kami
bertemu lagi.
“ Pertama, jika Nora duduk ditempat mak Nora, agak-agak Nora
nak tak duduk dirumah orang ni sebulan kemudian pindah ke rumah orang lain
pula, kemudian selepas sebulan pindah pula ke rumah orang lain? Seronok tak
hidup berpindah randah?” Saya bertanya sambil merenungnya
“Ish penatlah macam tu. Nak punggah beg merata-rata. Taknak
lah…” Dia menggeleng-geleng.
“Soalan kedua, apa perasaan Nora jika anak-anak berbuat
begitu kepada Nora bila Nora tua nanti? Sekejap duduk rumah Adam, sekejap duduk
rumah Sofia. Sekejap duduk di rumah anak-anak yang lain pula?” Nora kelihatan
tersentak dengan persoalan saya.
“Ya Allah, saya sanggup duduk sorang di rumah saya daripada
berpindah randah begitu. Biarlah susah senang, sakit pening saya duduk di rumah
sendiri. Walaupun anak sendiri, mesti mereka ada kehidupan mereka
masing-masing. Tak sanggup saya nak menyusahkan anak-anak”
“soalan ketiga, apa yang nora harapkan dari anak-anak yang
nora ulit bagaikan permata sekarang ini?” saya bertanya lagi
“mmm mestilah saya nak mereka sayangi saya macam saya sayang
pada mereka. Merawat saya ketika sakit, menjaga saya tatkala saya sudah kurang
upaya. Pendek kata saya inginkan anak-anak yang berbakti kepada kami ibu ayah
mereka.” Dia menjawab, pandangannya jatuh kepada deretan bunga-bungaan yang
pelbagai warna di hadapannya. Senyuman
menghiasi bibir, mungkin terbayangkan hari tua yang indah-indah.
“Nampaknya, soalan yang Nora tanya akak tadi, Nora sudah
menjawabnya sendiri.” Saya mengalih pandangan ke arahnya. Nora mengangkat
kening.
“Begitulah juga orang tua kita Nora, dengan kesihatan dan
kudrat yang semakin kurang, sangat tidak sesuai jika mereka terpaksa berpindah
randah begitu. Jika kita yang muda ni penat bila sekali sekala balik ke kampung,
inikan pula orang tua seperti mereka. Kasihanilah mereka. Mungkin kita rasa
cadangan kita itu relevan pada kita adik beradik, tetapi cuba kita fikirkan
keadaan mereka sama ada sesuai atau tidak. Itu dari sudut fizikal.”
“Dari sudut perasaan pula, ibu bapa ni jiwanya halus, mudah
tersentuh. Walaupun niat kita baik, kadang-kadang ibu bapa fikirnya lain. Bagi
kita, mungkin nak bagi keselesaan kepadanya, tetapi bagi dia mungkin anak-anak
tak sanggup menjaga mereka lama-lama. Seperti mana kita, kita mesti ada tempat
yang kita selesa untuk tidur, makan dan berehat, begitu juga dengan mereka.
Bukan mudah untuk mereka menyesuaikan diri di setiap tempat yang mereka
terpaksa menghuni. Akak ingatkan mak akak, dia suka masak air dalam periuk
bertangkai yang telah digunakan bertahun-tahun. Berbagai-bagai jenis cerek yang
kami anak-anak belikan. Cerek elektrik, cerek berbunyi, tapi periuk itu juga
yang menjadi pilihan. Ibu bapa yang sudah punya barang kesukaan mana mungkin
dia akan mengangkutnya ke sana ke mari. Bagi kita mungkin ia satu perkara yang
remeh, tetapi bagi orang yang sudah menjengah usia emas, semua itu ada nilai
sentimental yang tidak mungkin difahami anak-anak.” Saya menjelaskan panjang lebar.
Nora mengangguk perlahan
“Orang tua juga ada kawan-kawan yang nak diajak bersembang.
Jiran sekeliling rumah. Cuba bayangkan bila dia duduk berpindah randah. Susah
juga nak menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Di dalam kesunyian mereka
kehilangan teman berdamping. Berilah mereka peluang untuk mengisi jiwa mereka
dengan perkara-perkara yang telah mereka selesa. Kita belum tua, mungkin kita
belum merasa, tetapi cubalah sedaya upaya untuk menyelami kolam hati mereka…”
Jiwa saya memang mudah tersentuh bila membicarakan
soal ibu bapa kerana terlalu banyak peringatan di dalam Al-Quran dan hadith
yang menekankan betapa penting berbuat baik kepada ibu bapa.
“Nora, Jika kita tidak mahu anak-anak berbuat begitu kepada
kita. Jangan sesekali kita berbuat begitu kepada ibu ayah kita. Anak-anak
belajar dari apa yang mereka lihat. Jika kita berkasar dengan ibu bapa kita,
maka tunggu sahajalah kata-kata kasar yang akan lahir dari anak-anak kita
kepada kita. Jika kita melayani mereka dengan sopan santun. Insya Allah,
anak-anak juga akan menyantuni kita ketika kita sudah dimakan usia nanti. Bak
kata orang, apa yang kita beri, kita akan menerimanya kembali.”
“Ibu bapa adalah kebun pahala yang tiada dua. Selagi mereka
masih ada bersama kita, santunilah mereka sebaiknya. Sebut memang mudah, tetapi
nak melaksanakannya adalah satu perkara yang agak sukar. Melayani jiwa orang
tua kadang-kadag lebih sukar berbanding melayani karenah anak-anak kecil. Oleh
sebab itulah, Allah tidak membenarkan kita berkata kasar walaupun dengan
perkataan ‘ah’ kepada ibu bapa kita.”
“Umpamanya, kita ada sebuah kebun buah-buahan. Andai ingin
mendapat hasil yang baik, buah yang elok dan banyak, pastinya ia memerlukan
pengorbanan yang tidak sedikit. Jika betul caranya, sabar pula menjaganya,
insya Allah lumayanlah hasilnya. Berbakti kepada ibu bapa, terlalu banyak
ganjarannya. Natijahnya bukan sahaja di akhirat sana, malahan keberkatan akan
terasa sejak di dunia…”
“satu lagi, jangan buat ibu bapa kita seperti anak-anak
kita. Nak suruh mereka ikut cakap kita
sahaja. Kita mesti ingat, walaupun dia dah tua dan kurang berdaya, mereka tetap
ibu bapa yg mesti kita muliakan..” panjang sungguh nasihat saya petang itu.
Teringat saya akan pertanyaan Rasulullah kepada sahabat
baginda :”Adakah kamu mempunyai ibu?” Sahabat menjawab, “Ya.” Lalu Rasulullah
berpesan, “dampingilah beliau iaitu ibu kerana sesungguhnya syurga di bawah
kedua kakinya.”
Teringat juga saya kepada sebuah kisah di mana ada seorang
orang soleh yang menggendong si ibu untuk bertawaf. Apabila ditanya samaada
beliau telah membalas jasa ibunya. Ternya jawapan yang diterima ialah “tidak,
bahkan walaupun sekadar sehela nafas ibumu.”
Ibu bapa adalah kebun pahala yang mesti kita jaga sebaiknya.
Mengabaikannya bermakna kita mensia-siakan salah satu nikmat untuk mendapatkan
keampunan dan keberkatan dari Allah s.w.t.